Tertib batiniah dalam membaca al-Quran

Dalam membaca al-Quran secara batiniah tujuh perkara:

Pertama: Memahami kebesaran percakapan (firman) atau percaya apa yang terkandung di dalam al-Quran dan ketinggiannya, serta kemahaAgungan Allah s.w.t. dan kemahaRahmatNya ke atas sekalian makhlukNya dalam menyampaikan segala percakapanNya sesuai dengan fahaman mereka.

Kedua: Mengagungkan Zat Allah yang berfirman. Orang yang membaca al-Quran terlebih dulu hendaklah menghadirkan di dalam hatinya Zat Allah yang berfirman, agas ia sentiasa maklum bahawa segala firman yang dibacanya itu bukanlah dari percakapan manusia. Dan kemahaAgungan Allah tidak akan muncul di dalam hati, selagi tiada dapat membayangkan sifat-sifat kebesaran Allah Ta’ala dan kemahaAgungNya dan segala perbuatan-perbuatanNya.

Andaikata ia dapat menggambarkan di dalam hatinya, betapa hebatnya Arasy dan Kursi langit dan bumi dan segala isinya daripada jin manusia, binatang-binatang, pohon-pohonan, dan ia mengetahui dengan penuh keyakinan, bahawasanya pencipta semua itu dan pengusaannya serta pemberi rezekinya ialah Satu dan Esa dan segala-galanya adalah di dalam genggaman kudratNya, sentiasa terdedah di antara menerima kelebihan dan rahmatNya ataupun menerima siksa dan kemukaanNya. Kiranya Dia (Allah) mengurniakan kenikmatan, maka demikian itu dengan rahmatNya; dan kiranya Dia meyeksa maka yang demikian itu adalah dengan keadilanNya. Dengan memikirkan hal-hal yang serupa inilah, akan hadir di dalam hati penghormatan terhadap Zat yang berfirman; iaitu Allah s.w.t. dan akan hadir sama juga penghormatan terhadap percakapanNya.

Ketiga: Menghadirkan hati ketika dalam membaca al-Quran serta meninggalkan segala terlintas dari unsur-unsur lain dan mengosongkan hati daripanya, agar semua tumpuan terhala kepada bacaan membaca surah al-Quran sedang hatinya lalai daripadanya, segera akan diulangi semula pembacaannya. Sifat ini timbul kerana penghormatan yang telah kita bicarakan sebelum ini, sebab orang yang menghormati percakapan Allah itu, apabila ia membaca al-Quran itu perkara-perkara yang akan mengembirakan hati, apabila si pembacanya ahli dalam perkara-perkara itu. Jadi apalah gunanya lagi untuk mencari kelapangan hati dengan memikirkan selain dari isi al-Quran, kalau al-Quran sudah boleh memberikannya.

Keempat: Memikirkan erti-erti al-Quran dan ini akan terlaksana dengan hadirnya hati ketika membaca al-Quran, sebab mungkin sekali ia tidak memikirkan selain dari al-Quran, tetapi ia hanya mementingkan pendengaran al-Quran buat dirinya sendiri, sedangkan ia tiada pula memahami maknanya. Padahal maksud dari membaca al-Quran itu telah memikirkan makna-maknanya. Kerana itulah disunnatkan membacanya dengan tartil, sebab tartil pada lahirnya akan membolehkan pembaca memikirkan maknanya secara batiniah:

Berkata Ali r.a.: Tiada gunanya sesuatu ibadat yang dilakukakan tanpa ilmu pengetahuan dan bacaan al-Quran yang dilakukan tanpa memikirkan maknanya.

Andaikata dia tidak mampu memahami maknanya melainkan dengan berulang-ulang membacanya, maka hendaklah mengulang pembacaannya itu, kecuali jika dia sedang bersembahyang di belakang Imam. Pernah diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bangun di tengah malam (bersembahyang) membaca suatu ayat yang diulang-ulanginya berkali-kali.

Kelima: Memahamkan tujuannya iaitu menerangkan setiap ayat sesuai dengan maksudnya yang sebenarnya, sebab al-Quran itu mengandungi berbagai-bagai perkara: di antaranya sebutan mengenai sifat-sifat Allah azzawajalla dan perbuatan-perbuatanNya, cerita dan peristiwa mengenai para Nabi serta kaum-kaum yang mendustakannya dan bagaimana pula mereka telah menemui ajal mereka masing-masing Al-Quran juga mengandungi perintah-perintah Allah dan larangan-laranganNya, dan berita-berita mengenai syurga dan neraka.

Mengenai sifat-sifat Allah azzawajalla, firmaNya:

“Tiada sesuatu pun yang menyerupaiNya dan Dia (Allah) Maha Mendengar lagi Melihat.”  (as-Syura: 11)

“Dia (Allah) adalah Maha Raja Maha Suci, Maha Penyelamat, Maha Pembawa Keamanan, Maha Pelindung, Maha Mulia, Maha Perkasa dan Maha Meninggi Diri.”

Maka sewajarnyalah setiap manusia memerhatikan pengertian dari nama-nama dan sifat Allah tersebut, agar tersingkap baginya rahsia-rahsianya.

Adapun mengenai perbuatan-perbuatan Allah Ta’ala itu, iaitu seperti yang disebutkan dalam ayat-ayat mengenai penciptaanNya terhadap petala langit dan bumi dan sebagainya, maka sewajarnyalah si pembaca tadi memahami pula sifat yang bagaimana yang disifati oleh Allah Ta’ala, kerana perbuatan itu menunjukkan adanya yang mencipta dan demikian pula terbuktilah bahawa kebesaran penciptaanNya itu menunjukkan kepada kebesaran Pencipta. Dan adalah wajar sekali bagi seseorang menyaksikan dalam sesuatu penciptaan itu penciptanya, bukan semata-mata mementingkan penciptaannya saja. Orang yang sudah kenal kepada yang hak, tentulah akan melihat hak itu pada setiap sesuatu.

Maka oleh itu, apabila seseorang membaca firma Allah Ta’ala seperti berikut:

“Tidakkah kamu perhatikan apa yang kamu tanam? (al-Waqi’ah: 63)

“Tidakkah kamu perhatikan air mani yang kamu tumpahkan?”  (al-Waqi’ah: 58)

“Tidakkah kamu perhatikan air yang kamu minum?” (al-Waqi’ah: 68)

“Tidakkah kamu perhatikan apa yang kamu nyalakan?” (al-Waqi’ah: 71)

Maka janganlah pemandangannya hanya tertuju kepada air, api, tanaman dan air mani semata-mata, malah hendaklah ia memerhatikan lebih jauh dari itu. Misalnya air mani mula-mula ia hanya merupakan setitik air saja yang sama rupanya, kemudian hendaklah ia memerhatikan betapa setitik air itu boleh berubah menjadi beberapa bahagian seperti daging, tulang-belulang, urat-urat dan otot. Kemudian bagaimana pula bahagian-bahagian ini terbentuk menjadi anggota-anggota badan seperti kepala, tangan, kaki, jantung, hati dan lain-lain lagi. Kemudian dari anggota-anggota tersebut terbentuk pulalah sifat-sifat yang mulia bagi manusia, dari sifat-sifat pendengaran, penglihatan, akal fikiran dan lain-lain lagi. Kemudian muncul pula daripadanya, sifat-sifat yang tercela seperti sifat-sifat kemarahan, kesyahwatan, kecongkakan, kebodohan, kebohongan dan penentangan, sebagaimana yang boleh difirmankan oleh Allah Ta’ala.

“Tidakkah manusia itu melihat bahawasanya Kami (Allah) telah menciptakannya dari setitik air mani, tiba-tiba ia menjadi pula seorang penentang yang nyata.”  (Yasin: 77)

Cubalah kita perhatikan perkara-perkara ajaib ini, agar kita boleh dapat meningkat pula kepada perkara-perkara yang lebih besar lagi ajaibnya; iaitu penciptaan yang daripadanya muncul segala ajaib-ajaib ini, dan setiap kali kita memerhatikan kepada penciptaannya, kita akan sedar di sana ada penciptanya pula.

Adapun hal-ehwal para Nabi alaihimus-salam, apabila dalam suatu peristiwa, mereka itu telah dibohongi, didustai, dianiayai dan sebahagian pula dibunuh. Nanti di lain-lain tempat pula, kita dapati mereka itu akan menang juga akhirnya, disebabkan pertolongan Allah s.w.t. Dengan itu fahamlah kita, bahawa segala-gala itu adalah dengan kemahuan dan kehendak Allah azzawajalla dan Dia sentiasa akan memberikan pertolongan kepada kebenaran.

Adapun mengenai hal-ehwal kaum yang mendustakan para Nabi itu seperti kaum ‘Ad dan Tsamud, dan apa yang telah berlaku ke atas diri mereka itu, hendaklah dijadikan fahaman itu sebagai tanda perasaan takut terhadap balasan Allah dan seksaanNya, kemudian hendaklah kita mengambil contoh tauladan dari peristiwa itu bagi diri kita.

Advertisements