bersambung dari: Beberapa Perkara Yang Harus Diperhatikan Ketika Mengerjakan Rukun dan Syarat Sembahyang (2)

Adapun tentang ruku’ dan sujud itu, sayugialah di waktu melakukanya diperbaharui ingatan terhadap kebesaran Allah s.w.t., dan ketika mengangkat kedua tangan pula disertakan memohon pengampunan Allah dari siksaanNya. Sesudah itu, anda menunjukkan pula kerendahan diri penuh tawadhu’ dengan melakukan ruku’ kepadaNya. Di waktu itu, hendaklah anda bersungguh-sungguh melembutkan hati dan membaharui khusyu’ dengan sepenuh perasaan, kerana di hadapan anda itu adalah Tuhan yang Maha Mulia dan Maha Besar. Segala perasaan ini harus diakui oleh hati manakala lisan turut menolong menyebutkannya.

Anda mengucapkan tasbih terhadap Tuhan seraya menyaksikan bagi ZatNya keagungan, dan bahawasanya Dia adalah Maha Besar dari segala yang besar. Sebutan itu haruslah diulang-ulangi di dalam hati sehingga ia kekal kukuh di situ. Lantas anda tegak berdiri semula dari ruku’ dengan membawa penuh harapan pada diri anda, sambil menyebutkan:

“Allah telah mendengar orang yang memujiNya.”

Yakni: Allah telah menyahut kepada orang yang memujiNya. Kemudian anda menggadakan pula dengan kepujian yang bertambah, dengan berkata:

“Wahai Tuhan kami Bagimu segala kepujian.”

Kemudian menambahkan lagi kepujian, dengan membaca:

“Pujian yang meliputi segala petala langit dan bumi.”

Seterusnya anda turun untuk bersujud. Sujud itu merupakan setinggi-tinggi darjat kerendahan diri, kerana anda telah meletakkan semulia-mulia anggota anda, iaitu wajah ke tempat yaang paling rendah sekali, iaitu tanah. Jika boleh, lebih utama lagi, kalau anda terus bersujud ke atas tanah, tanpa ada apa-apa yang  mengalasnya, kerana itu akan lebih menimbulkan perasaan khusyu’ dalam diri dan lebih menunjukkan kepada pernerimaan diri akan kehinaan. Andai kata anda sanggup meletakkan diri anda ke tempat yang terendah, berarti anda telah meletakkan ke tempatnya  yang wajar, sama seperti anda mengembalikan cabang kepada asalnya. Sebab asal anda dijadikan dari tanah dan kepada tanah juga anda akan kembali kelak. Pada ketika itu, sayugialah anda memperbaharui ingatan kepada kebesaran Allah di dalam hati, kemudian barulah anda mengucapkan:

“Maha Suci Tuhanku yang Maha Tinggi.”

Perkukuhkanlah bacaan itu dengan berulangkali, sebab dengan membaca sekali saja tidak akan meninggalkan kesan yang kuat dalam diri. Apabila hati anda menjadi lembut dan tipis dan telah ternyata yang demikian, maka hendaklah anda menunjukkan kebenaran harapan anda kepada rahmat Allah Ta’ala, sebab rahmatNya  akan segera lahir dalam diri yang lemah dan hina, bukan dalam diri yang sombong dan bongkak. Kini angkatkanlah  kepalamu dengan membaca takbir, seraya meminta  pula hajatmu dengan berkata:

“Wahai Tuhanku! Ampunilah aku dan belas kasihanilah.”

Pada waktu itu, hendaklah anda melahirkan perasaan tawadhu’ dan merendah diri, kemudian kembalikan semula bersujud buat kedua kalinya.

Adapun tasyahhud itu, apabila anda duduk hendaklah duduk secara beradab sambil menjelaskan di dalam hati, bahawa semua yang diucapkan dari salawat (doa dan tadharru’) serta segala kebaikan; iaitu akhlak yang suci-murni, adalah semata-mata kerana Allah Ta’ala. Begitu pula kita simpulkan bahawa Kerajaan Semesta itu adalah bagi Allah jua. Demikianlah makna sebenarnya  dari bacaan tahiyat dalam duduk bertasyahhud itu

Kemudian ingatkah di dalam hati peribadi Nabi Besar Muhammad s.a.w, seraya anda ucapkan:

“Salam sejahtera ke atasmu, wahai Nabi, dengan rahmat Allah serta keberkataanNya.”

Benarkanlah harapan anda bahawa salam itu akan sampai kepada baginda Rasulullah s.a.w. serta baginda akan membalas salammu itu dengan lebih sempurna. Selanjutnya, anda memberi salam pula ke atas diri anda sendiri dan ke atas sekelian hamba-hamba Allah yang salihin. Seterusnya, anda menyaksikan pula sifat wahdariah atau keesaan bagi Allah, dan bagi Muhammad pula kerasulan yakni perutusan yang sebenar. Ini sebagai memperbaharui janji kepada Allah s.w.t. Dengan mengulang-ucap dua kalimah Syahadat dan mengharapkan perlindungan di dalam bentengnya.

Kemudian pada akhir sembahyang, berdoalah dengan doa-doa yang ma’tsur (yang diajarkan oleh Nabi) dengan penuh perasaan tawadhu’ dan khusyu’, dengan penuh perasaan hina-dina dan rendah diri serta kebenaran harapan untuk menerima pengabulan. Jangan lupa menyertakan doa untuk kedua ibu-bapa dan sekalian kaum Mu’minin.

Di waktu mengucap salam pula, niatkan sekali salam ke atas para Malaikat dan sekalian orang yang hadir ketika itu. Sambil meniatkan sama berakhirnya sembahyang itu Jangan lupa pula merasakan kesyukuran anda terhadap Allah s.w.t. kerana taufiqNya, sehingga anda dapat menyempurnakan ibadat sembahyang itu. Kemudian kalau ada kecuaian atau kelalaian dalam ibadat itu rasakanlah di dalam hati anda perasan takut dan malu. Anda sepatutnya merasa bimbang juga, kalau-kalau sembahyang itu tidak diterima oleh Allah s.w.t., atau barangkali kerana dosa lahir atau batin, maka sembahyang itu pun ditolak di hadapan muka anda. Dalam hal ini, hendaklah anda mempunyai harapan penuh agar Allah s.w.t. akan menerima sembahyang itu disebabkan sifat rahmatnya dan kemurahatianNya.

Demikianlah keterangan mengenai sembahyang  orang-orang yang penuh khusyu’, sesuai dengan firman-firman Allah Ta’ala:

“Mereka yang berlaku penuh kekhusyu’an di dalam sembahyang mereka.” (al-Mu’minun: 2)

“Dan mereka sentiasa memelihara sembahyang mereka.” (al-Mu’minun: 9)

“Dan mereka yang tetap mengerjakan sembahyang mereka.” (al-Ma’arij: 23)

Dan mereka itu juga tergolong orang-orang yang bermunajat kepada Allah s.w.t. menurut kadar kemampuannya untuk mengatakan ubudiahnya (perhambaannya). Sayugialah setiap manusia itu mendedahkan dirinya kepada semua sembahyang-sembahyang ini. Mana-mana yang dia mampu memyempurnakannya, hendaklah ia merasa gembira. Mana-mana yang terlepas atau tertinggal, hendaklah ia merasa dukacita, dan hendaklah ia berusaha  bersungguh-sungguh pula untuk memperbaikinya.

Adapun orang-orang yang lalai dalam sembahyangnya, maka ia amatlah membimbangkan sekali, kecuali jika Allah mahu melimpahinya dengan rahmatNya. Kita memohon Allah s.w.t. agar dilimpahiNya kita dengan rahmatNya dan keampuanNya, kerana tiada lain jalan bagi kita melainkan mengaku tentang  diri ketidak-mampuan kita untuk menunaikan sepenuh ketaatan terhadap Allah Ta’ala’.

Kunci untuk menambah tingkatan dan darjat diri ialah menerusi sembahyang. Allah berfirman:

“Sungguh telah menang (berbahagia) orang-orang yang beriman, yang berlaku khusyu’ dalam sembahyang mereka.” (al-Mu’minun: 1-2)

Allah s.w.t telah memuji kumpulan orang-orang ini, setelah mereka beriman kepadaNya dengan sesuatu sembahyang yang tertentu; iaitu sembahyang yang disertai kekhusyu’an. Kemudian Allah Ta’ala telah melengkapkan sifat-sifat orang yang  berbahagia itu dengan menyebutkan tentang sembahyang pula, dengan firmanNya:

“Dan mereka sentiasa memelihara sembahyang mereka.” (al-Mu’minun: 9)

Lalu Allah s.w.t. menyanjung sifat itu dan menentukan balasanNya dengan berkata:

“Mereka itulah yang menjadi pewaris-pearis yang mewarisi Syurga Firdaus, di mana mereka akan tinggal berkekalan di dalamnya.” (al-Mu’minun: 10-11)

Jadi Allah s.w.t. telah mensifatkan mereka itu sebagai orang-orang yang menang dan berbahagia pada mula ayat, kemudian mensifatkan mereka sekali lagi dengan orang-orang yang bakal mewarisi Syurga Firdaus sesudah itu.

Menurut keyakinan saya, bahawa membaca dengan terlalu cepat, sedang hati pula lalai tidak akan dapat mencapai sifat-sifat yang dijanjikan oleh Allah Ta’ala tadi. Sebab itulah Allah telah berfirman di dalam al-Quran menerangkan sifat-sifat orang yang di sebalik sifat-sifat tadi.

“Apakah yang menyebabkan kamu termasuk ke dalam Neraka saqar. Mereka menjawab: Kerana kami bukan tergolong orang-orang yang bersembahyang.” (al-Muddatstsir:42-43)

Hanya orang-orang yang bersembahyang sajalah yang bakal mewarisi Syurga Firdaus, dan mereka jugalah orang-orang yang dapat melihat cahaya Allah Ta’ala dan orang-orang yang merasakan kenikmatan, kerana Allah s.w.t. amat hampir dan dekat sekali kepada diri dan hati mereka. Mudah-mudahan kita semua termasuk kedalam golongan ini.

Advertisements