Syarat-syarat yang menjadikan sesuatu sembahyang itu istimewa dari segi kebatinannya banyak sekali, tetapi bolehlah disimpulkan kepada enam perkara:

(1)    Kehadiran hati dalam sembahyang.

(2)    Mengerti bacaan-bacaan sembahyang.

(3)    Membesarkan Allah dalam sembahyang.

(4)    Merasakan kehebatan Allah dalam sembahyang.

(5)    Penuh harapan.

(6)    Perasaan malu.

Berikut kita sebutkan huraiannya secara terperinci, kemudian sebab-sebabnya, dan seterusnya mengusahkan cara untuk mencapai syarat-syarat tersebut:

(1)    Kehadiran hati dalam sembahyang.

Maksudnya ialah agar dapat kita mengosongkan hati itu dari segala urusan yang boleh mengganggu, ataupun yang tak ada sangkut-pautnya dengan ibadat sembahyang yang sedang dikerjakan itu. Maka hendaklah pengetahuannya dengan gerak laku badan dan gerak-geri hati itu bersaingan kedua-duanya sekali; dan jangan sampai pemikirannya berputar kepada selain dari keduanya itu.

(2)    Mengerti bacaan-bacaan sembahyang.

Memahami atau mengerti maksud-maksud perbicaraan dalam sembahyang itu adalah menjadi seperkara yang utama dalam konteks menghadirkan hati dalam sembahyang; iaitu hati itu haruslah mengetahui segala yang dibicarakan oleh lidah, kerana sembahyang itu memang mengandungi banyak makna-makna atau maksud-maksud yang halus yang patut dimengertikan oleh seorang dalam sembahyangnya. Dengan itu, barulah sembahyang itu dapat mencegahnya dari melakukan perkara-perkara yang keji atau mungkar.

(3)    Membesarkan Allah dalam sembahyang.

Membesarkan Allah di dalam sembahyang akan memberikan pengertian yang mendalam kepada diri orang yang bersembahyang itu, di sebalik menghadirkan hati dan memahamkan bacaan-bacaannya.

(4)    Merasakan kehebatan Allah dalam sembahyang.

Merasakan kehebatan Allah akan menambahkan lagi kebesaranNya yang dirasakan di dalam sembahyang, dan ia diibaratkan sebagai ketakutan yang berpunca dari kemaha-agungnya Allah Ta’ala yang disembah ketika itu dan kemaha-tinggianNya.

(5)    Penuh harapan.

Orang yang melakukan sembahyang itu haruslah mengharapkan pahala yang banyak dari Allah s.w.t., dan sebaliknya harus pula ia merasa takut dari sikaanNya, yang mungkin ditimpakan oleh Allah ke atasnya disebabkan oleh kecuaiannya.

(6)    Perasaan malu.

Dia juga harus mempunyai perasaan malu terhadap Allah s.w.t., kerana kemungkinan sekali tanpa disadarinya telah berlaku daripadanya sesuatu kecuaian dalam sembahyang itu, atau sesuatu dosa yang tidak disangka-sangkakannya.

Bersambung: Sebab-sebab Pencapaian Keistimewaan Sembahyang

Advertisements