April 2010


Boleh dikatakan pada setiap amalan haji itu ada peringatan bagi orang yang ingin mengambil ingatan daripanya, dan contoh tauladan bagi orang yang ingin mengambil ibarat.

Apabila terbuka saja pintunya akan tersingkaplah segala rahsia dan muncullah perkara-perkara yang diperlukan untuk mensucikan hati disamping memperkuatkan fikiran. Allah s.w.t. telah memuliakan al-Baitul atiq (Ka’bah) di samping ZatNya yang agung dan menentukan Rumah Suci itu sebagai tempat tujuan untuk sekalian hamba-hambaNya. Kemudian dijadikan pula tanah-tanah di sekitarnya sebagai tanah haram yang suci bagi rumahNya untuk menandakan kebesaran dan kesucian tempat itu. Lalu dikuatkan lagi perkaranya dengan mengharamkan binatangnya dari diburu dan pohon-pohonnya dari dipotong.

Dijadikan rumah itu sebagai balai persembahan raja-raja yang didatangi oleh para penziarah dari segala rantau yang jauh, dan dari arah yang terpencil, dalam keadaan kusut-masai, tidak teratur merendahkan diri kepada Tuan punya Rumah Suci itu, semata-mata kerana menghinakan diri terhadap keagunganNya, dengan pengakuan untuk menjauhkan ZatNya daripada dikelilingi oleh sesebuah rumah atau dilingkari oelh sesebuah negeri, agar yang demikian itu menjadi lebih tepat dalam perhambaan dan ubudiah mereka terhadap Allah Ta’ala dan menjadi lebih sempurna dalam menundukkan mereka dan menarik mereka untuk menurut.

Ketika berihram dan bertalbiah terdapat penyahutan terhadap seruan Allah azzawajalla.

Ketika masuk Makkah terdapat peringatan tentang ketibaan ke Haram Allah, maka hendaklah ia merasa bimbang kalau-kalau ia bukan ahli yang boleh mendekatkan diri ke situ, dan hendaklah ia berharap rahmat Allah.

Ketika melihat Rumah Suci akan mengingatkan kebesaran Rumah itu di dalam hati dan meletakkan penuh harapan untuk dapat melihat Allah, Tuhan kepada Rumah Suci itu, kerana perasaan mengagungkan yang timbul dalam hati terhadap Rumah itu.

Ketika bertawaf mengelilingi Rumah Allah itu sepatutnya ia merasakan dirinya seperti para Malaikat Muqarrabin yang sentiasa berada di sekitar Arasy Allah Ta’ala dan sedang bertawaf di sekelilingnya. Seterusnya maksud dari bertawaf itu bukanlah tawafnya tubuh badan yang kasar, malah tawafnya hati sanubari dengan mengingat kepada Tuhan.

Ketika bergayut pada tabir-tabir Ka’abah dan melekapkan tubuh di al-Multazam, melambangkan permintaan untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. kerana kecintaan dan perasaan rindu kepada Rumah Allah itu dan Tuan Punya Rumah tersebut dan mengambil keberkatan dengan berdekatan dan bersentuhan itu. Seterusnya untuk mengulang sekali lagi permintaan keampunan dan keamanan dari Allah Ta’ala, laksana seorang yang banyak dosanya sedang berpaut pada baju orang yang berdosa kepadanya, mengharapkan dengan penuh rendah diri akan keampunannya, seraya menunjukkan bahawa tiada tempat lain yang ia boleh berlindung lagi, melainkan kepada orang itu saja. Jadi dia tiada akan melepaskan orang itu, walau bagaimana sekalian melainkan sesudah mendapat keampunan dan keredhaan darinya.

Ketika Sa’i antara Shafa dan Marwah, melambangkan betapa seseorang hamba itu sentiasa dalam kebimbangan tentang kemusnahan harta miliknya, dengan berulang kali pergi dan kembali untuk menunjukkan keikhlasan dan perkhidmatannya, sambil mengharapkan perhatian Tuhan dengan pandangan penuh rahmat dan belasa kasihan, laksana seorang rakyat biasa yang datang untuk menghadap raja, kemudian keluar semula, sedangkan dia tiada mengetahui apa yang akan diputuskan oleh raja itu terhadap permohonannya sama asa dikabulkannya atau ditolaknya. Maka orang tersebut terus berulang alik di halaman Istana raja itu pergi dan kembali, membawa harapan agar ia akan dirahmati oleh Raja dan dibelas kasihaninya pada kali ini, kiranya sebentar tadi permohonannya telah ditolak.

Ketika menyempurnakan wukuf di Arafah dengan melihat manusia begitu ramai sekali, yang telah berkumpul dengan suara yang dilaungkan dalam berbagi bahasa dunia, akan mengingatkan tentang perkumpulan semua ummat nanti di padang yang amat luas di Hari Kiamat. Hal Keadaan di situ tentu akan membingungkan semua manusia di sebidang tanah yang terbentang luas itu; masing-masing memikirkan tentang amalannya sendiri, sama ada ditolak atau dikabul. Bila teringat terhadap segala peristiwa yang akan berlaku di hari itu nanti, tentulah hati akan menjadi kecut, sentiasa akan memilih kerendahan diri dan berserah sepenuhnya kepada Allah azzawajalla.

Juga ia akan mengharapkan moga-moga akan dikumpulkan di Hari Mahsyar nanti ke dalam golongan orang-orang yang berbahagia dan dirahmati, manakala keyakinannya kuat sekali, bahawa segala yang diharap-harapkan itu akan dikabulkanNya. Tiada syak lagi, kerana tempat itu amat mulia sekali. Kerahmatan itu biasanya datang dari hadrat yang Maha Besar kepada sekalian manusia, melalui hati yang bersih, manakala di tempat itu tentu sekali tidak kurang banyaknya para Salihin dan orang-orang yang mempunyai hati nurani yang suci, menurut tingkatan-tingkatan mereka. Mereka sekalian telah berkumpul dengan satu tujuan, iaitu untuk menundukkan diri kepada Allah yang Maha Agung dan membersihkan hati mereka dari segala sesutau selain memohon dan mengharap dengan mengangkat tangan kepada Allah s.w.t.  dan menengadahkan muka kepadaNya, sedangkan mata mereka tidak berkelip-kelip lagi, memandang ke arah langit, bersatu kata dan hati, untuk memohon kerahmatan dan belas kasihan Allah. Dalam keadaan yang serupa itu, janganlah hendaknya ada orang yang menyangka, bahawa Allah s.w.t akan mengecewakan harapan mereka, atau mensia-siakan usaha mereka, ataupun menahan dari mencurahkan rahmat-rahmatNya yang tak terhingga ke atas mereka.

Ketika melempar batu-batu itu, menggambarkan betapa seorang hamba itu akan menurut perintah tanpa banyak bicara dan menunjukkan sikap perhambaan dan ubudiahnya. Ketika melempar itu hendaklah ia bermaksud melempar wajah syaitan dan menetak belakangnya, supaya dirinya terpelihara dari godaan dan tipu dayanya.

Ketika melakukan ziarah ke Madinah dan menyaksikan sekitarnya akan mengingatkan kita kepada negeri yang dipilih oleh Allah s.w.t. untuk NabiNya s.a.w. berhijrah ke situ dan mencari perlindungan diri dan agama di dalam naunganNya. Di situ juga tempat yang dipilih oleh Allah s.w.t untuk mensyariatkan berbagai-bagai perintah yang fardhu yang sunnat dan seterusnya. Di situ jugalah diperintahkan ke atas Rasulullah s.a.w. untuk berjihad menetang musuh-musuh yang mengancamnya, sehingga agama disebarkan itu menjadi kenyataan dan terkenal kepada orang ramai, sampailah akhirnya baginda menemui ajalnya dan dimaqamkan di situ pula.

Pendek kata negeri Madinah itu merupakan tempat yang dipilih oleh Allah s.w.t. bagi NabiNya s.a.w. dan bagi orang-orang Muslimin yang pertama dan utama. Di situlah pula segala perintah-perintah Allah s.w.t. mula dikuatkuasakan. Di situ juga terkumpul sekalian makhluk Allah yang utama, dalam masa hidup mahupun sesudah mati, masing-masing dengan kemuliaan dan kelebihannya yang tiada tanding dan taranya.

Klik untuk kembali ke senarai tajuk-tajuk utama dalam “Kitab Rahsia Haji”

Tata-tertib kesopanan yang khas dalam amalan haji itu ada tujuh perkara:

Pertama: Hendaklah nafkah yang dibelanjakan itu dari harta yang halal, manakala segala perhatian dan tujuannya hanya semata-mata untuk Allah Ta’ala saja dan kerana membesarkan syiar-syiarNya. Orang yang menghajikan orang lain, hendaklah berniat bagi dirinya ziarah Baitullah Ta’ala dan menolong saudaranya yang muslim untuk menunaikan Fardhu Haji yang wajib ke atasnya, bukan kerana tujuan mencari untung atau berniaga dengan menggunakan agama untuk mencapai tujuan dunia. Jadi samalah seperti orang yang mencari dunianya dengan menjual amalan akhirat. Bahkan yang sepatutnya dia menggunakan kesempatan keduniaan itu untuk mencapai tujuan agama, yakni dapat berhaji dan berziarah sekaligus.

Kedua: meluaskan persediaan dalam makan-minum dan murah hati dalam membuat budi dan membelanjakan harta dengan bersedekah tidak terlalu lokek ataupun telalu boros, tetapi dengan sedeharhana saja menurut cara orang yang beriktisad. Membelanjakan wang dalam makan-minum kerana tujuan hai adalah nafkah yang dikeluarkan untuk jalan Allah azzawajalla, tentulah pahalanya berlipat ganda. Ibnu Umar berkata: Tanda-tanda murah hati manusia ialah memewahkan makan-minumnya dalam pelayaran.

Ketiga: Meninggalkan rafats, fusuq dan jidal, iaitu denga nas al-Quran al-Karim. Rafats: ialah kata-kata sia-sia yang tidak ada faedahnya ataupun cakap-cakap kotor, termasuk bergurau senda dengan kaum wanita dan bermain-main dengan mereka atau berbual-bual mengenai jimak (persetubuhan) atau cumbu-cumbuan, kerana semua itu akan memberangsangkan kepada melakukan perbuatan itu sedangkan ini dilarang dalam masa berihram dengan haji atau umrah. Tegasnya memberangsangkan untuk melakukan yang dilarang adalah ditegah. Fusuq: ialah segala macam perbuatan yang boleh menarik manusia terkeluar dari mentaati Allah azzawajalla. Dan akhir sekali jidal, iaitu berlebih-lebihan dalam permusuhan atau perselisihan yang membawa kepada hasad benci membenci yang bertentangan dengan budi pekerti yang luhur. Janganlah hendaknya dia terlalu membangkang sangat terhadap teman-teman seperjalananya ataupun tukang-tukang kenderaan (e.g. Syaikh Haji) dan sahabat-sahabat yang lain.

Bahkan sebaik-baiknya, hendaklah ia berlemah-lembut kepada mereka dan merendahkan diri kepada sekalian jemaah haji yang sama-sama pergi ke Baitullah itu. Hendaklah ia sentiasa berbudi pekerti tinggi dan berbudi pekerti tinggi itu bukanlah hanya menahan diri dari melakukan sesuatu yang boleh menyakitkan hati orang lain saja, bahkan sanggup bersabar dan menanggung segala sesuatu dari orang lain yang menyakiti diri sendiri.

Keempat: Hendaklah ia meninggalkan pakaian orang-orang yang boros dan takabbur, jangan sampai cenderung berlagak seperti orang yang suka berlebih-lebihan atau menunjuk-nunjukkan diri, niscaya ia akan terkira di dalam golongan orang takabbur dan terkeluar pula dari kumpulan orang yang saleh. Tersebut di dalam sebuah hadis:

“Sesungguhnya orang haji itu ialah orang yang serembah-serembih (iaitu orang yang tidak selalu mempersolekkan diri).”

Allah telah berfirman:

“Kemudian hendaklah mereka membersihkan keadaan diri mereka.”

Serembah-serembih atau tidak mementingkan kebersihan diri itu disebabkan penumpuan amalan haji, dan membersihkannya dengan bercukur, memendekkan misai dan memotong kuku.

Kelima: Hendaklah ia menaruh belas kasihan terhadap binatang dan jangan membebankannnya barang-barang yang terlalu berat, sehingga tiada tertahan baginya untuk menanggung. Jangan juga menunggang ke atasnya terlalu lama sangat, bahkan hendaklah sekali-kali ia turun dari belakangnya untuk menunjukkan timbang rasanya terhadap binatang itu.

Keenam: Hendaklah ia mendekatkan diri kepada Allah dengan mengalirkan darah (menyembelih kerana korban), meskipun tidak wajib ke atasnya. Bila berkorban hendaklah memilih binatang yang gemuk dan yang berharga. Dia boleh memakan dagingnya, jika ia berkorban Tathawwu’ (korban sukarela). Maksud dari pengorbanan itu bukanlah dagingnya, tetapi untuk membersihkan diri dan mensucikannya dari sifat kikir dan menghiaskannya dengan keindahan pentakziman Allah azzawajalla. Allh berfirman:

“Tidak akan sampai kepada Allah daging-dagingnya (korban) atau darahnya, akan tetapi yang akan sampai kepada Allah ialah taqwa kamu.” (al-Haj:37)

Ketujuh: Hendaklah segala yang dibelanjakannya itu dari jiwa yang suci murni, sama ada merupakan perbelanjaan mahupun korna dan ia redha atas segala kerugian dan kecelakaan pada harta dan badan yang mungkin menimpanya. Pada tiap-tiap kesusahan yang diterimanya aatau kerugian yang mengenainya akan dibalasa dengan pahala tiada suatu pun yang bakal hilang di sisi Allah kelak. Ada yang berkata bahawa tanda-tanda kabulnya haji seseorang itu ialah meninggalkan segala yang ada pada dirinya dari maksiat-maksiat. Dan ia akan menukarkan rakan-rakan yang jahat dengan rakan-rakan yang saleh dan menukarkan tabiat suka berlabun-labun dalam kumpulan-kumpulan orang yang bersenda-gurauan dan lalai kepada majlis-majlis bersikir terhadap Allaah Ta’ala dan mempunyai kesedaran diri.

Klik untuk kembali ke senarai tajuk-tajuk utama dalam “Kitab Rahsia Haji”

Dalam perjalanan pulang setiap kali bertemu dengan tanah tinggi, hendaklah dia bertakbir tiga kali dengan berkata:

Tiada Tuhan melainkan Allah yang Esa tiada sekutu bagiNya. BagiNya segala kerajaan dan segala puji-pujian dan Dia adalah Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Kami sekalian dalam keadaan kembali kepada Allah bertaubat kepadaNya, menyembahNya, sujud kepadaNya serta memuji-mujiNya”.

Apabila telah hampir sampai ke negerinya, hendaklah melambatkan kenderaannya, lalu mengirim seorang untuk memberitahukan keluarganya akan kedatangannya, agar mereka tiada terperanjat dengan kedatangannya secara tiba-tiba saja. Janganlah hendaknya dia mendatangi keluarganya di sebelah malam bila sampai di waktu malam.

Apabila sampai saja di negerinya mula-mula hendaklah ia menuju masjid untuk bersembahyang dua rakaat. Kemudian apabila telah sampai di rumahnya, sayugialah jangan sampai melupakan segala nikmat-nikmat yang telah dikurniakan Allah kepadanya daripada menziarahi haramnya; iaitu Makkah dan Madinah dan menziarahi juga maqam (kubur) Nabi Besar Muhammad s.a.w.

Tanda mengkufuri nikmat ini atau melupakannya, ialah dengan ia kembali semua kepada kelalaian dan mengikut hawa nafsu serat semakin suka membuat maksiat-maksiat, kerana itu bukanlah tandanya haji mabrur atau haji yang diterima oleh Allah Ta’ala. Bahkan tandanya haji yang diterima itu, ialah dengan semakin cenderung hatinya dan gerak-kerinya kepada amalan-amalan akhirat serta meyiapkan diri untuk menemui Tuhan yang memiliki Rumah Allah; iaitu Ka’bah setelah baru saja bertemu dengan RumahNya itu.

Klik untuk kembali ke senarai tajuk-tajuk utama dalam “Kitab Rahsia Haji”

Bahagian kesepuluh peraturan kerja-kerja haji ialah Ziarah ke Madinah dan Tertibnya yakni seperti berikut.

Barangsiapa yang menuju ke Madinah kerana tujuan berziarah, maka hendaklah ia memperbanyakkan selawa ke atas Junjungan Nabi Muhammad s.a.w. di sepanjang perjalanannya ke sana. Sebelum masuk berziarah Nabi, sewajarnya dia mandi terlebih dulu, kemudian memakai sebersih-bersihnya pakaian dan memakai wangi-wangian.

Apabila masuk ke dalam masjid hendaklah bersikap merendah diri dengan penuh penghormatan, terus menuju ke minbar lalu bersembahyang dua rakaat di sisi minbar itu. Kemudian ia pergi pula ke Maqam Nabi s.a.w. sambil berdiri menghadapnya dengan membelakangkan kiblat dan berhadapan dengan dinding maqam itu lebih kurang sejarak empat hasta dari tiang-tiang yang ada berdekatan dengan dinding di situ ataupun menciumnya, sebab kelakuan serupa itu adalah warisan dari adat kaum Nasrani dan yahudi. Yang patut di buat hanya berdiri saja dari jauh, kerana yang demikian itu adalah lebih baik untuk memberikan penghormatannya. Setelah berdiri lalu memberi salam:

Salam sejahtera ke atasmu, duhai Rasulullah!

Salam sejahtera ke atasmu, duhai Nabi Allah!

Salam sejahtera ke atasmu, duhaikepercayaan Allah!

Salam sejahtera ke atasmu, duhai Nabi kesayangan Allah!

Salam sejahtera ke atasmu, duhai pilihan Allah!

Salam sejahtera ke atasmu, duhai Abul Qasim!

Salam sejahtera ke atasmu, duhai penghulu para Rasul!

Salam sejahtera ke atasmu, duhai penutup para Nabi !

Salam sejahtera ke atasmu, duhai pengutus Tuhan Semesta Alam!

Salam sejahtera ke atasmu, duhai pemimpin kebaikan!

Salam sejahtera ke atasmu, duhai pembuka segala kebajikan!

Salam sejahtera ke atasmu, duhai Nabi Rahmat!

Salam sejahtera ke atasmu, duhai petunjuk ummat!

Salam sejahtera ke atasmu, dan ke atas sekalian keluargamu dan para sahabatmu yang baik-baik.

Mudah-mudahan Allah akan memberikan kepadamu sebaik-baik balasan yang pernah diberikan kepada seorang Nabi daripada kaumnya, dan kepada seorang rasul daripada ummatnya. Moga-moga Allah merahmatimu dengan setinggi dan sempurna salawatnya yang tiada pernah dianugerahkanNya kepada seseorang pun dari makhlukNya. Begitu pula kami berlindung diri denganmu daripada kesesatan, memelihara pemandangan kami dari kebutaan dan menjaga petunjuk yangada pada kami dari kebodohan. Aku bersaksi bahawasanya engkau telah pun menyampaikan perutusan, engkau telah tunaikan amanat, engkau telah menasihatkan ummat, engkau telah menentang musuhmu, engkau telah menunjuki ummatmu, engkau telah menyembah Tuhanmu, sehingga tiba kepadamu keyakinan moga-moga Allah memberikan rahmatNya ke atasmu, dan ke atas sekalian keluargamu yang baik-baik, juga memberikan keselamatan keutamaan kemuliaan dan kebesaran.

Sesudah itu dia berundur sedikit kira-kira sehasta, lalu memberi salam kepada Saiyidina Abu Bakar as-Siddiq r.a. Kemudian berundur lagi kira-kira sehasta memberi salam pula kepada Saiyidina Umar Ibnul-Khattab r.a. Pada kedua-duanya, dia berkata:

“Salam sejahtera ke atas kamu kedua, wahai Menteri-menteri Rasulullah s.a.w dan pembanatu-pembantunya untuk mendirikan agama sewaktu hayatnya dan orang-orang yang mengambil berat terhadap ummatnya dalam urusan-urusan agama sesudah kepergiannya. Kamu kedua telah menurut jejak langkahnya, dan berbuat dengan sunnatnya (perjalanannya), moga-moga Allah membalas kamu kedua dengan balasan paling layak diberikan kepada dua Menteri Nabi yang melindungi agamaNya.

Kemudian dia beredar pula ke Raudhah untuk bersembahyang dua rakaat di situ dan hendaklah memperbanyakkan berdoa seberapa boleh, setelah itu,, baik baginya mengunjungi Bukit Uhud dan menziarah maqam-maqam para syuhada di situ. Juga baik baginya menziarahi Baqi’ (Perkuburan Madinah) serta menziarahi maqam orang-orang yang termulia di situ. Kalau boleh setiap hari Sabtu, dia pergi pula ke Masjid Quba’ untuk bersembahyang di sana, Jika boleh tinggal di Madinah dengan menjaga perkhidmatan di situ, adalah pahalanya besar sekali. Sesudah itu bila ingin meninggalkan Kota Madinah, sunnat baginya mendatangi sekali lagi Maqam Rasulullah s.a.w yang mulia dan mengulangi doa yang dibaca waktu mula-mula ia berziarah dulu, dan jangan lupa pula berdoa kepada Allah meminta agar dapat kembali semula ke Madinah. Kemudian dia bersembahyanglah dua rakaat di Raudhah. Apabila keluar dari Raudhah, hendaklah dimulakan langkahnya dengan kaki kiri kemudian kanan, dan akhir sekali sebelum meninggalkan Kota Madinah itu, hendaklah ia bersedekah kepada jiran-jiran Rasulullah s.a.w di situ dengan kadar yang termampu.

Klik untuk kembali ke senarai tajuk-tajuk kecil dalam “Peraturan kerja-kerja haji”

Klik untuk kembali ke senarai tajuk-tajuk utama dalam “Kitab Rahsia Haji”

Bahagian kesembilan peraturan kerja-kerja haji ialah Tawaful Wada’ yakni seperti berikut.

Apabila seseorang haji itu telah berniat mahu kembali ke negerinya sesudah selesai menunaikan semua amalan hajinya, atau amalan umrahnya, terlebih dulu hendaklah ia menyelesaikan semua urusan yang bersangkutan di situ. Kemudian ia menyediakan diri untuk berangkat di situ. Kemudian ia menyediakan diri untuk berangkat pula, sehingga apabila semua urusan-urusan ini telah selesai, barulah dia mengerjakan kerja yang terakhir, iaitu Tawaful-Wada’ atau tawaf selamat tinggal. Tawaful-Wada` ini dilakukan sama seperti tawaf-tawaf yang lain, hanya tiadalah ia bercepat-cepat atau berjalan perlahan-lahan, bahkan semuanya dilakukan dengan langkah-langkah yang sama belaka dalam tujuh kali keliling itu.

Selesai saja tawaf selamat tinggal ini, hendaklah ia bersembahyang dua rakaat di belakang Maqam Ibrahim, kemudian meminum pula air zamzam. Kemudian dia pergi ke Multazam, lalu berdoa dengan sepenuh khusyu’ dan khudhu’ dengan doa berikut:

“Ya Allah! Ya Tuhanku! Peliharalah kesihatan tubuh badanku, dan keselamatan agamaku, dan perbaikkanlah tujuan hatiku serta kurniakanlah aku ketaatan kepadaMu sepanjang umur yang Engkau tetapkan bagiku. Saingkanlah bagiku kebaikan dunia dan akhirat, sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa ke atas tiap-tiap sesuatu.”

Klik untuk kembali ke senarai tajuk-tajuk kecil dalam “Peraturan kerja-kerja haji”

Klik untuk kembali ke senarai tajuk-tajuk utama dalam “Kitab Rahsia Haji”