March 2010


Bahagian kelapan peraturan kerja-kerja haji ialah Cara-cara Umrah Hingga Tawaful Wada’ yakni seperti berikut.

Orang yang ingin mengerjakan umrah sebelum berhaji atau sesudahnya, mula-mula hendaklah ia mandi sunnat dan memakai pakaian ihram, dan seterusnya melakukan seperti cara-cara dia melakukan pada haji, sebagaimana yang telah ditunjukkan cara-cara sebelum ini.

Sesudah itu hendaklah ia, berihram atau meniatkan umrah dari miqatnya. Seterusnya bertalbiah, sembahyang dua rakaat dan berdoa apa saja yang dikehendakinya. Kemudian menuju ke Mekkah dengan bertalbiah di sepanjang jalan, sehingga sampai ke Masjidil Haram. Sesudah masuk ke dalam Masjidil-haram, dia berhenti dari bertalbiah seraya melakukan tawaf tujuh kali berkeliling Ka’bah, sebagimana yang ditunjukkan mengenai tawaf haji sebelum ini. Selesai bertawaf, lalu bersa’I pula, kemudian dia bercukur.

Dengan itu sempurnalah pekerjaan umrahnya itu.

Orang yang tinggal di Makkah, sewajarnya memperbanyakkan perkerjaan umrah dan tawaf. Hendaklah ia meminum air zam-zam seberapa banyak, hingga kenyang dan puas.

Klik untuk kembali ke senarai tajuk-tajuk kecil dalam “Peraturan kerja-kerja haji”

Klik untuk kembali ke senarai tajuk-tajuk utama dalam “Kitab Rahsia Haji”

Bahagian ketujuh peraturan kerja-kerja haji ialah Tertib Pekerjaan Haji Yang Lain yakni seperti berikut.

Apabila matahari Hari Arafah terbenam, hendaklah ia keluar dari Arafah dengan penuh tertib dan tenang, sehingga apabila sampai saja di Muzdalifah, ia pun bersembahyang qashar dan jamak antara maghrib dan isya’ pula, dengan satu azan dan dua iqamat seperti yang dibuat sebelumnya. Kemudian ia bermalam pula di Mina pada malam itu. Di Muzdhalifah ia mengutip sebanyak 70 butir batu kecil dan ringan untuk keperluan melempar jamrah nanti.

Sembahyang subuh pada hari itu, hendaklah ditunaikan leboh awal sedikit. Sesudah itu, mulalah ia melangkah menuju Masy’aril Haram, iaitu suatu tempat di penghujung Muzdalifah. Di situ Haram iaitu suatu tempat di penghujung Muzdalifah. Di situ ia berdiri sambil terbit matahari hingga sampai suatu tempat yang dipanggil “Wadi Muhassir”. Maka hendaklah ia mempercepatkan gerakan kenderaannya, sehingga dapat mengelilingi Lembah Wadi Muhassir tadi. Jika ia berjalan kaki, hendaklah ia mempercepatkan juga perjalanannya.

Apabila matahari Hari Raya telah terbit, hendaklah ia membaca talbiah dengan takbir Hari Raya beriringan-iringan, yakni sekali masa dia bertabiah dan sekali masa lagi dia bertakbir, sehinggalah ia sampai di Mina semula, di tempat-tempat melempar jamrah yang tiga itu. Pada Jamratul-Ula (Jamrah Pertama) dan Jamratus-Tsaniah, (Jamrah Kedua) tidak ada apa-apa yang wajib dilakukan pada Hari Raya itu, jadi sunnat hanya melaluinya saja sehingga sampai ke Jamratul-Aqabah ini dengan sebanyak tujuh butir batu, mengangkat tangannya dengan menghadap ke arah kiblat atau ke arah jamrah tersebut, sambil membaca pada setiap batu yang mahu dilemparkan itu begini:

“Allah Maha Besar, Kulakukan ini kerana taat kepada Tuhan ar-Rahman dan menolak tipu daya syaitan. Ya Allah! ya Tuhanku! Kulakukan ini kerana mempercayai kitabMu dan menurut perjalanan NabiMu.”

Kemudian ia menyembelih pula korbannya, jika ada korban. Sebaik-baiknya korban itu disembelih oleh tuan punya korban itu sendiri seraya membaca:

“Dengan nama Allah, dan Allah Maha Besar. Ya Allah! Ya Tuhanku! Korbanku ini sebenarnya daripadaMu dan atas namaMu aku mengorbankannya dan kepadaMu pula kembalinya korbanku ini. Terimalah ia daripadaku sebagaimana Engkau menerimanya daripada kekasihMu Ibrahim.”

Adapun korban itu diutamakan dengan unta, kemudian lembu, kemudian kambing jenis biri-biri lebih utama dari kambing biasa, yang putih lebih utama dari yang kelabu atau hitam. Dia boleh memakan dagingnya jika korban tathawwu’, yakni bukan wajib. Dan janganlah hendaknya ia menyembelih korban dari binatang yang tempang, yang cacat seperti terpotong telinga atau kurus badannya.

Sesudah selesai berkorban, barulah ia menggunting rambut. Sebaik-baik selesai pula bergunting dan melempar jamrah maka berhasillah baginya tahallul awal dan dengan itu halallah baginya semua larangan-larangan yang tersebut tadi, kecuali bersetubuh dengan isteri dan akd nikah.

Kemudian bolehlah ia pergi ke Mekah untuk bertawaf menurut cara-cara yang telah diterangkan sebelum ini. Tawaf ini ialah tawaf rukun Haji, dinamakan tawaf Ziarah, bermula waktunya dari tengah malam Hari Raya Haji tetapi lebih utama dilakukan pada Hari Raya itu sendiri. Dia tiada boleh bersetubuh dengan isteri, melainkan sesudah melakukan tawaf ini. Apabila selesai tawaf ini, maka halallah baginya persetubuhan dengan isteri serta terangkatlah semua larangan-larangan yang lain. Sekarang semua kerja-kerja haji telah selesai hanya tinggal lagi ialah melempar batu pada hari-hari tasyrik (iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah – pent) dan bermalam di Mina. Semua ini merupakan kewajiban yang mesti ditunaikan sesudah selesai ihram menurut peraturan-peraturan haji.

Adapun sebab-sebab tahallul ialah tiga perkara:

(1)   Melempar batu di Jamrah

(2)   Mencukur rambut

(3)   Membuat tawaf Rukun Haji

Jika orang haji telah melakukan dua dari tiga perkara di atas itu, maka ia telah beroleh tahallul awal. Sebenarnya tiadalah menjadi salah kalau yang satu didahulukan dan yang lain dikebelakangkan di antara ketiga-tiga perkara itu daripada penyembelihan korban, tetapi yang sebaik-baiknya ia melempar jamrah dulu, kemudian menyembelih dan sesudah itu barulah bercukur dan bertawaf.

Apabila selesai bertawaf ia kembali lagi ke Mina untuk bermalam di sana dan melempar jamrah pada hari-hari berikutnya. Jadi hendaklah ia bermalam di Mina pada malam itu, dan pada paginya iaitu hari kedua dari Raya haji setelah tergelincir matahari ia mandi sunnat kerana melempar jamrah. Lalu menuju ke tempat Jamratul-Ula sambil melempar sebanyak tujuh butir batu. Selesai melempar, hendaklah ia berdiri menghadap kiblat, seraya memuji Allah Ta’ala dengan bertahlil dan bertakbir, dan seterusnya berdoa dengan hati yang hadir dan segala anggota penuh khusyu’ dan khudhu’. Kemudian bergerak pula ke Jamratul Wusta dan melempar lagi tujuh butir batu, seperti yang dibuat pada Jamratul-Ula tadi; selesai melempar ia berdoa pula seperti yang dilakukan sebelumnya. Kemudian bergerak pula ke Jamratul –Aqabah dan melakukan sama seperti sebelumnya juga.

Selesai melempar, kembalilah ia ke rumah dan bermalam di Mina pada hari itu. Esoknya setelah menunaikan sembahyang zohor pada hari tasyrik yang kedua, pergilah ia sekali lagi pada ketiga-tiga jamrah, lalu melempar lagi seperti yang dilakukan pada hari semalamnya, yakni melempar lagi pada tiap-tiap satu jamrah tujuh butir batu; jadi jumlah lemparan kesemuanya ialah 21 butir batu.

Sesudah selesai melempar pada hari tasyrik kedua ini, dia diberi pilihan sama ada mahu terus tinggal di Mina semalam lagi ataupun kembali ke Makkah. Jika ia memilih meninggalkan Mina maka mestilah dilakukannya sebelum matahari terbenam sedangkan ia masih berada di Mina, maka tiadalah dibolehkan keluar lagi wajib menetap di Mina semalam lagi. Hingga ke hari esoknya dan tiada boleh keluar melainkan sesudah melempar sebanyak 21 butir batu lagi, seperti hari sebelumnya.

Meninggalkan tidur atau bermalam di Mina mewajibkan pengeluaran dam. Tetapi jika ia ingin menziarahi Ka’bah pada malam hari dibolehkan hanya dengan syarat mestilah ia kembali tidur di Mina. Hendaklah jangan sampai ia tertinggal sembahyang fardhu bersama-sama Imam di Masjidil-Khaif, kerana kelebihan bersembahyang berjemaah di situ amatlah besar pahalanya.

Klik untuk kembali ke senarai tajuk-tajuk kecil dalam “Peraturan kerja-kerja haji”

Klik untuk kembali ke senarai tajuk-tajuk utama dalam “Kitab Rahsia Haji”

Bahagian keenam peraturan kerja-kerja haji ialah Tertib Wukuf yakni seperti berikut.

Seorang haji yang telah berada di Arafah di Hari Arafah tidaklah perlu melakukan Tawaful-Qudum dan memasuki Makkah dulu sebelum selesai wukufnya di Arafah itu.

Jika ia sampai di Arafah beberapa hari sebelum hari wukuf, maka bolehlah ia membuat Tawaful-Qudum dulu, kemudian ia pun tetap dalam ihramnya beberapa hari sebelum hari wukuf, maka bolehlah ia membuat Tawaful-Qudum dulu, kemudian ia pun tetap dalam ihramnya, hingga hari ketujuh dari Zulhijjah.

Pada hari itu, Imam akan berkhutbah di Makkah selepas sembahyang zohor di Ka’bah, seraya memberitahu orang ramai agar bersiap sedia untuk berangkat ke Mina pada Hari Tarwiah (8 Zulhijjah) dan bermalam di situ. Pada paginya berangkat pula ke Arafah untuk menunaikan fardhu wukuf di sana, iaitu selepas tergelincir matahari.

Waktu wukuf itu bermula dari tergelincirnya matahari pada 9 Zulhijjah berterusan hingga terbitnya Fajar Sadiq dan Hari Raya Korban atau Hari Raya Haji (10 Zulhijjah).

Dalam masa berangkat ke Mina, hendaklah ia memperbanyakkan talbiah, lalu tidur malam iti di Mina. Pada hari esoknya yakni Hari Arafah sesudah bersembahyang sebuh di sana, barulah berangkat ke Arafah; iaitu setelah matahari terbit di senalik bukit. Hendaklah ia mandi terlebih dulu sebelum wukuf dan menjamakkan kedua-dua sembahyang zohor dan asar dengan satu azan dan du iqamah dan kedua-dua sembahyang itu hendaklah ditunaikan dengan qashar.

Di Arafah itu hendaklah ia memperbanyakkan pada sebutan berbagai-bagai tahmid (puji-pujian), tasbih dan tahlil, memuji Allah azzawajalla dan berdoa serta bertaubat kepada Allah.

Janganlah hendaknya ia berpuasa pada hari itu, supaya ia kuat untuk meneruskan segala amalan-amalan ini dan berdoa. Janganlah berhenti dari membaca apa saja yang dipandang perlu, sambil memperbanyakkan istighfar (minta ampun) bagi dirinya dan kedua ibubapanya serta sekalian kaum Muslimin dan Muslimat.

Dalam berdoa itu hendaklah ia bersungguh-sungguh bermohon dan membesarkan permintaannya itu sebab pada sisi Allah tiada sesuatu pun yang dianggap besar, semuanya boleh dikabulkan jika Dia mahu.

Klik untuk kembali ke senarai tajuk-tajuk kecil dalam “Peraturan kerja-kerja haji”

Klik untuk kembali ke senarai tajuk-tajuk utama dalam “Kitab Rahsia Haji”

Bahagian kelima peraturan kerja-kerja haji ialah Tertib Melakukan Sa’i yakni seperti berikut.

Apabila selesai melakukan tawaf, hendaklah ia keluar dari Babu-Shafa (Pintu Shafa), terus menuju ke Bukit Shafa, lalu mendaki kaki bukit itu. Dari situlah ia memulakan Sa’inya antara Shafa dan Marwah sebanyak tujuh kali.

Sebelum itu hendaklah ia bersuci (berwudhu’) terlebih dulu, kerana bersuci ketika bertawaf.

Klik untuk kembali ke senarai tajuk-tajuk kecil dalam “Peraturan kerja-kerja haji”

Klik untuk kembali ke senarai tajuk-tajuk utama dalam “Kitab Rahsia Haji”

Bahagian keempat peraturan kerja-kerja haji ialah Melakukan Tawaf yakni seperti berikut.

Apabila mahu memulakan tawaf, sama ada Tawaful-Qudum ataupun tawaf selainnya, maka hendaklah ia memperhatikan enam perkara yang berikut:

1.  Hendaklah ia memerhatikan syarat-syarat sembahyang, seperti membersihkan diri dari hadas dan najis pada pakaian, badan, tempat tawaf dan mesti seperti sembahyang, hanya bedanya Allah s.w.t. telah mengharuskan bercakap-cakap ketika di dalam tawaf itu. Apakala mahu bertawaf, hendaklah ia meletakkan pertengahan selendangnya di bawah ketiak kanan dan kedua-dua hujung selendang itu ditemukan di atas bahu kiri, satu hujung dilepaskan berjuntai ke dada. Dalam bertawaf dia tiada payah lagi membaca talbiah bahkan hendaklah ia membaca doa-doa yang khas untuk dibaca tawaf.

2.  Sesudah menyelempangkan selendangnya menurut cara di atas tadi, maka ia menuju kearah Baitullah lalu berdiri di penjuru Hajarul-Aswad, mengiringkan dirinya ke arah Baitullah tetapi hendaklah ia ke belakang sedikit supaya ke arah Hajarul Aswad itu benar-benar di hadapannya sehingga apabila ia memulakan tawaf nanti ia yakin akan melalui di hadapan Hajarul Aswad itu dengan seluruh badannya. Begitu juga hendaklah di antara dirinya dengan Baitullah itu kadar jarak tiga langkah, supaya berada dekat dengan Baitullah kerana yang demikian itu adalah lebih utama.

3.  Sebelum ia memulakan tawaf dan beredar dari arah Hajarul Aswad mengelilingi Baitullah hendaklah ia membaca:

“Dengan nama Allah, dan Allah Maha Besar. Ya Tuhanku! Penuh keimanan denganMu, mempercayai kitabMu, memenuhi janjiMu dan menurut perjalanan NabiMu Muhammada s.a.w.”

Lalu dia pun bertawaflah seterusnya.

4.  Hendaklah ia berjalan dengan kadar yang cepat dalam tiga pusingan yang pertama, manakala dalam empat pusingan yang akhir itu ia berjalan secara biasa saja. Maksud dari berjalan cepat di sini ialah berlari-lari anak atau berjalan antara berlari dan berjalan biasa dengan merapatkan langkah-langkahnya. Tujuan melakukan ini dan meletakkan selendang di dada itu, ialah menunjukkan ketangkasan kekerasan dan kekuatan. Inilah tujuan yang mula-mula dilakukan dulu, iaitu untuk melemahkan semangat orang-orang kafir yang melihatnya dan hingga kini pula menjadi sunnat bagi kaum Muslimin.

Yang utamanya, hendaklah ia berlari-lari anak itu berdekatan dengan Baitullah. Jika tak boleh kerana ramainya manusia, maka berlari-lari anak itu jauh sedikit pula lebih utama. Untuk berlari-lari anak sebanyak tiga kali itu tidak mengapalah ia di jarak yang jauh sedikit dari lingkaran tempat tawaf itu. Kemudian ia mendekati Baitullah dalam himpunan orang ramai itu, dan ia pun berjalan seperti biasa saja sebanyak empat kali lagi.

Jika boleh menerima (untuk mencium) Hajarul Aswad bada tiap-tiap taawf atau pusingan. Itulah yang lebih utama baginya, Tetapi jika ia terhalang oleh ramainya manusia di situ, maka cukuplah ia mengisyaratkan dengan tangan saja, lalu mencium tangan itu. Begitulah pula sunnat menerima penjuru yang dinamakan rukun Yamani dari lain-lain penjuru yang lain.

5.  Apabila selesai tawaf tujuh kali, hendaklah ia pergi ke Multazam iaitu tempat di antara Hajarul Aswad dan pintu Ka’bah. Di tempat itu segala doa akan mustajab atau dikabulkan. Sebelum berdoa di situ, hendaklah ia meletakkan badannya ke Baitullah dan bergayut pada tabir-tabir Ka’bah, dbiarkan perutnya bertempel di situ pipi kanannya tersentuh pada dindingnya kedua belah lengan dan tapak tangannya dibeberkan kemudian barulah dia berdoa:

“Ya Allah! Ya Tuhanku1 Wahai Tuhan Runah Ka’bah yang tua, merdekakanlah leher hambaMu ini daripada api neraka. Ya Allah! Ya Tuhanku! Ini keadaan hamba yang meminta perlindungan denganMu daripada api neraka”

Kemudian hendaklah ia memohon segala keperluannya yang khas di situ, dan jangan lupa pula memohon keampunan daripada dosa-dosanya.

6.  Apabila selesai melakukakn semua  itu, sebaik-baiknya ia bersembahyang dua rakaat di belakang Maqam Ibrahim, iaitu dua rakaat tawaf: Sesudah dua rakaat tawaf dia berdoa pula:

“Ya Allah! Ya Tuhanku! Permudahkanlah bagiku segala yang mudah, dan jauhkanlah daripadaku segala susah dan ampunilah aku pada masa yang akan datang dan masa yang lalu.”

Klik untuk kembali ke senarai tajuk-tajuk kecil dalam “Peraturan kerja-kerja haji”

Klik untuk kembali ke senarai tajuk-tajuk utama dalam “Kitab Rahsia Haji”

Bahagian ketiga peraturan kerja-kerja haji ialah Tertib Masuk Kota Makkah Hingga Melakukan Tawaf yakni seperti berikut.

Disunatkan bermandi di tempat yang bernama Dzi Thuwan kerana memasuki Kota Makkah. Apabila terlihat saja olehnya baitullah (Ka’abah) hendaklah ia berdoa:

“Tiada Tuhan melainkan Allah, dan Allah Maha Besar, Ya Allah! Ya Tuhanku! Engkau adalah Maha Sejahtera, daripadaMu datangnya kesejahteraan dan rumahMu adalah Rumah Kesejahteraan Maha Berkat Engkau, wahai Zat yang Maha Memiliki Keanggungan dan Kemuliaan.

Ya Allah! Ya Tuhanku! Sesungguhnya ini adalah rumahMu, Engkau telah membesarkanya, memuliakannya dan meninggikan darjatnya.

Ya Allah! Ya Tuhanku! Maka tambahkanlah baginya kebesaran dan kemuliaan dan tambahkanlah baginya kebesaran dan kemuliaan dan tambahkanlah baginya kehebatan dan tambahkanlah bagi sesiapa yang berhaji kepadanya kebaikan dan kemuliaan.

Ya Allah! Ya Tuhanku! Bukakanlah bagiku pintu-pintu rahmatMu, masukkanlah aku kedalam syurgaMu dan jauhkanlah aku dari bencana syaitan yang terkutuk.”

Sesudah membaca doa itu, teruslah ia pergi untuk melakukan tawaf. Tawaf ini dinamakan Tawaful-Qudum (Tawaf mula sampai). (Jika hajinya ifrad atau qiran – pent.). Jika ia dapati orang ramai sedang mengerjakan sembahyang fardhu maka hendaklah ia bersembahyang dengan mereka dulu kemudian barulah ia bertawaf.

Bersambung dengan bab seterusnya: Peraturan kerja-kerja haji – Melakukan Tawaf.

Klik untuk kembali ke senarai tajuk-tajuk kecil dalam “Peraturan kerja-kerja haji”

Klik untuk kembali ke senarai tajuk-tajuk utama dalam “Kitab Rahsia Haji”

Bahagian kedua peraturan kerja-kerja haji ialah Tertib Ihram Dari Miqat Hingga Masuk ke Makkah yakni seperti berikut.

1.   Bermandi dengan meniatkan sunnat mandi kerana ihram yakni sebaik-baik saja sesudah ia sampai ke Miqat di mana orang haji meniatkan ihramnya. Hendaklah ia menyempurnakan mandinya dengan membersihkan semua anggota badan dari kotoran, menyisir janggut dan rambut, memotong kuku, memendekkan misai, pendekkata hendaklah ia mencukupkan segala macam kebersihan yang pernah kami sebutkan di dalam bab pembersihan dulu.

2.   Hendaklah ia meninggalkan pakaian yang terjahit dan hanya memakai dua lembar kain ihram yang putih selembar untuk dijadikan kain sarung dan selembar lagi untuk dijadikan selendang menutupi bahagian atas tubuhnya. Hendaklah ia memakai wangi-wangian pada baju dan badannya (sebelum meniatkan ihram — pent. – dan jika diletakkan wangian pada kain ihram, jika kain ihram itu telah ditanggalkan maka tidak boleh dipakai lagi kain yang ada wangiannya itu)

3.   Hendaklah ia bersabar sebentar sesudah memakai pakaian ihram tadi, sehingga kenderaannnya disiapkan dengan sempurna, jika ia kenderaan; ataupun menunggu sebentar kalau ia berjalan kaki. Dalam masa menunggu itu bolehlah ia meniatkan berihram dengan haji atau umrah, sama ada ifrad atau qiran, menurut apa yang digemarinya. Kemudian dia berdoa:

“Aku menyahutMu, wahai Tuhanku! Aku menyahutMU! Tiada sekutu bagiMu, aku menyahutMu!

Sesungguhnya kepujian dan kenikmatan itu bagiMu, juga kerajaan tiada sekutu bagiMu aku menyahutMu!

Dengan haji yang benar-benar penuh dengan peribadatan dan perhambaan.

Ya Allah! Ya Tuhanku Berikanlah kerahmatanMu ke atas Muhammad dan keluarga Muhammad.

4.  Sunnat diulang-ulang talbiah (doa di atas) selagi ia masih dalam pakaian ihram, terutama sekali ketika bertemu dengan sahabat-handai atau hadir dalam majlis orang ramai, ketika mendaki sesuatu tempat atau turun daripadanya, ketika naik-turun kenderaan dengan mengangkat suaranya sekira-kira tidak kesat kerongkongannya, sebab Tuhan yang diseru itu bukanlah bersifat pekak atau tidak ada.

Rasulullah s.a.w. apabila terpesona dengan sesuatu perkara Baginda akan berkata:

“Sesungguhnya hidupan yang sebenar itu ialah kehidupan di Akhirat.”

Bersambung dengan bab seterusnya: Peraturan kerja-kerja haji – Tertib Masuk Kota Makkah Hingga Melakukan Tawaf

Klik untuk kembali ke senarai tajuk-tajuk kecil dalam “Peraturan kerja-kerja haji”

Klik untuk kembali ke senarai tajuk-tajuk utama dalam “Kitab Rahsia Haji”

Bahagian pertama peraturan kerja-kerja haji ialah berhubung dengan Dalam Perjalanan yakni seperti berikut.

Dalam perjalanan untuk menunaikan haji, iaitu sejak keluar dari tumah hingga meniatkan ihram dengan haji ada beberapa perkara:

1.   Mengenai kewangan:

Pertama, hendaklah ia memulakan dengan bertaubat dan mengembalikan segala hak orang yang diambilnya secara penganiayaan dan membayar segala hutang piutang.

Kemudian menyediakan pula nafkah atau perbelanjaan bagi sekalian orang yang wajib ditanggungnya sekira-kira cukup, hingga waktu kembalinya dari perkerjaan ibadat haji. Dan hendaklah ia mengembalikan semua amanat-amanat orang yang disimpannya.

Disunnatkan pula wang yang digunakan untuk perbelanjaan haji itu dari harta yang halal dan bersih dari segala syubhat. Hendaklah wang perbelanjaan itu mencukupi keperluan pergi balik, tanpa menyekat diri, sekira-kira dapat dibelanjakan secara leluasa dalam makan-minum, dan ada lebih pula untuk diberikan kepada orang-orang yang lemah dan fakir.

Hendaklah ia bersedekah sekadarnya sebelum berangkat untuk ke haji. Kiranya dia menyewa kenderaan, maka sedekah itu sebaik-baiknya diberikan kepada orang yang menyewakan kenderaan itu sama ada sedikit mahupun banyak, agar ia mendapat keredhaan orang itu dalam perjalanannya nanti.

2.   Mengenai teman:

Sebaik-baiknya ia mendapatkan seorang teman yang saleh, yang suka membuat kebajikan dan bersedia pula untuk menolongnya dalam membuat kebajikan jika ia terlupa. Apabila ia membuat kebajikan, teman itu akan membantunya. Apabila ia merasa takut akan ditanamkan padanya semangat keberanian. Apabila ia merasa lemah, akan digalakkannya supaya menjadi kuat. Begitu pula jika dadanya sempit akan dinasihatinya supaya bersabar.

Sebelum berangkat hendaklah ia mengucapkan selamat tinggal kepada sekalian teman-temannya yang mengucapkan selamat jalan kepadanya. Begitu pula kepada saudara-maranya dan jiran tetangganya. Dia mengucapkan selamat tinggal kepada mereka seraya memohon doa daripada mereka.

Dalam mengucapkan selamat tinggal itu sunnat disebutkan begini:

Aku mendoakan agar Allah melindungi agama, amanat dan segala pengakhiran amalanmu.

Nabi s.a.w. mengucapkan kepada orang yang belayar dengan katanya:

Mudah-mudahan anda sentiasa berada di dalam lindungan Allah dan pemeliharaanNya. Mudah-mudahan Allah akan menambahkan taqwamu, mengampunkan dosamu dan mengarahkan anda ke arah kebajikan di mana-mana anda berada.

3.   Sebelum keluar dari rumah, hendaklah terlebih dahulu dia bersembahyang dua rakaat. Sesudah itu mengangkat kedua belah tangannya, seraya berdoa kepada Allah dengan penuh ikhlas, dengan melafazkan:

“Ya Allah! Ya Tuhanku! Engkaulah sebagai pengiring di dalam perjalanan dan sebagai pengganti di dalam menjaga keluarga, harta benda, anak-pinak dan sekalian rakan-teman, Peliharalah aku serta mereka sekalian dari segala bencana dan mara bahaya, Ya Allah! Ya Tuhanku! Sesungguhnya kami memohon perlindungan kepadaMu daripada jerih-jerih pelayaran, pertukaran nasib yang menyedihkan serta pemandangan yang menjelekkan terhadap keluaraga, harta benda dan anak pinak.”

4.   Ketika berdiri di pintu rumah, hendaklah dia berdoa pula:

“Dengan nama Allah aku bertawakkal kepada Allah. Tiada kuasa dan tiada kekuatan melainkan dengan Allah. Ya Tuhanku! Aku bermohon perlindungan daripada menjadi sesat atau disesatkan daripada menjadi hina atau dihinakan, daripada menjadi penganiaya atau dianiayakan dan daripada menjadi jahil atau dijahilkan. Ya Allah! Ya Tuhanku! Sungguh aku ini berangkat bukan kerana kesombongan atau kecongkakan atau ria’ atau membanggakan diri, bahkan aku ini berangkat kerana menjauhkan diri dari kemurkaanMu untuk menuntut keredhaanMu dan menunaikan kewajibanMu serta menurut jejak langkah NabiMu!”

5.   Ketika dalam kenderaan dia berdoa pula:

“Maha suci Allah telah menundukkan segala ini bagi kami, dan kami tiada mampu mengendalikannya untuk tunduk. Dan sesungguhnya kami akan kembali juga kepada Tuhan kami.”

Bersambung dengan bab seterusnya: Peraturan kerja-kerja haji – Tertib Ihram Dari Miqat Hingga Masuk ke Makkah

Klik untuk kembali ke senarai tajuk-tajuk utama dalam “Kitab Rahsia Haji”

Terdapat peraturan kerja-kerja haji dari mula belayar hingga kembali. Kerja-kerja lahiriah haji menurut peraturannya ada sepuluh bahagian, iaitu (setiap satunya akan diperincikan dalam kiriman berikut – klik pada tajuk-tajuk di bawah untuk baca seterusnya):

  1. Dalam Perjalanan
  2. Tertib Ihram Dari Miqat Hingga Masuk ke Makkah
  3. Tertib Masuk Kota Makkah Hingga Melakukan Tawaf
  4. Melakukan Tawaf
  5. Tertib Melakukan Sa’i
  6. Tertib Wukuf
  7. Tertib Pekerjaan Haji Yang Lain
  8. Cara-cara Umrah Hingga Tawaful Wada’
  9. Tawaful Wada’
  10. Ziarah ke Madinah dan Tertibnya

Klik untuk kembali ke senarai tajuk-tajuk utama dalam “Kitab Rahsia Haji”

Adapun larangan haji dan umrah semuanya enam perkara:

  1. Memakai pakaian qamis, seluar, sepatu dan serban. Pakaian yang haru dipakai waktu berihram ialah selembar kain untuk sarung dan selembar selendang dan sepasang sandal. Boleh memakai tali pinggang dan berteduh di bawah khemah, tetapi tak boleh menutup kepala. Kaum wanita boleh memakai pakaian yang berjahit, tetapi tidak boleh menutup wajah dengan sesuatu yang boleh menekapnya kerana ihramnya ialah pada wajahnya.
  2. Memakai wangi-wangian. Jadi hendaklah ia menjauhi segala yang dikatakan oleh ahli akal sebagai wangi-wangian. Kiranya dia melanggar larangan ini dan ia memakai wangi-wangian maka dia dikenakan bayaran Dam.
  3. Mencukur rambut atau memotong kuku, kerana melakukannya akan dikenakan Dam seekor kambing. Boleh memakai celak, mandi di permandian, bersuntil, berbekam dan menyikat rambut.
  4. Bersetubuh kerana yang demikian itu akan merosakkan haji pelakunya jika dilakukan sebelum tahallul awal. Kerana itu dia dikenakan Dam seekor unta atau lembu ataupun tujuh ekor kambing. Jika dilakukan sesudah tahallul awal dikenakan dam seperti di atas juga, hanya hajinya saja yang tidak rosak.
  5. Hal-hal yang berhubungan dengan permulaan persetubuhan, seperti bercium-ciuman atau bersentuh-sentuhan, sedangkan ia masih dalam ihram maka dendanya seekor kambing. Dalam keadaan serupa ini diharamkan juga bernikah dan menikahkan, jika dilakukan juga, maka tiadalah dikira sah dan tiada pula dihukumkan kena Dam.
  6. Membunuh buruan darat, yakni dari binatang yang boleh dimakan dagingnya. Jika dia membunuh seekor buruan, maka wajiblah ke atasnya Dam seekor binatang (kambing, lembu atau unta) yang besarnya lebih kurang sama dengan besarnya binatang yang dibunuhnya. Binatang laut tiada dilarang menangkapnya dan oleh itu tiadalah dikenakan Dam.

Bab seterusnya ialah Peraturan kerja-kerja haji.

Klik untuk kembali ke senarai tajuk-tajuk utama dalam “Kitab Rahsia Haji”

Next Page »