Bahagian kedua peraturan kerja-kerja haji ialah Tertib Ihram Dari Miqat Hingga Masuk ke Makkah yakni seperti berikut.

1.   Bermandi dengan meniatkan sunnat mandi kerana ihram yakni sebaik-baik saja sesudah ia sampai ke Miqat di mana orang haji meniatkan ihramnya. Hendaklah ia menyempurnakan mandinya dengan membersihkan semua anggota badan dari kotoran, menyisir janggut dan rambut, memotong kuku, memendekkan misai, pendekkata hendaklah ia mencukupkan segala macam kebersihan yang pernah kami sebutkan di dalam bab pembersihan dulu.

2.   Hendaklah ia meninggalkan pakaian yang terjahit dan hanya memakai dua lembar kain ihram yang putih selembar untuk dijadikan kain sarung dan selembar lagi untuk dijadikan selendang menutupi bahagian atas tubuhnya. Hendaklah ia memakai wangi-wangian pada baju dan badannya (sebelum meniatkan ihram — pent. – dan jika diletakkan wangian pada kain ihram, jika kain ihram itu telah ditanggalkan maka tidak boleh dipakai lagi kain yang ada wangiannya itu)

3.   Hendaklah ia bersabar sebentar sesudah memakai pakaian ihram tadi, sehingga kenderaannnya disiapkan dengan sempurna, jika ia kenderaan; ataupun menunggu sebentar kalau ia berjalan kaki. Dalam masa menunggu itu bolehlah ia meniatkan berihram dengan haji atau umrah, sama ada ifrad atau qiran, menurut apa yang digemarinya. Kemudian dia berdoa:

“Aku menyahutMu, wahai Tuhanku! Aku menyahutMU! Tiada sekutu bagiMu, aku menyahutMu!

Sesungguhnya kepujian dan kenikmatan itu bagiMu, juga kerajaan tiada sekutu bagiMu aku menyahutMu!

Dengan haji yang benar-benar penuh dengan peribadatan dan perhambaan.

Ya Allah! Ya Tuhanku Berikanlah kerahmatanMu ke atas Muhammad dan keluarga Muhammad.

4.  Sunnat diulang-ulang talbiah (doa di atas) selagi ia masih dalam pakaian ihram, terutama sekali ketika bertemu dengan sahabat-handai atau hadir dalam majlis orang ramai, ketika mendaki sesuatu tempat atau turun daripadanya, ketika naik-turun kenderaan dengan mengangkat suaranya sekira-kira tidak kesat kerongkongannya, sebab Tuhan yang diseru itu bukanlah bersifat pekak atau tidak ada.

Rasulullah s.a.w. apabila terpesona dengan sesuatu perkara Baginda akan berkata:

“Sesungguhnya hidupan yang sebenar itu ialah kehidupan di Akhirat.”

Bersambung dengan bab seterusnya: Peraturan kerja-kerja haji – Tertib Masuk Kota Makkah Hingga Melakukan Tawaf

Klik untuk kembali ke senarai tajuk-tajuk kecil dalam “Peraturan kerja-kerja haji”

Klik untuk kembali ke senarai tajuk-tajuk utama dalam “Kitab Rahsia Haji”

Advertisements