Tata-tertib kesopanan yang khas dalam amalan haji itu ada tujuh perkara:

Pertama: Hendaklah nafkah yang dibelanjakan itu dari harta yang halal, manakala segala perhatian dan tujuannya hanya semata-mata untuk Allah Ta’ala saja dan kerana membesarkan syiar-syiarNya. Orang yang menghajikan orang lain, hendaklah berniat bagi dirinya ziarah Baitullah Ta’ala dan menolong saudaranya yang muslim untuk menunaikan Fardhu Haji yang wajib ke atasnya, bukan kerana tujuan mencari untung atau berniaga dengan menggunakan agama untuk mencapai tujuan dunia. Jadi samalah seperti orang yang mencari dunianya dengan menjual amalan akhirat. Bahkan yang sepatutnya dia menggunakan kesempatan keduniaan itu untuk mencapai tujuan agama, yakni dapat berhaji dan berziarah sekaligus.

Kedua: meluaskan persediaan dalam makan-minum dan murah hati dalam membuat budi dan membelanjakan harta dengan bersedekah tidak terlalu lokek ataupun telalu boros, tetapi dengan sedeharhana saja menurut cara orang yang beriktisad. Membelanjakan wang dalam makan-minum kerana tujuan hai adalah nafkah yang dikeluarkan untuk jalan Allah azzawajalla, tentulah pahalanya berlipat ganda. Ibnu Umar berkata: Tanda-tanda murah hati manusia ialah memewahkan makan-minumnya dalam pelayaran.

Ketiga: Meninggalkan rafats, fusuq dan jidal, iaitu denga nas al-Quran al-Karim. Rafats: ialah kata-kata sia-sia yang tidak ada faedahnya ataupun cakap-cakap kotor, termasuk bergurau senda dengan kaum wanita dan bermain-main dengan mereka atau berbual-bual mengenai jimak (persetubuhan) atau cumbu-cumbuan, kerana semua itu akan memberangsangkan kepada melakukan perbuatan itu sedangkan ini dilarang dalam masa berihram dengan haji atau umrah. Tegasnya memberangsangkan untuk melakukan yang dilarang adalah ditegah. Fusuq: ialah segala macam perbuatan yang boleh menarik manusia terkeluar dari mentaati Allah azzawajalla. Dan akhir sekali jidal, iaitu berlebih-lebihan dalam permusuhan atau perselisihan yang membawa kepada hasad benci membenci yang bertentangan dengan budi pekerti yang luhur. Janganlah hendaknya dia terlalu membangkang sangat terhadap teman-teman seperjalananya ataupun tukang-tukang kenderaan (e.g. Syaikh Haji) dan sahabat-sahabat yang lain.

Bahkan sebaik-baiknya, hendaklah ia berlemah-lembut kepada mereka dan merendahkan diri kepada sekalian jemaah haji yang sama-sama pergi ke Baitullah itu. Hendaklah ia sentiasa berbudi pekerti tinggi dan berbudi pekerti tinggi itu bukanlah hanya menahan diri dari melakukan sesuatu yang boleh menyakitkan hati orang lain saja, bahkan sanggup bersabar dan menanggung segala sesuatu dari orang lain yang menyakiti diri sendiri.

Keempat: Hendaklah ia meninggalkan pakaian orang-orang yang boros dan takabbur, jangan sampai cenderung berlagak seperti orang yang suka berlebih-lebihan atau menunjuk-nunjukkan diri, niscaya ia akan terkira di dalam golongan orang takabbur dan terkeluar pula dari kumpulan orang yang saleh. Tersebut di dalam sebuah hadis:

“Sesungguhnya orang haji itu ialah orang yang serembah-serembih (iaitu orang yang tidak selalu mempersolekkan diri).”

Allah telah berfirman:

“Kemudian hendaklah mereka membersihkan keadaan diri mereka.”

Serembah-serembih atau tidak mementingkan kebersihan diri itu disebabkan penumpuan amalan haji, dan membersihkannya dengan bercukur, memendekkan misai dan memotong kuku.

Kelima: Hendaklah ia menaruh belas kasihan terhadap binatang dan jangan membebankannnya barang-barang yang terlalu berat, sehingga tiada tertahan baginya untuk menanggung. Jangan juga menunggang ke atasnya terlalu lama sangat, bahkan hendaklah sekali-kali ia turun dari belakangnya untuk menunjukkan timbang rasanya terhadap binatang itu.

Keenam: Hendaklah ia mendekatkan diri kepada Allah dengan mengalirkan darah (menyembelih kerana korban), meskipun tidak wajib ke atasnya. Bila berkorban hendaklah memilih binatang yang gemuk dan yang berharga. Dia boleh memakan dagingnya, jika ia berkorban Tathawwu’ (korban sukarela). Maksud dari pengorbanan itu bukanlah dagingnya, tetapi untuk membersihkan diri dan mensucikannya dari sifat kikir dan menghiaskannya dengan keindahan pentakziman Allah azzawajalla. Allh berfirman:

“Tidak akan sampai kepada Allah daging-dagingnya (korban) atau darahnya, akan tetapi yang akan sampai kepada Allah ialah taqwa kamu.” (al-Haj:37)

Ketujuh: Hendaklah segala yang dibelanjakannya itu dari jiwa yang suci murni, sama ada merupakan perbelanjaan mahupun korna dan ia redha atas segala kerugian dan kecelakaan pada harta dan badan yang mungkin menimpanya. Pada tiap-tiap kesusahan yang diterimanya aatau kerugian yang mengenainya akan dibalasa dengan pahala tiada suatu pun yang bakal hilang di sisi Allah kelak. Ada yang berkata bahawa tanda-tanda kabulnya haji seseorang itu ialah meninggalkan segala yang ada pada dirinya dari maksiat-maksiat. Dan ia akan menukarkan rakan-rakan yang jahat dengan rakan-rakan yang saleh dan menukarkan tabiat suka berlabun-labun dalam kumpulan-kumpulan orang yang bersenda-gurauan dan lalai kepada majlis-majlis bersikir terhadap Allaah Ta’ala dan mempunyai kesedaran diri.

Klik untuk kembali ke senarai tajuk-tajuk utama dalam “Kitab Rahsia Haji”

Advertisements