Boleh dikatakan pada setiap amalan haji itu ada peringatan bagi orang yang ingin mengambil ingatan daripanya, dan contoh tauladan bagi orang yang ingin mengambil ibarat.

Apabila terbuka saja pintunya akan tersingkaplah segala rahsia dan muncullah perkara-perkara yang diperlukan untuk mensucikan hati disamping memperkuatkan fikiran. Allah s.w.t. telah memuliakan al-Baitul atiq (Ka’bah) di samping ZatNya yang agung dan menentukan Rumah Suci itu sebagai tempat tujuan untuk sekalian hamba-hambaNya. Kemudian dijadikan pula tanah-tanah di sekitarnya sebagai tanah haram yang suci bagi rumahNya untuk menandakan kebesaran dan kesucian tempat itu. Lalu dikuatkan lagi perkaranya dengan mengharamkan binatangnya dari diburu dan pohon-pohonnya dari dipotong.

Dijadikan rumah itu sebagai balai persembahan raja-raja yang didatangi oleh para penziarah dari segala rantau yang jauh, dan dari arah yang terpencil, dalam keadaan kusut-masai, tidak teratur merendahkan diri kepada Tuan punya Rumah Suci itu, semata-mata kerana menghinakan diri terhadap keagunganNya, dengan pengakuan untuk menjauhkan ZatNya daripada dikelilingi oleh sesebuah rumah atau dilingkari oelh sesebuah negeri, agar yang demikian itu menjadi lebih tepat dalam perhambaan dan ubudiah mereka terhadap Allah Ta’ala dan menjadi lebih sempurna dalam menundukkan mereka dan menarik mereka untuk menurut.

Ketika berihram dan bertalbiah terdapat penyahutan terhadap seruan Allah azzawajalla.

Ketika masuk Makkah terdapat peringatan tentang ketibaan ke Haram Allah, maka hendaklah ia merasa bimbang kalau-kalau ia bukan ahli yang boleh mendekatkan diri ke situ, dan hendaklah ia berharap rahmat Allah.

Ketika melihat Rumah Suci akan mengingatkan kebesaran Rumah itu di dalam hati dan meletakkan penuh harapan untuk dapat melihat Allah, Tuhan kepada Rumah Suci itu, kerana perasaan mengagungkan yang timbul dalam hati terhadap Rumah itu.

Ketika bertawaf mengelilingi Rumah Allah itu sepatutnya ia merasakan dirinya seperti para Malaikat Muqarrabin yang sentiasa berada di sekitar Arasy Allah Ta’ala dan sedang bertawaf di sekelilingnya. Seterusnya maksud dari bertawaf itu bukanlah tawafnya tubuh badan yang kasar, malah tawafnya hati sanubari dengan mengingat kepada Tuhan.

Ketika bergayut pada tabir-tabir Ka’abah dan melekapkan tubuh di al-Multazam, melambangkan permintaan untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. kerana kecintaan dan perasaan rindu kepada Rumah Allah itu dan Tuan Punya Rumah tersebut dan mengambil keberkatan dengan berdekatan dan bersentuhan itu. Seterusnya untuk mengulang sekali lagi permintaan keampunan dan keamanan dari Allah Ta’ala, laksana seorang yang banyak dosanya sedang berpaut pada baju orang yang berdosa kepadanya, mengharapkan dengan penuh rendah diri akan keampunannya, seraya menunjukkan bahawa tiada tempat lain yang ia boleh berlindung lagi, melainkan kepada orang itu saja. Jadi dia tiada akan melepaskan orang itu, walau bagaimana sekalian melainkan sesudah mendapat keampunan dan keredhaan darinya.

Ketika Sa’i antara Shafa dan Marwah, melambangkan betapa seseorang hamba itu sentiasa dalam kebimbangan tentang kemusnahan harta miliknya, dengan berulang kali pergi dan kembali untuk menunjukkan keikhlasan dan perkhidmatannya, sambil mengharapkan perhatian Tuhan dengan pandangan penuh rahmat dan belasa kasihan, laksana seorang rakyat biasa yang datang untuk menghadap raja, kemudian keluar semula, sedangkan dia tiada mengetahui apa yang akan diputuskan oleh raja itu terhadap permohonannya sama asa dikabulkannya atau ditolaknya. Maka orang tersebut terus berulang alik di halaman Istana raja itu pergi dan kembali, membawa harapan agar ia akan dirahmati oleh Raja dan dibelas kasihaninya pada kali ini, kiranya sebentar tadi permohonannya telah ditolak.

Ketika menyempurnakan wukuf di Arafah dengan melihat manusia begitu ramai sekali, yang telah berkumpul dengan suara yang dilaungkan dalam berbagi bahasa dunia, akan mengingatkan tentang perkumpulan semua ummat nanti di padang yang amat luas di Hari Kiamat. Hal Keadaan di situ tentu akan membingungkan semua manusia di sebidang tanah yang terbentang luas itu; masing-masing memikirkan tentang amalannya sendiri, sama ada ditolak atau dikabul. Bila teringat terhadap segala peristiwa yang akan berlaku di hari itu nanti, tentulah hati akan menjadi kecut, sentiasa akan memilih kerendahan diri dan berserah sepenuhnya kepada Allah azzawajalla.

Juga ia akan mengharapkan moga-moga akan dikumpulkan di Hari Mahsyar nanti ke dalam golongan orang-orang yang berbahagia dan dirahmati, manakala keyakinannya kuat sekali, bahawa segala yang diharap-harapkan itu akan dikabulkanNya. Tiada syak lagi, kerana tempat itu amat mulia sekali. Kerahmatan itu biasanya datang dari hadrat yang Maha Besar kepada sekalian manusia, melalui hati yang bersih, manakala di tempat itu tentu sekali tidak kurang banyaknya para Salihin dan orang-orang yang mempunyai hati nurani yang suci, menurut tingkatan-tingkatan mereka. Mereka sekalian telah berkumpul dengan satu tujuan, iaitu untuk menundukkan diri kepada Allah yang Maha Agung dan membersihkan hati mereka dari segala sesutau selain memohon dan mengharap dengan mengangkat tangan kepada Allah s.w.t.  dan menengadahkan muka kepadaNya, sedangkan mata mereka tidak berkelip-kelip lagi, memandang ke arah langit, bersatu kata dan hati, untuk memohon kerahmatan dan belas kasihan Allah. Dalam keadaan yang serupa itu, janganlah hendaknya ada orang yang menyangka, bahawa Allah s.w.t akan mengecewakan harapan mereka, atau mensia-siakan usaha mereka, ataupun menahan dari mencurahkan rahmat-rahmatNya yang tak terhingga ke atas mereka.

Ketika melempar batu-batu itu, menggambarkan betapa seorang hamba itu akan menurut perintah tanpa banyak bicara dan menunjukkan sikap perhambaan dan ubudiahnya. Ketika melempar itu hendaklah ia bermaksud melempar wajah syaitan dan menetak belakangnya, supaya dirinya terpelihara dari godaan dan tipu dayanya.

Ketika melakukan ziarah ke Madinah dan menyaksikan sekitarnya akan mengingatkan kita kepada negeri yang dipilih oleh Allah s.w.t. untuk NabiNya s.a.w. berhijrah ke situ dan mencari perlindungan diri dan agama di dalam naunganNya. Di situ juga tempat yang dipilih oleh Allah s.w.t untuk mensyariatkan berbagai-bagai perintah yang fardhu yang sunnat dan seterusnya. Di situ jugalah diperintahkan ke atas Rasulullah s.a.w. untuk berjihad menetang musuh-musuh yang mengancamnya, sehingga agama disebarkan itu menjadi kenyataan dan terkenal kepada orang ramai, sampailah akhirnya baginda menemui ajalnya dan dimaqamkan di situ pula.

Pendek kata negeri Madinah itu merupakan tempat yang dipilih oleh Allah s.w.t. bagi NabiNya s.a.w. dan bagi orang-orang Muslimin yang pertama dan utama. Di situlah pula segala perintah-perintah Allah s.w.t. mula dikuatkuasakan. Di situ juga terkumpul sekalian makhluk Allah yang utama, dalam masa hidup mahupun sesudah mati, masing-masing dengan kemuliaan dan kelebihannya yang tiada tanding dan taranya.

Klik untuk kembali ke senarai tajuk-tajuk utama dalam “Kitab Rahsia Haji”

About these ads