Bahagian pertama peraturan kerja-kerja haji ialah berhubung dengan Dalam Perjalanan yakni seperti berikut.

Dalam perjalanan untuk menunaikan haji, iaitu sejak keluar dari tumah hingga meniatkan ihram dengan haji ada beberapa perkara:

1.   Mengenai kewangan:

Pertama, hendaklah ia memulakan dengan bertaubat dan mengembalikan segala hak orang yang diambilnya secara penganiayaan dan membayar segala hutang piutang.

Kemudian menyediakan pula nafkah atau perbelanjaan bagi sekalian orang yang wajib ditanggungnya sekira-kira cukup, hingga waktu kembalinya dari perkerjaan ibadat haji. Dan hendaklah ia mengembalikan semua amanat-amanat orang yang disimpannya.

Disunnatkan pula wang yang digunakan untuk perbelanjaan haji itu dari harta yang halal dan bersih dari segala syubhat. Hendaklah wang perbelanjaan itu mencukupi keperluan pergi balik, tanpa menyekat diri, sekira-kira dapat dibelanjakan secara leluasa dalam makan-minum, dan ada lebih pula untuk diberikan kepada orang-orang yang lemah dan fakir.

Hendaklah ia bersedekah sekadarnya sebelum berangkat untuk ke haji. Kiranya dia menyewa kenderaan, maka sedekah itu sebaik-baiknya diberikan kepada orang yang menyewakan kenderaan itu sama ada sedikit mahupun banyak, agar ia mendapat keredhaan orang itu dalam perjalanannya nanti.

2.   Mengenai teman:

Sebaik-baiknya ia mendapatkan seorang teman yang saleh, yang suka membuat kebajikan dan bersedia pula untuk menolongnya dalam membuat kebajikan jika ia terlupa. Apabila ia membuat kebajikan, teman itu akan membantunya. Apabila ia merasa takut akan ditanamkan padanya semangat keberanian. Apabila ia merasa lemah, akan digalakkannya supaya menjadi kuat. Begitu pula jika dadanya sempit akan dinasihatinya supaya bersabar.

Sebelum berangkat hendaklah ia mengucapkan selamat tinggal kepada sekalian teman-temannya yang mengucapkan selamat jalan kepadanya. Begitu pula kepada saudara-maranya dan jiran tetangganya. Dia mengucapkan selamat tinggal kepada mereka seraya memohon doa daripada mereka.

Dalam mengucapkan selamat tinggal itu sunnat disebutkan begini:

Aku mendoakan agar Allah melindungi agama, amanat dan segala pengakhiran amalanmu.

Nabi s.a.w. mengucapkan kepada orang yang belayar dengan katanya:

Mudah-mudahan anda sentiasa berada di dalam lindungan Allah dan pemeliharaanNya. Mudah-mudahan Allah akan menambahkan taqwamu, mengampunkan dosamu dan mengarahkan anda ke arah kebajikan di mana-mana anda berada.

3.   Sebelum keluar dari rumah, hendaklah terlebih dahulu dia bersembahyang dua rakaat. Sesudah itu mengangkat kedua belah tangannya, seraya berdoa kepada Allah dengan penuh ikhlas, dengan melafazkan:

“Ya Allah! Ya Tuhanku! Engkaulah sebagai pengiring di dalam perjalanan dan sebagai pengganti di dalam menjaga keluarga, harta benda, anak-pinak dan sekalian rakan-teman, Peliharalah aku serta mereka sekalian dari segala bencana dan mara bahaya, Ya Allah! Ya Tuhanku! Sesungguhnya kami memohon perlindungan kepadaMu daripada jerih-jerih pelayaran, pertukaran nasib yang menyedihkan serta pemandangan yang menjelekkan terhadap keluaraga, harta benda dan anak pinak.”

4.   Ketika berdiri di pintu rumah, hendaklah dia berdoa pula:

“Dengan nama Allah aku bertawakkal kepada Allah. Tiada kuasa dan tiada kekuatan melainkan dengan Allah. Ya Tuhanku! Aku bermohon perlindungan daripada menjadi sesat atau disesatkan daripada menjadi hina atau dihinakan, daripada menjadi penganiaya atau dianiayakan dan daripada menjadi jahil atau dijahilkan. Ya Allah! Ya Tuhanku! Sungguh aku ini berangkat bukan kerana kesombongan atau kecongkakan atau ria’ atau membanggakan diri, bahkan aku ini berangkat kerana menjauhkan diri dari kemurkaanMu untuk menuntut keredhaanMu dan menunaikan kewajibanMu serta menurut jejak langkah NabiMu!”

5.   Ketika dalam kenderaan dia berdoa pula:

“Maha suci Allah telah menundukkan segala ini bagi kami, dan kami tiada mampu mengendalikannya untuk tunduk. Dan sesungguhnya kami akan kembali juga kepada Tuhan kami.”

Bersambung dengan bab seterusnya: Peraturan kerja-kerja haji – Tertib Ihram Dari Miqat Hingga Masuk ke Makkah

Klik untuk kembali ke senarai tajuk-tajuk utama dalam “Kitab Rahsia Haji”

Advertisements