Contoh syubhah yang sebab penghalalannya berkait dengan maksiat ialah seperti berjual beli di waktu azan sembahyang Jumaat, atau menyembelih bintang dengan pisau yang dirampas atau dicuri, atau berjual beli ke atas barang yang sudah dibeli atau dijual kepada orang lain, ataupun menawarkan harga yang lebih atas harga yang ditawar oleh orang ramai. Semua ini adalah terlarang dalam cara berakad jual beli, meskipun akad jual beli itu tidak rosak, yakni tetap sah.

Hanya larangan melakukan seumpama ini dikira sebahagian dari hukum wara’ saja, sebab mendapatkan keuntungan dengan melakukan perkara-perkara seumpama ini adalah makruh, sedangkan makruh itu hampir dekat dengan haram.

Misal yang lain ialah umpamanya membuat sesuatu yang boleh menarik kepada maksiat, seperti menjual anggur kepada pembuat arak, atau menjual senjata kepada perompak atau lanun.

Para ulama bertelingkah pendapat dalam perkara mengesahkan penjualan serupa itu, dan pada menentukan halalnya harga yang diterima dari penjualan itu. Tetapi kias yang diberatkan, ialah penjualan itu sah dan harganya halal, hanya orang yang melakukannya dikira menderhakanya orang yang menyembelih dengan pisau yang dirampas atau dicuri, maka penyembelihan itu tetap dikira halal.

Walau bagaimanapun, si penjual itu tetap dihukumkan menderhaka kerana dia telah menolong orang lain untuk melakukan maksiat. Perbuatannya itu tiada bergantung sama sekali dengan akad jual beli itu sendiri, manakala harga yang diterimanya itu dihukumkan makruh secara berat sekali.

Meninggalkan melakukan serupa ini, dikira suatu tanda kewara’an.

Advertisements