Ketahuilah bahawa dalil-dalil pada mensyaratkan khusyu’ atau kehadiran hati dalam sembahyang itu banyak sekali, di antaranya firman Allah Ta’ala:

“Dan dirikan sembahyang itu untuk mengingatiku” (Taha: 14)

Nyatakan perintah untuk mendirikan sembahyang itu merupakan perintah yang wajib. Kelalaian dan kelengahan dalam perkaranya adalah bertentangan dengan maksud mengingatkan Allah. Barangsiapa yang lalai atau lena dalam semua sembahyangnya, tidak boleh dikatakan dia mendirikan sembahyang kerana mengingati Allah.

Allah berfirman:

“Dan janganlah kamu termasuk golongan orang-orang yang lalai.” (al-A’raf: 205)

Ayat di atas memberikan maksud larangan, tetapi lahirnya menunjukkan pengharaman. Dalam ayat yang lain Allah berfirman:

“Sehingga kamu sekalian mengetahui apa-apa yang kamu ucapkan.” (an-Nisa’: 43)

Ayat tersebut memberikan maksud larangan bagi orang-orang yang mabuk untuk memasuki sembahyang. Ini boleh juga dikenakan ke atas orang-orang yang lalai, orang-orang yang berserabut fikirannya dengan waswas dan hal-ehwal keduniaan.

Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Hanyasanya sembahyang itu adalah dengan bertenang diri dan merendahkan diri.”

Dimulakan dengan rangkaikata hanyasanya di sini, bermaksud bahawa sembahyang yang dilakukan tanpa keterangan dan kerendahan diri bukanlah dinamakan sembahyang yang dituntut oleh syara’.

Sabda Rasulullah s.a.w.:

“Barangsiapa bersembahyang, padahal sembahyangnya itu tidak dapat mencegahnya dari perbuatan keji dan mungkar, maka orang itu tiada akan bertambah sesuatu dari Allah melainkan jauh daripadanya.”

Sebenarnya sembahyang orang yang lalai itu tentu sekali tidak akan mencegahnya dari perbuatan keji dan mungkar.

Sabdanya lagi:

“Betapa banyaknya orang yang mendirikan sembahyang, tetapi bahagaian yang didapatinya dari sembahyang itu hanya penat-lelah semata-mata.”

Yang dimaksudkannya di sini tiada lain, melainkan orang yang lalai.

Sabdanya lagi:

“Tiada sesuatu yang diperolehi seseorang hamba dari sembahyangnya, melainkan apa yang dibuatnya dengan akal yang penuh kesabaran.”

Yang sudah terang dan jelas dari semua ayat-ayat dan Hadis-hadis di atas, bahawa orang yang sedang dalam mengerjakan sembahyang itu, sedang bermunajat atau sedang berbicara dengan Tuhannya Azzawajalla, sebagaimana yang telah diriwayatkan dari Rasulullah s.a.w. Padahal kita semua telah mengetahui, bahawa orang yang berbicara sedangkan dia lalai dan tidak hadir hatinya, tidaklah boleh dinamakan munajat sama sekali.

Jika seseorang bersumpah dengan berkata: “Sungguh-sungguh aku akan berterima kasih kepada si Fulan, aku akan memujinya serta memohon daripadanya sesuatu hajat, lalu di dalam tidurnya dia bermimpi bahawa dia mengucapkan kata-kata itu (yakni apa yang dia bersumpah tadi), maka tiadalah terkira luput atau gugur dia dari sumpahnya itu.

Ataupun jika dia mengucapkan kata-kata itu di sebuah tempat yang gelap-gelita, sedangkan si Fulan yang harus ditunjukkan sumpahnya itu berada di situ, tetapi dia tiada mengatahui kehadiran si Fulan itu di situ dan tiada melihatnya ketika itu, maka hukumnya tiada juga gugur dia dari sumpahnya tadi, sebab semua ucapannya itu tidak ditunjukan kepada si Fulan yang dimaksudkan, kerana si Fulan itu tidak hadir dalam hatinya ketika kata-kata itu diucapkan.

Ataupun jika dia mengucapkan kata-kata itu di siang hari dan kali ini pula si Fulan yang harus ditunjukan sumpahnya itu ada di situ, dapat dilihat olehnya dengan terang, Tetapi malangnya, dia lalai dan lena, kerana ketika itu, barangkali dia sedang dalam keadaan susah atau banyak fikiran. Dia mengucapkan kata-kata itu, padahal hatinya di tempat lain, tidak ditunjuk ucapanya itu kepada si Fulan yang termaksud itu, maka hukumnya sama belaka, iaitu tiadalah dia gugur dari sumpahnya.

Sememangnya sudah tidak dapat disangsikan lagi, bahawa maksud daripada bacaan dan zikir di dalam sembahyang itu, adalah untuk memanjatkan puji-pujian, kesyukuran, kerendahan diri serta doa kepada Allah s.w.t. Seolah-olah kita bercakap-cakap kepada Allah azawajalla yang berada di hadapan kita. Maka kiranya hati kita tertutup oleh tabir kelalaian, sudah tentulah Zat Allah s.w.t. akan terlindung dari hati kita, maka kita tidak  akan dapat melihat atau menyaksikanNya. Malah hati kita itu akan menjadi lalai dari yang diajak bercakap-cakap itu, dan tinggallah mulutnya saja yang komat-kamit menurut kebiasaanya. Alangkah jauhnya orang ini dari pengertian sembahyang yang sebenarnya yang disyaratkan untuk menggilapkan (membersihkan) hati dan membaharukan zikir Allah azzawajalla serta memperkukuh ikatan keimanan.

Pendekata kehadiran hati dalam sembahyang merupakan jiwa dan roh kepada sembahyang itu sendiri. Barangsiapa yang mengenal rahsia-rahsia sembahyang, mengertilah dia bahawa kelalaian  atau ketidak-hadiran hati di dalamnya menyalahi atau bertentangan  dengan sifat sembahyang yang betul.

Berikutntya: Sebab-sebab Pencapaian Keistimewaan Sembahyang

Advertisements