Adapun sebab-sebab pencapaian maksud syarat-syarat keistimewaan sembahyang ialah:

1. Hendaklah kita mengetahui bahawa yang boleh menyebabkan hati itu hadir ialah kekuatan azam, kerana hati itu sentiasa menurut keazaman kita: Hati tidak akan hadir, melainkan sesudah kita menujukan keazaman kita kepadanya. Jadi bila timbul sesuatu perkara yang menarik perhatian kita, tentulah hati kita akan hadir dan meletakkan perhatiannya kepada perkara itu, sama ada secara sukarela mahupun terpaksa, sebab hati itu diciptakan dalam fitrah yang semacam itu dan ia tetap tertakluk kepadanya.

Jika sekiranya hati itu tiada hadir dalam sembahyang, tentulah ia tidak akan berdiam diri begitu saja, bahkan ia akan berkeliaran ke sana ke mari menunjukan perhatiannya kepada hal-ehwal keduniaan. Oleh itu, tiada jalan lain atau tiada penawar untuk menghadirkan hati itu, melainkan dengan menumpukan segala perhatian kita kepada sembahyang semata-mata. Dan perhatian kita itu tidak akan dapat dihadapkan sepenuhnya kepada sembahyang, selagi belum ternyata atau terbukti bahawa hati yang dituntut itu sepenuhnya bergantung kepada sembahyang.

Yang demikian itu dapat dicapai melalui keimanan dan keyakinan yang menetapkan, bahawa akhirat itu adalah lebih baik dan lebih kekal, dan bahawasanya sembahyang pula adalah sebagai suatu wasilah atau jalan untuk mencapai kebahagiaan itu di sana.

2. Memahamkan bacaan, iaitu sebabnya sesudah menghadirkan hati, ialah menetapkan dan memusatkan akal fikiran  untuk menangkap maksud dari segala pertuturan dalam sembahyang. Penawarnya adalah seperti yang tersebut di atas tadi serta menumpukan fikiran dan menyediakannya untuk menolak segala yang mungkin mengacaunya, dan cara menolaknya ialah dengan menolak punca-puncanya; yakni pokok-pokok bagi sebab-sebab yang boleh mempengaruhi akal fikiran dan mengajaknya untuk berfikir-fikir.

3. Membesarkan atau memuliakan Allah dalam sembahyang, dan yang demikian itu harus datangnya dari hati dengan dua cara:

a. Mengenal kebesaran Allah azzawajalla dan keagunganNya dan ini adalah dari asal-usul keimanan.

b. Mengenal kerendahan jiwa dan kehinaannya serta keadaannya sebagai seorang hamba yang tertakluk dan bertuhankan Allah yang Maha Agung.

Pengenalan terhadap kedua-dua cara ini haruslah berterusan sehingga timbul ketenangan, kerendahan hati dan seterusnya kekhusyu’kan terhadap Allah s.w.t., maka ketika itulah baru kita kenal pengertian membesarkan Allah dengan penuh  kesempurnaan.

4. Adapun merasakan kehebatan atau ketakutan itu adalah keadaan yang harus disifati oleh jiwa yang akan timbul sesudah mengenal akan kekuasaan Allah dan kesanggupanNya, lalu melaksanakan kehendakNya tanpa campur tangan dari kuasa-kuasa yang lain. Jika sekiranya Allah memusnahkan yang awal (terdahulu) semua sekali dan yang akhir (terkebelakang) semua sekali, maka tiadalah akan berkurangan dari kerajaanNya sesuatu sebesar zarrah (atom) pun. Oleh sebab itulah apabila bertambah ilmu kita mengenai Allah, akan bertambah pulalah ketakutan dan kehebatan perasaan kita terhadapNya.

5. Adapun pengharapan, maka sebabnya ialah pengenalan kita kepada belas kasihan Allah s.w.t. dan rahmatNya, serta segala kenikmatan dan kemaha-halusan penciptaanNya. Begitu pula dengan menyakinkan kebenaran janjiNya dengan balasan syurga bagi orang yang melakukan sembahyang. Apabila telah muncul keyakinan dalam hati tentang segala janji-janji Allah, dan muncul sama pengenalan tentang belas kasihanNya, niscaya tidak syak lagi akan timbullah kesan dari kedua-duanya tadi hakikat pengharapan.

6. Akhir sekali perasaan malu, dan dengan adanya sifat malu itu dalam diri, akan teringatlah kita akan kecuaian kita dalam menjalankan ibadat serta mengetahui, bahawa kita ini memang tidak mampu untuk mendirikan semua hak-hak Allah Azzawajalla. Perasaan serupa itu akan menolong kita untuk mengingat  tentang keaiban-keaiban diri dan dan kecelaannya, ketidak-iklasan diri dan kecenderungannya kepada balasan-balasan yang kontan dalam segala amal perbuatannya, padahal kita mengetahui tentang kebesaran apa yang bakal ditentukan oleh Allah yang Maha Mulia (yakni dari balasan terkemudian). Dan hendaklah kita menyakini, bahawa Allah Azzawajalla itu mengetahui dan menyingkap segala rahsia dan gerak-geri hati meskipun ia terlalu kecil atau masih samar-samar.

Semua makrifat-makrifat ini bila ditemui dengan keyakinan akan terpancarlah daripadanya, tidak syak lagi, suatu keadaan atau perasaan yang dinamakan perasaan malu terhadap Allah Azzawajalla.

Sekianlah sebab-sebab bagi semua sifat-sifat yang disebutkan di atas tadi. Setiap yang hendak dicari huraiannya, terlebih dulu hendaklah diterangkan  sebab-sebabnya, kerana setelah mengenal sebab-musababnya dapatlah pula mengenal ubat dan penawarnya. Manakala ikataan bagi semua sebab-sebab ini ialah keimanan kepada Allah Azzawajalla dan keyakinan terhadapNya.

Berikutnya: Penawar berguna untuk menghadirkan hati

Advertisements