Mengenai keberangkatan kerana melawat masjid-masjid utama, Allah telah berfirman:

“Permaklumkanlah kepada sekalian manusia untuk melakukan ibadat Haji nescaya mereka akan mendatangimu dengan berjalan kaki dan mengenderai (unta dan lain-lain) mereka itu akan datang dari segala ceruk penjuru yang jauh.” (al-Haj: 27)

Berkata Qatadah: Apabila Allah s.w.t. memerintahkan Ibrahim a.s. untuk mengisytiharkan kepada manusia sekalian dengan amalan Haji beliau menyeru: Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya Allah s.w.t. telah mendirikan rumahNya, maka hendaklah kamu mengunjunginya.

Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Barangsiapa yang naik haji sedangkan ia tiada berkata kotor atau berbuat jahat, dia keluar dari dosa-dosanya suci seperti keluarnya bayi di hari dilahirkan oleh ibunya.” (Sahih Bukhari dan Muslim)

Ada suatu riwayat yang mengatakan: Bahawasanya Kaabah itu nanti di Hari Kiamat akan diarak seperti seorang pengantin perempuan di hari langsung dan setiap orang yang telah berhaji kepadanya akan kelihatan bergayutan di tabir-tabirnya, sambil berjalan bersama-samanya sehingga masuk ke dalam syurga.

Al-Hasan al-Basri r.a berkata: Bersedekahlah satu dirham di Kaabah itu dibalas dengan seratus ribu, begitu pula setiap kebajikan yang dilakukan di situ digandakan Allah pahalanya. Dengan seratus ribu kali. Ada yang menambah pula, bahawa melakukan kejahatan juga dilipat-gandakan dosanya, sebagaimana dilipat-gandakan pahalanya.

Apabila Rasulullah s.a.w kembali semula ke Makkah, baginda lalu mengadap kepada Kaabah seraya berkata: Sesungguhnya engkau ini sebaik-baik bumi Allah azzawajalla dan negeri Allah yang paling aku cintai. Kalaulah tidak kerana aku telah dihalau daripadamu, tentulah aku tidak akan keluar meninggalkanmu.

Sesudah Makkah, tidak ada bumi yang lain yang lebih diutamakan seperti negeri Madinah yang terkenal dengan nama Madinah Rasulullah s.a.w. Segala amal ibadat di dalamnya juga dilipat-gandakan pahalanya.

Bersabda Rasulullah s.a.w.:

“Satu kali sembahyang di dalam masjidku ini adalah lebih utama daripada seribu kali sembahyang di tempat lain, kecuali Masjidil-Haram”. (Sahih Bukhari dan Muslim)

Dan sesudah Madinah Rasulullah s.a.w pula, ialah bumi Baitul Maqdis kerana bersembahyang di dalamnya mendapat pahala sebanyak lima ratus sembahyang kecuali Masjidil Haram.

Sesudah ketiga-tiga bumi yang suci maka tempat-tempat yang lain semuanya sama dari segi darjatnya kecuali di lubang-lubang gunung kerana menghuni di dalamnya untuk tujuan beribadat, maka ia juga merupakan suatu keutamaan yang besar.

Sebab itulah Rasulullah s.a.w bersabda:

“Tiada dipersiapkan pelayaran melainkan kepada tiga masjid; iaitu Masjidil Haram, masjidku ini (Masjid Madinah) dan Masjidil Aqsa.”

Kecuali ketiga-tiga masjid yang di atas tadi, masjid-masjid yang lain, semuanya sama dari segi darjatnya. Setiap negeri tentulah ada masjidnya sendiri, maka tiada ertilah belayar untuk menuju ke masjid lain.

Berikut, kita perturunkan syarat-syarat kewajiban Haji, iaitu rukun-rukunya dan wajib-wajibnya serta larangan-larangannya.

Klik untuk kembali ke senarai tajuk-tajuk utama dalam “Kitab Rahsia Haji”

Advertisements