Bahagian keempat peraturan kerja-kerja haji ialah Melakukan Tawaf yakni seperti berikut.

Apabila mahu memulakan tawaf, sama ada Tawaful-Qudum ataupun tawaf selainnya, maka hendaklah ia memperhatikan enam perkara yang berikut:

1.  Hendaklah ia memerhatikan syarat-syarat sembahyang, seperti membersihkan diri dari hadas dan najis pada pakaian, badan, tempat tawaf dan mesti seperti sembahyang, hanya bedanya Allah s.w.t. telah mengharuskan bercakap-cakap ketika di dalam tawaf itu. Apakala mahu bertawaf, hendaklah ia meletakkan pertengahan selendangnya di bawah ketiak kanan dan kedua-dua hujung selendang itu ditemukan di atas bahu kiri, satu hujung dilepaskan berjuntai ke dada. Dalam bertawaf dia tiada payah lagi membaca talbiah bahkan hendaklah ia membaca doa-doa yang khas untuk dibaca tawaf.

2.  Sesudah menyelempangkan selendangnya menurut cara di atas tadi, maka ia menuju kearah Baitullah lalu berdiri di penjuru Hajarul-Aswad, mengiringkan dirinya ke arah Baitullah tetapi hendaklah ia ke belakang sedikit supaya ke arah Hajarul Aswad itu benar-benar di hadapannya sehingga apabila ia memulakan tawaf nanti ia yakin akan melalui di hadapan Hajarul Aswad itu dengan seluruh badannya. Begitu juga hendaklah di antara dirinya dengan Baitullah itu kadar jarak tiga langkah, supaya berada dekat dengan Baitullah kerana yang demikian itu adalah lebih utama.

3.  Sebelum ia memulakan tawaf dan beredar dari arah Hajarul Aswad mengelilingi Baitullah hendaklah ia membaca:

“Dengan nama Allah, dan Allah Maha Besar. Ya Tuhanku! Penuh keimanan denganMu, mempercayai kitabMu, memenuhi janjiMu dan menurut perjalanan NabiMu Muhammada s.a.w.”

Lalu dia pun bertawaflah seterusnya.

4.  Hendaklah ia berjalan dengan kadar yang cepat dalam tiga pusingan yang pertama, manakala dalam empat pusingan yang akhir itu ia berjalan secara biasa saja. Maksud dari berjalan cepat di sini ialah berlari-lari anak atau berjalan antara berlari dan berjalan biasa dengan merapatkan langkah-langkahnya. Tujuan melakukan ini dan meletakkan selendang di dada itu, ialah menunjukkan ketangkasan kekerasan dan kekuatan. Inilah tujuan yang mula-mula dilakukan dulu, iaitu untuk melemahkan semangat orang-orang kafir yang melihatnya dan hingga kini pula menjadi sunnat bagi kaum Muslimin.

Yang utamanya, hendaklah ia berlari-lari anak itu berdekatan dengan Baitullah. Jika tak boleh kerana ramainya manusia, maka berlari-lari anak itu jauh sedikit pula lebih utama. Untuk berlari-lari anak sebanyak tiga kali itu tidak mengapalah ia di jarak yang jauh sedikit dari lingkaran tempat tawaf itu. Kemudian ia mendekati Baitullah dalam himpunan orang ramai itu, dan ia pun berjalan seperti biasa saja sebanyak empat kali lagi.

Jika boleh menerima (untuk mencium) Hajarul Aswad bada tiap-tiap taawf atau pusingan. Itulah yang lebih utama baginya, Tetapi jika ia terhalang oleh ramainya manusia di situ, maka cukuplah ia mengisyaratkan dengan tangan saja, lalu mencium tangan itu. Begitulah pula sunnat menerima penjuru yang dinamakan rukun Yamani dari lain-lain penjuru yang lain.

5.  Apabila selesai tawaf tujuh kali, hendaklah ia pergi ke Multazam iaitu tempat di antara Hajarul Aswad dan pintu Ka’bah. Di tempat itu segala doa akan mustajab atau dikabulkan. Sebelum berdoa di situ, hendaklah ia meletakkan badannya ke Baitullah dan bergayut pada tabir-tabir Ka’bah, dbiarkan perutnya bertempel di situ pipi kanannya tersentuh pada dindingnya kedua belah lengan dan tapak tangannya dibeberkan kemudian barulah dia berdoa:

“Ya Allah! Ya Tuhanku1 Wahai Tuhan Runah Ka’bah yang tua, merdekakanlah leher hambaMu ini daripada api neraka. Ya Allah! Ya Tuhanku! Ini keadaan hamba yang meminta perlindungan denganMu daripada api neraka”

Kemudian hendaklah ia memohon segala keperluannya yang khas di situ, dan jangan lupa pula memohon keampunan daripada dosa-dosanya.

6.  Apabila selesai melakukakn semua  itu, sebaik-baiknya ia bersembahyang dua rakaat di belakang Maqam Ibrahim, iaitu dua rakaat tawaf: Sesudah dua rakaat tawaf dia berdoa pula:

“Ya Allah! Ya Tuhanku! Permudahkanlah bagiku segala yang mudah, dan jauhkanlah daripadaku segala susah dan ampunilah aku pada masa yang akan datang dan masa yang lalu.”

Klik untuk kembali ke senarai tajuk-tajuk kecil dalam “Peraturan kerja-kerja haji”

Klik untuk kembali ke senarai tajuk-tajuk utama dalam “Kitab Rahsia Haji”