Bahagian kesepuluh peraturan kerja-kerja haji ialah Ziarah ke Madinah dan Tertibnya yakni seperti berikut.

Barangsiapa yang menuju ke Madinah kerana tujuan berziarah, maka hendaklah ia memperbanyakkan selawa ke atas Junjungan Nabi Muhammad s.a.w. di sepanjang perjalanannya ke sana. Sebelum masuk berziarah Nabi, sewajarnya dia mandi terlebih dulu, kemudian memakai sebersih-bersihnya pakaian dan memakai wangi-wangian.

Apabila masuk ke dalam masjid hendaklah bersikap merendah diri dengan penuh penghormatan, terus menuju ke minbar lalu bersembahyang dua rakaat di sisi minbar itu. Kemudian ia pergi pula ke Maqam Nabi s.a.w. sambil berdiri menghadapnya dengan membelakangkan kiblat dan berhadapan dengan dinding maqam itu lebih kurang sejarak empat hasta dari tiang-tiang yang ada berdekatan dengan dinding di situ ataupun menciumnya, sebab kelakuan serupa itu adalah warisan dari adat kaum Nasrani dan yahudi. Yang patut di buat hanya berdiri saja dari jauh, kerana yang demikian itu adalah lebih baik untuk memberikan penghormatannya. Setelah berdiri lalu memberi salam:

Salam sejahtera ke atasmu, duhai Rasulullah!

Salam sejahtera ke atasmu, duhai Nabi Allah!

Salam sejahtera ke atasmu, duhaikepercayaan Allah!

Salam sejahtera ke atasmu, duhai Nabi kesayangan Allah!

Salam sejahtera ke atasmu, duhai pilihan Allah!

Salam sejahtera ke atasmu, duhai Abul Qasim!

Salam sejahtera ke atasmu, duhai penghulu para Rasul!

Salam sejahtera ke atasmu, duhai penutup para Nabi !

Salam sejahtera ke atasmu, duhai pengutus Tuhan Semesta Alam!

Salam sejahtera ke atasmu, duhai pemimpin kebaikan!

Salam sejahtera ke atasmu, duhai pembuka segala kebajikan!

Salam sejahtera ke atasmu, duhai Nabi Rahmat!

Salam sejahtera ke atasmu, duhai petunjuk ummat!

Salam sejahtera ke atasmu, dan ke atas sekalian keluargamu dan para sahabatmu yang baik-baik.

Mudah-mudahan Allah akan memberikan kepadamu sebaik-baik balasan yang pernah diberikan kepada seorang Nabi daripada kaumnya, dan kepada seorang rasul daripada ummatnya. Moga-moga Allah merahmatimu dengan setinggi dan sempurna salawatnya yang tiada pernah dianugerahkanNya kepada seseorang pun dari makhlukNya. Begitu pula kami berlindung diri denganmu daripada kesesatan, memelihara pemandangan kami dari kebutaan dan menjaga petunjuk yangada pada kami dari kebodohan. Aku bersaksi bahawasanya engkau telah pun menyampaikan perutusan, engkau telah tunaikan amanat, engkau telah menasihatkan ummat, engkau telah menentang musuhmu, engkau telah menunjuki ummatmu, engkau telah menyembah Tuhanmu, sehingga tiba kepadamu keyakinan moga-moga Allah memberikan rahmatNya ke atasmu, dan ke atas sekalian keluargamu yang baik-baik, juga memberikan keselamatan keutamaan kemuliaan dan kebesaran.

Sesudah itu dia berundur sedikit kira-kira sehasta, lalu memberi salam kepada Saiyidina Abu Bakar as-Siddiq r.a. Kemudian berundur lagi kira-kira sehasta memberi salam pula kepada Saiyidina Umar Ibnul-Khattab r.a. Pada kedua-duanya, dia berkata:

“Salam sejahtera ke atas kamu kedua, wahai Menteri-menteri Rasulullah s.a.w dan pembanatu-pembantunya untuk mendirikan agama sewaktu hayatnya dan orang-orang yang mengambil berat terhadap ummatnya dalam urusan-urusan agama sesudah kepergiannya. Kamu kedua telah menurut jejak langkahnya, dan berbuat dengan sunnatnya (perjalanannya), moga-moga Allah membalas kamu kedua dengan balasan paling layak diberikan kepada dua Menteri Nabi yang melindungi agamaNya.

Kemudian dia beredar pula ke Raudhah untuk bersembahyang dua rakaat di situ dan hendaklah memperbanyakkan berdoa seberapa boleh, setelah itu,, baik baginya mengunjungi Bukit Uhud dan menziarah maqam-maqam para syuhada di situ. Juga baik baginya menziarahi Baqi’ (Perkuburan Madinah) serta menziarahi maqam orang-orang yang termulia di situ. Kalau boleh setiap hari Sabtu, dia pergi pula ke Masjid Quba’ untuk bersembahyang di sana, Jika boleh tinggal di Madinah dengan menjaga perkhidmatan di situ, adalah pahalanya besar sekali. Sesudah itu bila ingin meninggalkan Kota Madinah, sunnat baginya mendatangi sekali lagi Maqam Rasulullah s.a.w yang mulia dan mengulangi doa yang dibaca waktu mula-mula ia berziarah dulu, dan jangan lupa pula berdoa kepada Allah meminta agar dapat kembali semula ke Madinah. Kemudian dia bersembahyanglah dua rakaat di Raudhah. Apabila keluar dari Raudhah, hendaklah dimulakan langkahnya dengan kaki kiri kemudian kanan, dan akhir sekali sebelum meninggalkan Kota Madinah itu, hendaklah ia bersedekah kepada jiran-jiran Rasulullah s.a.w di situ dengan kadar yang termampu.

Klik untuk kembali ke senarai tajuk-tajuk kecil dalam “Peraturan kerja-kerja haji”

Klik untuk kembali ke senarai tajuk-tajuk utama dalam “Kitab Rahsia Haji”

Advertisements