Adapun syarat kewajibannya ialah: Berkuasa dan yang demikian itu ada dua cara:

Pertama: Melakukan amalan haji itu sendiri. Dalam hal yang demikian ada beberapa sebab, sama ada:

  1. Yang berhubungan dengan dirinya, maka hendaklah ia sihat.
  2. Yang berhubungan dengan jalan, maka hendaklah ianya aman di sepanjang jalan. Kalau dengan laut tidak ada pula yang boleh membahayakan dan tidak bimbang ada musuh di tengah jalan.
  3. Yang berhubungan dengan kewangan maka hendaklah ia mempunyai perbelanjaan pergi-balik, sehingga sampai dengan selamat ke negerinya semula. Dan hendaklah juga ia mempunyai perbelanjaan untuk segala para tanggungannya dalam masa pemergiannya untuk menunaikan haji itu. Kalau berhutang, hendaklah ia menjelaskan hutangnya terlebih dulu. Kalau jauh hendaklah ia mempunyai kenderaan ke sana atau mempunyai wang untuk menyewanya.

Kedua: Berkuasanya seorang yang lumpuh dengan menggunakan wangnya, iaitu hendaklah ia mengupah seorang lain untuk menunaikan hajinya, tetapi orang itu mestilah sudah menunaikan haji untuk dirinya sebelum itu.

Walau bagaimanapun bagi orang yang berkuasa setelah cukup syarat-syarat haji baginya, hendaklah ia segera menunaikan hajinya. Kalau mahu menangguhkan pula tidak salah, tetapi wajiblah ia ingat bahawa ia sentiasa dalam bahaya. Bila ia berkelapangan sedangkan ia pada akhir umurnya (sudah terlalu tua), maka kewajiban menunaikan haji itu tidak gugur daripadanya. Bila ia mati sebelum berhaji maka ia bertemu dengan Allah azzawajallah dalam keadaan ashi atau menderhaka, disebabkan ia belum menunaikan haji.

Jika ia dari golongan yang berada, hendaklah dikeluarkan dari harta peninggalannya perbelanjaan untuk menghajikannya, sekalipun ia tiada mewasiatkan kerana hukumnya sama seperti hutang. Orang yang mampu dan cukup semua syarat bila mati sebelum mengerjakan haji maka perkaranya amatlah berat sekali di sisi Allah s.w.t.

Berkata Umar Ibnul-Khattab r.a.: Aku hampir-hampir menuliskan suatu perintah ke seluruh negara untuk mewajibkan semacam cukai ke atas orang yang belum berhaji, padahal ia berkuasa untuk pergi ke sana.

Sementara Said bin Jubair, Ibrahim an-Nakha’i, Mujahid dan Thawus sepakat berkata: Kalau aku mengetahui seseorang kaya yang belum berhaji meninggal dunia, padahal haji itu telah wajib ke atasnya, nescaya aku tidak akan menyembahyangkan mayatnya. Ada pula setengah ulama, bila seorang jirannya yang belum berhaji mati, padahal ia seorang yang kaya, maka mereka tidak akan menyembahyangkan mayatnya.

Bab seterusnya ialah Rukun-rukun Haji.

Klik untuk kembali ke senarai tajuk-tajuk utama dalam “Kitab Rahsia Haji”

Advertisements