Ketahuilah bahawa hari Jum’at itu adalah hari yang dibesarkan oleh Islam dan dikhususkan bagi ummatnya, kaum Muslimin. Allah berfirman:

“Apabila dipanggil untuk bersembahyang pada hari Juma’at, hendaklah berusaha berzikir kepada Allah dan tinggalkanlah berjual-beli.” (al-Jumu’ah: 9)

Allah telah melarang bekerja atau berusaha pada saat itu untuk kepentingan dunia, atau untuk sesuatu perkara yang boleh menyebabkan manusia terhindar dari melakukan juma’at.

Nabi telah bersabda:

“Sebaik-baik hari yang matahari terbit padanya ialah hari Juma’at.”

Sabdanya lagi:

“Barangsiapa meninggalkan Juma’at tiga kali berturut-turut tanpa uzur (sebab), Allah akan menutup matahatinya.”

Keuzuran Juma’at ialah seperti hujan lebat, terlalu lecak, kerana ketakutan, atau kerana sakit, atau menjaga orang yang sakit kiranya  si sakit memerlukan penjagaan, dan usur-usur yang lain lagi.

Disunnatkan mandi pada hari itu, walaupun sudah hampir waktu sembahyang, supaya kebersihannya lebih dekat dengan waktu melakukan sembahyang itu.

Disunnatkan juga mencukur kepala, memotong kuku memendekkan misai, memakai wangi-wangian dan mengenakan sebaik-baik pakaian.

Disunnatkan juga menyegerakan pemergian ke masjid jami’. Dalam perjalanannya ke sana, hendaklah ia dalam keadaan khusyu’, merendah diri, menyegerakan kepergiannya bila sudah terdengar azan menyeru sembahyang Juma’at. Bila dalam masjid, janganlah ia melangkah-melangkah kepala orang.

Tetapi jika saf awal masih ada yang kosong, tidak dipenuhi oleh orang-orang yang telah hadir, maka tiadalah dilarang baginya untuk melangkah menuju ke sana sebab mereka itu telah mencuaikan saf-saf mereka dan telah mengabaikan tempat-tempat yang diutamakan.

Berkata al-Hassan al-Basri r.a.: Tiada mengapalah untuk melangkah orang-orang yang duduk di pintu-pintu masjid pada hari Juma’at, kerana yang demikian itu tiada haram.

Apabila masuk masjid, hendaklah ia sembahyang dua rakaat, walaupun ketika itu Imam sedang berkhutbah, Janganlah hendaknya ia berjalan di celah-celah orang ramai, malah cukuplah ia duduk di tiang yang terdekat dengannya, ataupun di tembok di situ agar orang ramai tiada melalui di hadapannya ketika ia bersembahyang nanti, sebab yang demikian itu adalah amat dilarang. Kalau ada orang yang melalui di hadapannya, hendaklah ia menolaknya. Jika ia tiada mendapati tiang, maka hendaklah ia meletakkan di hadapannya sesuatu barang sejarak satu hasta untuk menjadikan tanda batasan baginya.

Mendapatkan saf awal itu adalah digalakkan sekali, atau duduk berdekatan dengan mimbar Khatib, supaya ia boleh mendengar ucapannya dengan jelas. Dimakruhkan pula bersembahyang di pasar, ataupun di bahagian luar dari masjid. Bila Khatib Juma’at keluar, hendaklah segera ia memberhentikan pembicaraan, dan terus menjawab azan yang dikumandangkan oleh bilal, kemudian mendengar pula khutbah seluruhnya dengan penuh perhatian.

Dalam hal ini, Nabi s.a.w. pernah bersabda:

“Siapa yang berkata kepada temannya sedangkan Imam masih berkhutbah: Diamlah! Maka dia telah lalai, dan barangsiapa yang lalai pada waktu Imam sedang berkhutbah, maka tiada (pahala) Juma’at baginya.”

Ini menunjukkan bahawa untuk mendiamkan orang yang berkata-kata ketika Imam sedang berkhutbah, haruslah dilakukan dengan isyarat atau dengan melemparkan batu, tidak boleh dengan ucapan.

Setelah selesai sembahyang Juma’at, kembalilah ia kepada urusannya seraya mengingatkan Allah azzawajalla, memikirkan kebesaranNya. MensyukuriNya atas taufiqNya, serta merasakan ketakutan kiranya ia telah melakukan sesuatu yang tiada layak.

Rasulullah s.a.w. sendiri sering bersembahyang dua rakaat lagi dirumahnya sesudah sembahyang Juma’at.

Disunnatkan juga memperbanyak salawat ke atas Rasulullah s.a.w. pada hari itu dan pada malamnya. Sayugialah ia memberikan sedekah pula kepada orang-orang yang berhajat, kecuali kepada orang yang meminta-minta dalam masjid pada masa Imam sedang membaca khuthabnya.

Berkata Ibnu Mas’ud: Apabila seseorang itu meminta-minta di dalam masjid, maka sepatutnyalah dia tiada diberi.

Yakni: peminta-peminta sedekah di dalam masjid yang melangkah-langkah kepala orang ramai tidak sepatut diberi sedekah. Tetapi kirannya ia meminta dalam berdiri atau duduk di tempatnya, tanpa melangkah-langkah kepala orang ramai, maka bolehlah ia diberikan sedekah itu.

Setengah para Salaf pula tiada memandang wajar membeli air minum di dalam masjid dari tukang jual air untuk diminum, atau dibahagi-bahagikannya kepada orang ramai sebagai sedekah, agar tiada berlaku penjualan di dalam masjid, kerana jual-beli di dalam masjid itu adalah makruh hukumnya. Kata mereka: Tiada mengapa kiranya dia membayar harganya di luar masjid untuk diminum, atau dibahagi-bahagikan kemudiannya di dalam masjid.

Sebaik-baiknya juga, seseorang itu menambah amalan-amalan baik pada hari Juma’at, kerana Allah s.w.t. jika mengasihi seseorang hamba didorongkannya untuk membuat amalan-amalan yang baik dalam waktu-waktu yang baik pula