Bila anda mendengar suara muazzin azan. Hendaklah anda gambarkan di dalam hati, betapa hebatnya seruan yang akan berlaku nanti di Hari Kiamat. Oleh itu anda merasakan pada lahir dan batin anda hendak cepat-cepat menyahut seruan itu, kerana orang-orang yang akan diseru dengan lemah-lembut kelak di hari perkiraan yang terbesar (Hari Kiamat).

Adapun taharah ataupun kesucian itu, jika di tempat anda (melakukan sembahyang itu), ia diumpamakan sebagai tutup yang terjauh; jika di pakaian anda, ia diumpamakan sebagai tutup yang terdekat; jika di kulit badan anda, ia diumpamakan sebagai bungkus yang terhampir sekali, maka hendaklah anda jangan pula sampai terlalai akan isinya yang diumpamakan sebaagai zat anda, iaitu hati yang berada di dalamnya. Hati itu haruslah dipelihara kesuciannya dengan banyak bertaubat dan menyesali diri atas segala yang telah terlanjur.

Di samping itu hendaklah anda sungguh-sungguh berazam untuk meninggalkan segala ketelanjuran itu di masa hadapan. Kebatinan anda itulah yang seharusnya dipelihara dan disucikan, kerana dialah yang menjadi tempat pandangan Allah s.w.t. yang kita beribadat kepadaNya.

Adapun menutup aurat pula maka ketahuilah bahawa maksudnya ialah menutup segala kejelekan badan anda dari pandangan orang ramai, kerana zahirnya tubuh badan itu menjadi tempat pandangan orang ramai. Apatah lagi dengan aurat-aurat kebatinan anda yang merupakan kecelaan dan keburukan yang berselindung di dalam diri anda itu, yang tidak dapat disingkapkan, melainkan oleh Allah Azzawajalla, maka lebih-lebih lagi harus dijaga dan dipelihara.

Sebaik-baiknya hendaklah anda bayangkan semua keburukan itu di dalam hati anda, dan berusahalah agar kesemuanya ini dapat ditutup. Dalam pada itu, hendaklah anda yakin bahawa tiada sesuatu pun yang akan dapat terlindung dari pandangan Allah s.w.t., tetapi yang boleh menutupnya atau menghapuskannya ialah dengan menyesali diri, merasa malu dan menampakkan ketakutan kepada Allah s.w.t. Apabila semua sifat-sifat ini telah berada dalam hati, ketika itulah jiwa anda akan merasa hina dan rendah dan hati pun sentiasa akan mengecap ketenangan di bawah perasaan malu tadi. Pada waktu itu anda akan berdiri di hadapan Allah Azzawajalla sebagai seorang hamba yang berdosa, yang membuat banyak kesalahan, ataupun seperti seorang budak yang telah melarikan diri lalu menyesal dan kini kembali semula kepada tuannya, sedang menundukkan kepalanya kerana terlalu dikuasai perasaan malu dan takut.

Adapun menghadapkan muka ke kiblat, iaitu memalingkan zahirnya wajah anda dari semua arah menghadap ke arah Baitullah Ta’ala. Jangan pula sampai anda menyangka bahawa memalingkan hati dari segala perkara dan hanya ditumpukan kepada Zat Allah Azzawajalla itu tidak dituntut. Bahkan itulah yang sangat-sangat di tuntut pada ketika itu, dan tidak ada selainnya. Jadi apa yang dibuat dari gerak-geri lahiriah itu menunjukkan kepada gerak-geri batiniah, dan juga untuk menjaga segala gerak laku semua anggota-anggota serta menentukannya menetap pada arah yang satu saja, sehingga ia tiada menyalahi haluan hati. Sebab kiranya ia menyalahi gerak laku hati dan menzaliminya dalam segala gerak-gerinya dan haluannya ke arah-arahnya, niscaya ia akan menarik hati bersama-sama berpaling dari arah Allah Azzawajalla. Oleh kerana itu berhati-hatilah agar haluan hatimu menyertai haluan tubuh badanmu.

Ketahuilah, sebagaimana wajah itu tiada boleh menghadapkan ke arah Baitullah (Kaa’bah) kecuali dengan memesongkannya dari arah-arah yang lain, begitu pulalah hati tiada akan menuju kepada Allah Azzawajala, melainkan dengan memalingkannya dari yang lain-lain dan mengosongkannya dari ingatan-ingatan selain dari Allah.

Adapun I’tidal atau berdiri tegak lurus, maka yang sebenarnya batang tubuh seseorang itulah yang sedang berdiri tegak, manakala hatinya pula sedang berhadapan dengan zat Allah azzawajalla, dan mengingatkan hati agar bersifat dengan sifat rendah diri, hina dan melepaskannya dari perasaan membesarkan diri dan takabur. Selain itu, ia akan mengingatkannya lagi pada hari berdirinya di hadapan Allah azzawajalla, dan pada hari susah-payahnya diri ketika dibawa ke pengadilan untuk disoal di Hari Kiamat kelak.

Oleh itu, hendaklah anda ketahui bahawa pada ketika itu anda sedang berdiri di hadapan Allah Azzawajalla, dan Dia sedang memerhatikan anda dan mengatahui segala rahsia anda. Sayugialah hendaknya, anda berdiri pada waktu itu, seperti anda berdiri di hadapan raja pada zaman sekarang, ini jika anda sebenarnya tidak berdaya untuk mengesan kebesaran Allah yang Maha Berkuasa itu.

Adapun niat itu merupakan suatu keazaman untuk menyahut perintah Allah azzawajalla, yakni menunaikan sembahyang yang difardhukan ke atas anda serta menyempurnakannya dengan penuh harapan, agar mendapat balasan pahalaNya dan merasa takut dari siksaanNya. Begitu juga untuk memohon mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. dengan penuh cita-cita untuk mencapai pengurniaanNya; iaitu agar Allah s.w.t. akan menggerakkan hati untuk bermunajat kepadaNya, meskipun dosa anda sudah terlalu banyak. Maka hendaklah anda membesarkan darjat munajat kepada Allah itu dalam diri anda, sebagai suatu perkara yang amat penting sekali. Kemudian, hendaklah anda perhatikan di dalam hati anda, siapakah sebenarnya yang anda bermunajat kepadanya ketika itu?. Bagaimana pula seharusnya munajat itu kepadaNya?. Dan apakah yang anda ucapkan dalam munajat itu?.

Dalam menjalankan munajat serupa itu, sepatutnya anda merasakan peluh mengalir dari atas dahi kerana perasaan malu, manakala tubuh anda merasa gementar pula, kerana kehebatan kedudukan  di masa itu. Dan akan pucat-lesilah wajah anda dari perasaan ketakutan.

Adapun bacaan takbir itu, maka apabila anda menyebutkan dengan lisan hendaklah jangan anda mendustakannya di dalam hati. Andaikata di dalam hati ketika itu ada sesuatu yang dipandang lebih besar dari Allah s.w.t., ataupun hawa nafsu itu lebih menguasai jiwa anda daripada Tuhan yang  sedang anda beribadat kepadaNya, kemudian anda menurutkan pula kemahuan hawa nafsu itu, maka samalah seperti anda menjadikannya Tuhan selain dari Allah yang anda membesarkanNya. Jadi kata-kata Allahu Akbar itu tiada lain hanyalah semata-mata di bibir saja, manakala hati tiada mengakuinya atau membantunya. Alangkah berbahayanya orang yang  berkeadaan  sedemikian itu, kalaulah tidak diikutkan segera dengan taubat dan istightar, dan terutama sekali persangkaan yang terbaik terhadap Allah s.w.t. yang melalui kemurahanNya dan belas kasihanNya dapat memberikan keampunaan kepada kita sekalian.

Adapun doa Iftitah, maka ucapan anda yang pertama sekali ialah:

“ Aku menghadapkan wajahku kepada yang menjadikan petala langit dan bumi.”

Yang dimaksudkan dengan perkataan wajah di sini bukanlah wajah atau muka yang lahir itu, kerana anda menghadapkannya ke arah kiblat. Allah s.w.t. Maha Suci daripada boleh ditetapkan adaNya di sesuatu arah atau jihat yang tertentu, sehingga anda menghadapkan muka atau wajah di badan itu ke arahnya. Akan tetapi yang dimaksudkan dengan wajah itu ialah wajah hati yang harus menghadap atau menghala kepada Tuhan Pencipta petala langit dan bumi. Jadi hendaklah anda perhatikan adakah ia menuju atau menghala kepada berbagai angan-angan atau cita-cita dan adakah perhatiannya masih tertumpu ke dalam rumah atau di pasar menurutkan segala macam syahwat dan hawa nafsu, ataupun ia sebenarnya telah menuju atau menghala kepada Tuhan Pencipta langit?.

Awaslah, jangan sampai pula pekerjaan munajat itu dimulakan dengan berdusta. Ingatlah bahawa wajah hati itu tidak mungkin ditujukan semata-mata khalish kepada Allah s.w.t. melainkan dengan memalingkan wajah itu dari perkara-perkara selain Allah. Oleh itu hendaklah berusaha bersungguh-sungguh dengan serta-merta memusatkan tujuan kita kepada Allah s.w.t.

Kiranya tidak mampu melakukan yang demikian terus-menerus, maka hendaklah berkata dalam diri; Sekarang aku akan cuba lagi, Kiranya tidak mampu juga, maka hendaklah mencuba lagi dengan sebenar-benarnya.

Kemudian apabila membaca:

“Dalam keadaan cenderung dan berserah.”

Apabila membaca:

“Dan tiadalah aku dari golongan orang-orang musyrikin”

Sewajarnyalah anda memahamkan di dalam hari bahawa syirik yang tersembunyi itu ialah umpama seorang mengkasadkan (meniatkan) ibadatnya kepada Allah s.w.t., tetapi dalam pada itu, dia suka memuja-muja manusia. Ingatlah dan peliharalah diri anda dari rupa syirik ini, dan hendaklah merasakan malu di hati anda, kalau anda mendakwa diri bukan dari golongan orang-orang yang musyrikin, tetapi anda tidak terlepas dari perbuatan syirik ini, Ketahuilah bahawa pengertian syirik itu terkena kepada perbuatan yang sedikit, mahupun yang banyak dari kelakuan serupa itu.

Apabila membaca:

“Hidupku dan matiku kerana Allah Ta’ala.”

Ketahuilah bahawa hal serupa ini adalah sama seperti halnya seorang hamba yang kehilangan dirinya, dan kini sedang berada di hadapan tuannya. Kalaulah kata-kata itu diucapkan oleh seorang yang keredhaannya, atau kemarahannya, atau berdirinya, atau duduknya, atau keinginannya untuk hidup terus-menerus dan kegerunannya dari menemui maut semata-mata, kerana urusan keduniaan tentulah tidak sesuai untuk keadaannya seketika itu.

bersambung …

Advertisements