Kitab Rahsia Bersuci


Allah berfirman:

 

“Allah tiada menghendaki untuk menjadikan kesukaran ke atas kamu, akan tetapi Dia menghendaki untuk mensucikan kamu.” (al-Maidah:7)

.

Allah berfirman lagi:

 

“Padanya ada orang-orang yang suka sekali bersuci dan Allah mencintai orang-orang yang bersuci itu.” (at-Taubah: 108)

.

Bersabda Rasulullah s.a.w.:

 

“Kunci sembahyang adalah bersuci.”

“Agama itu didirikan atas kebersihan.”

.

Orang-orang yang mempunyai pandangan yang jauh dapat mengambil kesimpulan dari keterangan-keterangan ini, bahawa perkara yang amat penting sekali ialah mensucikan kebatinan, kerana jauh sekali maksud dari Hadith berikut ini:

 

“ Kesucian itu adalah setengah dari iman.”

.

Iaitu hanya untuk mensucikan kelahiran saja, yakni dengan menyirami tubuh dengan air dan mengalirkannya ke seluruh anggota badan, sedangkan kebatinannya tetap rosak dan ditinggalkannya terisi dengan anasir-anasir yang jahat dan kotor-kotoran. Alangkah jauh sekali ia boleh bermaksud demikian.

.

Taharah atau bersuci itu ada empat tingkatnya, iaitu:

  1. Mensucikan anggota-anggota lahir dari hadas-hadas (najis-najis), anasir-anasir kotor dan yang tidak perlu.
  2. Mensucikan anggota-anggota badan dari perbuatan-perbuatan salah dan dosa.
  3. Mensucikan hati dari akhlak yang terkeji dan kelakuan-kelakuan yang dibenci dan terkutuk.
  4. Mensucikan kebatinan dari tertumpu kepada semua perkara selain Allah Subhanahu wa Ta’ala, dan ini adalah cara bersucinya para Nabi Salawatullahi-alaihim dan juga para Siddiqin.

Seseorang hamba tidak akan sampai ke tingkat yang tertinggi sekali, melainkan setelah melalui tingkat yang rendah terlebih dulu. Dia tidak akan sampai kepada tingkat mensucikan kebatinan dari sifat-sifat yang terkeji itu dan menggantikan tempatnya dengan sifat-sifat yang terpuji, selagi belum selesai membersihkan hati dari akhlak yang tercela dan menggantikan tempatnya dengan akhlak yang baik. Demikian pula ia tiada akan sampai ke tingkat ini, melainkan sesudah selesai dari mensucikan segala anggota-anggota badan dari larangan-larangan Allah dan menggantikan tempatnya dengan kerja-kerja ketaatan kepadaNya.

.

Oleh sebab itulah, apabila yang dituntut itu bernilai dan mulia, tentulah lebih sukar dan susah untuk mencapainya, lebih banyak pula halangan-halangannya. Maka janganlah anda menyangka bahawa tingkat itu akan didapati dengan hanya bercita-cita saja, atau akan dicapai dengan cara yang mudah.

.

Akan tetapi bila seseorang itu buta mata hatinya dengan perbedaan tingkat-tingkat ini. Tentulah dia tidak akan mengerti akan tingkat taharah atau rahsia bresuci ini, melainkan tingkat yang terendah sekali, yang diumpamakan seperti kulit atas yang boleh dilihat jika dibandingkan dengan isi atau sari yang dicari. Maka oleh kerana itu, dia sentiasa mementingkan perhatiannya kepada kulit semata-mata  seraya menghabiskan semua waktunya pada membicarakan istinja’, membersihkan baju dan mensucikan anggota-anggota yang lahir saja, dan mengalirkan air yang banyak. Sebab dia menyangka, samada kerana waswasnya ataupun kerana khayalan fikirannya, bahawasanya kesucian yang dituntut atau yang betul itu mementingkan cara-cara ini.

.

Sebenarnya dia tiada mengetahui tentang perjalanan orang-orang yang terdahulu yang telah menumpukan segala perhatiannya dan fikirannya kepada perkara mensucikan hati tanpa mengendahkan perkara mensucikan yang lahir. Dia tiada mengetahui bahawa Saiyidina Umar r.a. dengan ketinggian kedudukannya itu pernah berwudhu’ dengan air yang tersimpan dalam kendi seorang Nasrani. Orang yang terdahulu itu juga sering bersembahyang di atas tanah dalam masjid. Ataupun memadai hanya dengan menggunakan batu sewaktu beristinja’.

.

Nyatalah kini bahawa segala yang diberatkan oleh mereka di masa itu ialah mensucikan kebatinan. Dan jarang-jarang sekali pernah timbul satu-satu pertanyaan dari mereka itu megenai hukum-hukum najis atau dari pertanyaan-pertanyaan yang titik-bengik.

.

Sekarang sudah sampailah giliran golongan manusia yang kononnya mengambil berat tentang kebersihan, maka dihabiskanlah semua masanya pada menghiaskan anggota-anggota lahir seperti sifatnya tukang andam yang menghiaskan pengantinnya, padahal kebatinannya busuk penuh dengan kotoran-kotoran, sifat-sifat sombong dan ujub (memuji diri), sifat-sifat kebodohan dan riya’ serta nifaq. Malangnya tiada seorang pun yang mengingkarkan atau memperhatikan perkara itu.

.

Akan tetapi kiranya seseorang itu hanya menggunakannya batu dalam istinja’nya, ataupun menunaikan sembahyangnya tanpa menggunakan sajadah (tikar sembahyang), ataupun mengambil wudhu’nya dari wadah yang dimiliki oleh orang kafir, maka akan tibalah kiamatnya. Orang-orang bodoh itu akan segera bertindak menyalahkan orang-orang itu dan memanggil mereka sebagai orang-orang yang kotor. Cubalah anda perhatikan bagaimana yang mungkar itu menjadi yang baik, dan yang baik pula menjadi mungkar. Dan lihat pula bagaimana orang ramai mempelajari dari agama itu hanya gambarnya saja, sepertimana mereka mempelajari hakikatnya dan ilmunya.

.

Kiranya anda telah maklum tentang muqaddimah ini, maka marilah kita berbicara kini tentang tingkat-tingkat taharah atau kesucian. Pertama sekali kita ambillah tingkatnya yang keempat, iaitu membersihkan anggota-anggota lahir. Kita katakan bahawa pensucian lahir itu ada tiga perkara

  1. Membersihkan diri dari benda-benda najis.
  2. Membersihkan diri dari hadas
  3. Membersihkan diri dari yang tidak diperlukan pada badan, dan yang ini dapat dilakukan dengan memotong (seperti memotong kuku, cukur bulu ari-ari dan sebagainya) dan mandi, menggunakan bedak, berkhitan dan lain-lain lagi.

Bab-bab seterusnya dalam Kitab Rahsia Bersuci:

About these ads