puasa


Mohon maaf kerana tidak sempat mengemaskini blog ini. Namun bagi mereka yang ingin mengulangkaji perbincangan bab puasa yang telah disiarkan sebelum ini bolehlah merujuk pada posting yang sebelum seperti disenaraikan di bawah ini:

Ketahuilah bahwasanya puasa tathawwu’ atau puasa sukarela itu dituntut untuk dilakukan pada hari-hari yang diutamakan oleh Islam. Dan keutamaan hari-harinya itu ada yang dihubungkan dengan tahun ada dengan bulan dan ada pula dengan minggu.

Yang dihubungkan dengan tahun sesudah dikira puasa Ramadhan ialah berpuasa pada hari Arafah, Hari Asura dan sepuluh hari pertama pada bulan Zulhijjah. Rasulullah s.a.w sendiri dikatakan terlalu banyak berpuasa pada bulan Sya’ban. Ada sebuah Hadis mengatakan bahawa:

“Sebaik-baik berpuasa sesudah Ramadhan ialah berpuasa pada bulan Muharram, “kerana Muharram itu adalah permulaan tahun Islam dan memulakan bulan itu dengan kebajikan memanglah dituntut dan diberatkan agar keberkatannya berterusan.

Ada Hadis yang lain:

Apabila telah masuk separuh bulan Sya’ban, maka tiadalah disunnatkan berpuasa lagi, sehingga masuk pada bulan Ramadhan.

Sebab itulah disunnatkan agar tiada berpuasa sebelum bulan Ramadhan beberapa hari, tetapi jika mahu berpuasa juga bersambung dengan bulan Ramadhan maka hukum nya harus pula.

Tiada dibolehkan berpuasa kerana menyambut bulan Ramadhan dua hari ataupun tiga hari sebelum ketibaannya, melainkan jika hari itu menjadi hari kebiasaannya ia berpuasa sunat (hari Isnin dan Khamis dan sebagainya). Setengah para sahabat telah melarang berpuasa pada bulan Rejab sebulan penuh, supaya ia tidak menyamai puasa dalam Ramadhan pula.

Adapun puasa yang dilakukan dalam setiap bulan itu, ialah pada permulaan bulan, pertengahannya dan akhirnya. Di pertengahannya ialah hari-hari putih, iaitu pada hari 13, 14 dan 15.

Manakala puasa mingguan pula disunnatkan pada hari Isnin, Khamis dan Jumaat. Pada hari-hari itu bukan saja disunnatkan puasa, malah disunnatkan memperbanyakkan khairat dan sedekah, agar bertambah-tambah pula pahalanya dengan keberkatan hari dan masanya.

Sekarang telah jelaslah kepada kita bila masanya diutamakan puasa maka untuk menyempurnakannya hendaklah setiap manusia Muslim memahami pengertian puasa yang sebenarnya dan rahsianya dalam menjernihkan hati dan meringankan kesusahan yang dilakukan semata-mata kerana Allah Ta’ala saja.

Rahsia-rahsia puasa dan syarat-syarat kebatinannya ada enam iaitu:

1.  Memejamkan mata dan menahannya dari meluaskan pemandangan kepada segala perkara yang tercela dan dibenci oleh agama dan juga kepada segala sesuatu yang boleh menganggu hati, seperti melalaikannya dari berzikir dan mengingat kepada Allah.

2.  Memelihara lidah dari bersembang kosong, berbohong, mencaci maki, bercakap kotor, menimbulkan permusuhan dan riya’.

3.  Memelihara pendengaran dari mendengar hal-hal yang dilarang dan dibenci, sebab setiap yang haram diucapkan haram pula didengarkan. Dan kerana itu jugalah Allah s.w.t telah menyamakan pendengaran kepada sesuatu semacam itu dengan memakan barang-barang yang diharamkan, sebagaimana dalam firmanNya:

“Mereka itu suka mendengar perkara yang bohong dan memakan barang yang haram.”   (al-Maaidah: 42)

4.  Memelihara seluruh anggota yang lain dari membuat dosa seperti tangan dan kaki dan memeliharanya juga dari segala yang dibenci. Demikian pula menahan perut dari memakan barang-barang yang bersyubhat waktu berbuka puasa. Apalah gunanya berpuasa dari makanan yang halal, kemudian dia berbuka pula, dia memakan makanan yang haram. Orang berpuasa seperti ini, samalah seperti orang yang membangunkan sebuah istana yang indah, kemudian dia menghancurkan sebuah kota. Rasulullah s.a.w bersabda:

“Ada banyak orang yang berpuasa tetapi ia tiada memperolehi dari puasaya itu selain dari lapar dan dahaga (yakni tiada mendapat pahala).”

Ada yang mengatakan bahawa orang itu adalah orang yang berbuka puasanya dengan makanan yang haram. Yang lain pula mengatakan orang itu ialah orang yang menahan dirinya berpuasa dari makanan yang halal, lalu ia berbuka dengan memakan daging manusia; iaitu mencaci maki orang kerana yang demikian itu adalah haram hukumnya. Ada yang mengertikannya dengan orang yang tiada memelihara anggota-anggotanya dari dosa.

5.  Janganlah dia membanyakkan makan waktu berbuka puasa, sekalipun dari makanan yang halal, sehingga terlampau kenyang, kerana tidak ada bekas yang paling dibenci oleh Allah s.w.t. daripada perut yang penuh dari makanan yang halal. Cubalah renungkan, bagaimanakah dapat menentang musuh Allah (syaitan) dan melawan syahwat kiranya apa yang dilakukan oleh orang yang berpuasa waktu berbuka itu, ialah mengisikan perut yang kosong itu dengan berbagai makanan semata-mata kerana dia tidak mengisikannya di waktu siang tadi. Kadangkala makanan-makanan yang disediakan itu berbagai-bagai rencamnya sehingga menjadi semacam adat pula kemudiannya.

Akhirnya dikumpulkanlah bermacam ragam makanan untuk persediaan menyambut Ramadhan, dan dihidangkan pula dalam satu bulan itu bermacam-macam makanan yang tidak pernah dihidangkan dalam bulan-bulan sebelumnya. Sebagaimana yang termaklum bahwa maksud puasa itu adalah menahan selera dan mengekang nafsu, agar diri menjadi kuat untuk taat dan bertaqwa kepada Allah. Tetapi kalaulah hanya sekadar mengekang perut di siang hari hingga ke masa terbuka, lalu membiarkan syahwat berlonjak-lonjak dengan kemahuannya kepada makanan, dan dihidangkan pula dengan berbagai-bagai makanan yang lazat-lazat, sehingga perut kekenyangan, tentulah perut akan bertambah keinginannya kepada makanan-makanan itu. Malah akan timbul syahwat pula keinginan yang baru, yang kalau tidak dibiasakan sebelumnya mungkin ia tetap pada kebiasaannya.

Semua ini adalah bertentangan dengan maksud dan tujuan puasa yang sebenarnya. Sebab hakikat puasa dan rahsianya adalah untuk melemahkan kemahuan dan keinginan, yang digunakan oleh syaitan sebagai cara-cara yang menarik manusia kepada berbagai kejahatan. Padahal kemahuan dan keinginan ini tidak dapat ditentang, melainkan  dengan mengurangkan syahwat. Barangsiapa yang menjadikan di antara hatinya dan dadanya tempat untuk dipenuhi dengan makanan, maka ia terlindung dari kerajaan langit.

6.  Hendaklah hatinya merasa bimbang antara takut dan harap kerana ia tiada mengetahui apakah amalan puasanya itu diterima oleh Allah, sehingga tergolongnya ia ke dalam puak muqarrabin (hampir kepada Allah) ataupun puasanya tertolak maka terkiralah ia ke dalam golongan orang yang terjauh dari rahmat Allah Ta’ala. Perasaan seumpama ini seharusnya sentiasa ada pada diri seseorang, setiap kali selesai melakukan sesuatu ibadat kepada Allah Ta’ala.

Ketahuilah bahawa puasa itu ada tiga darjatnya.

    1.   Puasa umum: iaitu berpuasa dengan menahan perut dan faraj (kemaluan) dari mengecap kesyahwatannya, seperti yang telah berlalu huraiannya.

    2.   Puasa khusus: iaitu puasa disertakan dengan mengekang pendengaran, penglihatan, lidah, tangan, kaki dan seluruh anggota dari melakukann perkara-perkara yang haram atau dosa.

    3.   Puasa khususul–khusus: iaitu berpuasa dengan menyertakan semua yang tersebut di atas tadi dan menambah lagi dengan berpuasanya hati dari segala cita-cita yang kotor dan pemikiran-pemikiran keduniaan dan memesongkan perhatian dari selain Allah azzawajalla sama sekali.

      Sunnat bagi orang yang berpuasa melewatkan sahur dan menyegerakan berbuka, iaitu dengan buah kurma atau dengan air sebelum bersembahyang.

      Sunnat baginya juga banyak bersedekah dalam bulan Ramadhan, banyak membaca Al-Quran, duduk beri’tikaf dalam masjid pada 10 hari yang terakhir dari Ramadhan dan tiada keluar dari masjid itu, melainkan kerana sesuatu hajat saja.

      Tiada mengapa dia memakai bau-bauan yang wangi di dalam masjid, berakad nikah di situ, makan-minum dan tidur di dalamnya, membasuh tangan di dalam besin, yang semua itu mungkin diperlukan ketika ber’iktikaf di dalam masjid.

      Orang yang batal puasanya harus melakukan empat perkara:

      1.   Qadha’: Kewajibannya umum ke atas setiap Muslim Mukallaf yang meninggalkan puasa dengan uzur ataupun tanpa uzur. Umpamanya, perempuan yang datang darah haidh harus mengqadha’kan puasanya, demikian pulalah orang yang murtad. Adapun orang kafir, anak kecil dan orang gila tidak wajib mengqadha’kan puasanya. Dan hukum mengqadha’kannya tidak wajib berturut-turut, tetapi bolehlah mengqadhakannya sesuka hatinya sama ada terpisah-pisah ataupun terkumpul.

      2.    Kaffarah: Kewajibannya berlaku hanya ke atas orang yang bersetubuh pada siang Ramadhan, selainnya tidak dikenakan kaffarah. Adapun kaffarahnya ialah memerdekakan seorang hamba. Kiranya ia tidak mempunyai wang untuk menebus seorang hamba, maka berpuasalah ia dua bulan berturut-turut. Jika ia tidak mampu, maka hendaklah ia memberi makan kepada 60 orang miskin setiap seorang satu mud.

      3.   Berhenti dari makan-minum dan sebagainya pada sisa harinya. Ini diwajibkan ke atas orang yang menderhaka perintah Allah, kerana tiada berpuasa ataupun kerana cuai pada perintah puasa (berbuka tanpa sebab atau seumpamanya). Maka hendaklah ia berhenti dari makan-minum, apabila ternyata ada seorang adil yang menyaksikan anak bulan pada hari syak (iaitu 30 Sya’ban), sedangkan orang ramai semuanya tiada berpuasa pula, maka hendaklah sekaliannya berhenti dari makan-minum dan sebagainya. Bagi orang yang sedang dalam pelayaran, berpuasalah adalah lebih utama daripada berbuka.

      4.   Mengeluarkan fidyah, iaitu bagi orang yang mengandung atau ibu yang masih menyusukan bayinya, kerana khuatir kemudharatan ke atas bayi jika ia berpuasa. Maka dikeluarkan fidyah kerana tiada berpuasa itu, setiap hari satu mud gandum/beras kepada seorang miskin, kemudian puasa itu diqadha’kan. Begitu pula dengan orang tua yang sudah lanjut umurnya, tiada mampu untuk berpuasa, dikeluarkan fidyah satu mud juga.

      Adapun kewajiban lahiriah puasa enam perkara:

      1.   Meneliti datangnya permulaan bulan Ramadhan dengan rukyah, iaitu dengan melihat anak bulan. Jika tiada terlihat, maka genapkanlah bulan Sya’ban 30 hari. Kami maksudkan, rukyah atau melihat itu, mestilah melalui ilmu pengetahuan dan ini dapat disahkan dengan penyaksian seorang adil (orang yang terkenal lurus perjalanannya dan tiada diragui boleh berbohong). Ini kalau penyaksian maksudnya Ramadhan.

      Tetapi untuk penyaksian permulaan Syawal atau anak bulan Syawwal, dihukumkan tidak sah, melainkan dengan dua orang saksi adil, mengambil hukum yang lebih berat untuk menyempurnakan ibadat puasa. Barangsiapa mendengar seorang adil dan ia percaya dengan yakin apa yang disaksikannya tentang anak bulan itu tanpa apa-apa keraguan lagi bagi dirinya, maka wajiblah dia berpuasa meskipun kadhi atau hakim tiada menghukumkan sah penyaksiannya itu.

      2.   Niat puasa pada setiap malam – mestilah dia berniat yang khas dan tetap bagi kefardhuan puasa kerana Allah Ta’ala.

      3.   Menahan diri dari menyampaikan sesuatu benda ke dalam perutnya dengan sengaja tidak terlupakan dirinya sedang berpuasa. Kalau dilakukan yang demikian, maka rosaklah puasanya; iaitu dengan makan atau minum, memasukkan sesuatu melalui lubang hidung atau dubur.

      Tidak batal dengan bersuntik, berbekam, bercelak, memasukkan pembersih ke dalam telinga atau melalui zakar ataupun apa yang sampai ke perut tanpa disengajakan seperti debu jalan, ataupun seekor lalat termasuk ke dalam perutnya.

      Kalau air masuk ke dalam perut disebabkan berkumur-kumur tidak membatalkan puasa, kecuali jika dia terlalu berlebihan-lebihan dalam berkumur-kumur, maka perbuatan serupa membatalkan disebabkan kecuaian. Itulah yang dimaksudkan dengan perkataan dengan sengaja. Adapun perkataan tidak terlupa – dimaksudkan supaya ia terselamat dari lupa, kiranya ia terlupa, maka tidaklah dikira batal puasanya.

      4.   Menahan diri dari persetubuhan tetapi kiranya dia bersetubuh dengan terlupa maka tiadalah dikira telah berbuka. Kiranya dia bersetubuh di sebelah malam, ataupun dia bermimpi, sehingga dia menjadi seorang junub di sebelah paginya, maka tiadalah ia dikirakan berbuka.

      5.   Menahan diri dari sengaja mengeluarkan air mani dengan tujuan untuk bersetubuh ataupun tidak bersetubuh, sebab kelakuan yang demikian itu adalah membatalkan puasa. Bercium-ciuman dengan isteri atau bercumbu-cumbu dengannya tiada membatalkan puasa selagi tiada mengeluarkan mani, tetapi perbuatan semacam itu adalah makruh hukumnya kecuali jika dia seorang yang sudah tua, atau orang yang dapat menguasai dirinya (tidak takut keluar mani) maka bolehlah dia bercium-ciuman. Walau bagaimanapun meninggalkan kelakuan serupa ini adalah utama.

      6.   Menahan diri dari muntah, sebab sengaja mengeluarkan muntah dari perutnya membatalkan puasa tetapi kalau termuntah dengan tidak sengaja, maka tidaklah batal puasanya. Dan sekiranya tertelan kahak dari kerongkongnya atau dari dadanya, tiadalah batal puasanya, kerana keringanan sebab tidak dapat ditahan, melainkan kalau dia menelannya sesudah kahak itu sampai ditengah mulutnya maka hal itu akan membatalkan puasanya.

      Nyatalah orang yang berpuasa itu akan diberikan balasan secukup-cukupnya dan dilipat-gandakan pahalanya tanpa dapat diragukan lagi atau diperhitungkan banyaknya. Sudah sewajarnyalah ia menerima balasan yang begitu besar, sebab puasa itu adalah dikerjakan kerana Allah semata-mata dan ditujukan kepadaNya, tiada lain. Walaupun ibadat-ibadat yang lain itu pun ditujukan kepada Allah jua, tetapi ada dua perbedaannya:

      1. Bahawasanya puasa itu adalah menahan diri dan meninggalkan hawa nafsu, dan ia adalah rahsia di dalam diri seseorang dan bukan merupakan amalan yang boleh dilihat. Semua ketaatan dibuat di mata ramai dan dapat diketahui, melainkan puasa saja, tiada yang melihatnya selain Allah azzawajalla. Ia adalah suatu amalan dalam kebatinan yang disertai dengan kesabaran semata-mata.
      2. Bahawasanya puasa itu merupakan suatu jalan penentangan terhadap musuh Allah azzawajalla, sebab jalan syaitan itu, ialah melalui syahwat dan hawa nafsu yang meminta banyak makan dan minum. Jadi dalam menekan dan menentang kemahuan musuh Allah itu adalah suatu pertolongan kepada Allah Ta’ala sedangkan pertolongan Allah kepada kita itu tergantung atas pertolongan dari Allah Ta’ala.

      Allah telah berfirman:

      “Jika kamu sekalian menolong Allah (menurut perintah Allah), tentulah Allah akan menolong kamu dan akan menetapkan kaki kamu (kedudukan kamu).” (Muhammad: 7)

      Dengan jalan inilah puasa itu menjadi pintu bagi segala peribadatan dan perlindungan dari hawa nafsu. Jika kita telah mengetahui keutamaannya begitu besar sekali, maka hendaklah kita menuntut syarat-syaratnya yang lahir dan batin dengan mempelajari rukun-rukunnya, sunat-sunatnya dan syarat-syarat kebatinannya.

      Sebesar-besar nikmat yang pernah dikurniakan Allah ke atas hamba-hambaNya ialah dengan menjadikan puasa itu benteng bagi para wali dan perlindungan bagi mereka dari segala tipu daya syaitan dan angan-angannya, sebagaimana Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:

      “Puasa itu separuh kesabaran”

      Allah telah berfirman:

      “Hanyasanya orang-orang yang sabar itu dipenuhi pahalanya tanpa perhitungan.”   (az-Zumar: 10)

      Kalau begitu pahalanya kesabaran itu telah melampaui batas-batas perkiraan dan perhitungan dan memadailah kalau kita mengetahui keutamaannya dengan sabda Rasulullah s.a.w. yang berikut:

      Demi Allah yang jiwaku berada di dalam genggamanNya, bahawa bau mulut seorang yang berpuasa adalah lebih harum pada sisi Allah dari bau-bauan minyak kasturi. Allah azzawajalla berkata: Sesungguhnya ia telah meninggalkan syahwatnya, makannya dan minumannya kerana Aku. Puasa itu (dilakukan) kerana Aku, dan Akulah yang akan memberikan balasannya sendiri.”

      Orang yang berpuasa itu dijanjikan Allah akan bertemu denganNya untuk menerima balasan puasanya itu.

      Rasulullah s.a.w telah bersabda:

      “Orang yang berpuasa itu mempunyai dua kegembiraan: Kegembiraan yang pertama ketika masa berbuka puasanya, dan kegembiraan yang lain ialah ketika masa menemui Tuhannya.”

      Dalam penafsiran makna ayat yang berikut:

      “Tiada seorang pun yang mengetahui apa-apa yang telah disembunyikan daripada mereka itu dari cahaya mata, iaitu sebagai pembalasan terhadap segala yang mereka kerjakan.” (as-Sajdah:17)

      Yakni amalan yang mereka kerjakan itu ialah berpuasa sebab Allah berfirman pula pada ayat yang lain:

      “Hanyasanya orang-orang yang bersabar itu dipenuhi pahalanya tanpa perhitungan.” (az-Zumar: 10)

      Berikutnya kita akan memasuki Kitab Rahsia Puasa.

      Di dalam kitab ini, terdapat bab-bab berikut (akan disiarkan secara berperingkat):

      Follow

      Get every new post delivered to your Inbox.

      Join 48 other followers