Adapun larangan haji dan umrah semuanya enam perkara:

  1. Memakai pakaian qamis, seluar, sepatu dan serban. Pakaian yang haru dipakai waktu berihram ialah selembar kain untuk sarung dan selembar selendang dan sepasang sandal. Boleh memakai tali pinggang dan berteduh di bawah khemah, tetapi tak boleh menutup kepala. Kaum wanita boleh memakai pakaian yang berjahit, tetapi tidak boleh menutup wajah dengan sesuatu yang boleh menekapnya kerana ihramnya ialah pada wajahnya.
  2. Memakai wangi-wangian. Jadi hendaklah ia menjauhi segala yang dikatakan oleh ahli akal sebagai wangi-wangian. Kiranya dia melanggar larangan ini dan ia memakai wangi-wangian maka dia dikenakan bayaran Dam.
  3. Mencukur rambut atau memotong kuku, kerana melakukannya akan dikenakan Dam seekor kambing. Boleh memakai celak, mandi di permandian, bersuntil, berbekam dan menyikat rambut.
  4. Bersetubuh kerana yang demikian itu akan merosakkan haji pelakunya jika dilakukan sebelum tahallul awal. Kerana itu dia dikenakan Dam seekor unta atau lembu ataupun tujuh ekor kambing. Jika dilakukan sesudah tahallul awal dikenakan dam seperti di atas juga, hanya hajinya saja yang tidak rosak.
  5. Hal-hal yang berhubungan dengan permulaan persetubuhan, seperti bercium-ciuman atau bersentuh-sentuhan, sedangkan ia masih dalam ihram maka dendanya seekor kambing. Dalam keadaan serupa ini diharamkan juga bernikah dan menikahkan, jika dilakukan juga, maka tiadalah dikira sah dan tiada pula dihukumkan kena Dam.
  6. Membunuh buruan darat, yakni dari binatang yang boleh dimakan dagingnya. Jika dia membunuh seekor buruan, maka wajiblah ke atasnya Dam seekor binatang (kambing, lembu atau unta) yang besarnya lebih kurang sama dengan besarnya binatang yang dibunuhnya. Binatang laut tiada dilarang menangkapnya dan oleh itu tiadalah dikenakan Dam.

Bab seterusnya ialah Peraturan kerja-kerja haji.

Klik untuk kembali ke senarai tajuk-tajuk utama dalam “Kitab Rahsia Haji”

About these ads