June 2010


Menjamu makanan kepada tetamu-tetamu adalah seperkara yang baik dan mempunyai banyak kelebihan. Berkata al-Hasan: Setiap nafkah yang dibelanjakan oleh seseorang akan diperkirakan di kemudian hari melainkan nafkah yang dibelanjakan kepada teman dan rakan yang berupa makanan yang dihidangkan kepada mereka, maka Allah Ta’ala lebih mulia daripada mahu bertanya mengenainya.

Berkata Ali r.a: Jika aku dapat mengumpulkan rakan-rakanku atau satu sha’ dari makanan, lebih utama lagi bagiku daripada aku memerdekakan seorang hamba sahaya.

Berkata Ibnul Umar r.a: Antara tanda kemuliaan seseorang ialah makanannya ketika dalam pelayaran dan tidak lokek memberikannya kepada rakan-rakannya. Para sahabat dahulu kala sering berkumpul untuk majlis bacaan al-Quran al-Karim, dan mereka tidak akan berpisah melainkan sesudah menjamah sedikit jamuan, walaupun ringan.

Ataupun adab-adabnya: satu bahagian mengenai tetamu itu sendiri dan bahagian yang lain mengenai bagaimana menghidangkan makanan kepada tetamu.

Adapun adab untuk menjadi tetamu kepada seseorang maka bukanlah suatu perkara sunnat mendatangi seseorang pada waktu makan, agar ia dapat diterima menjadi tetamu pula, kerana mendatangi seseorang di waktu makan akan memeranjatkannya. Itu adalah di larang, sebagaimana firman Allah Ta’ala dalam al-Quran al-Karim:

“Janganlah kamu mendatangi rumah-rumah Nabi, melainkan sesudah diizinkan untuk makan tanpa menanti-nanti makanan itu masak”  (al-Ahzab: 53)

Maksudnya menunggu-nunggu waktu makan atau menanti sampai makanan masak supaya mereka dapat makan bersama-sama.

Tetapi jika orang itu memang terlalu lapar, sengaja dia mendatangi rumah setengah-setengah kawan untuk mendapat sedikit makanan, tetapi tidak pula menunggu sampai tiba waktu makan, maka hal serupa itu tidaklah menjadi salah. Malah harus sebab ada semacam pertolongan kepada seorang saudara untuk mendapat pahala memberi makanan. Demikianlah caranya para salaf selalu melakukan. Sekiranya dia sampai di rumah kawan tadi sedang kawannya tiada di rumah; jika dia yakin keikhlasan hati kawan itu dan mengetahui  bahwa kawan itu akan merasa gembira kalau dia memakan dari makanannya, maka bolehlah dia memakan tanpa izinnya. Maksud keizinan di sini ialah keredhaan kawan tadi, terutama sekali pada makanan-makanan, dan perkara ini bergantung pula pada kelapangan hatinya. Sebab banyak orang menegaskan keizinan dan kadang-kadang bersumpah, sedangakn hatinya tidak redha. Maka memakan makanan orang seperti ini makruh hukumnya. Ada yang lain pula tidak hadir di rumah tetapi memakan dari makanannya dibolehkan dan tidak makruh, kerana hati tuannya ikhlas dan redha.

Allah telah berfirman:

“Atau di rumah kawan kamu (yakni memakan di rumahnya).”  (an-Nur: 61)

Berkata al-Hasan: Yang dikatakan kawan di sini, ialah orang yang jiwa anda merasa senang kepadanya dan kalbu anda merasa tenang kepadanya.

Muhammad bin Wasi’ dan sahabat-sahabatnya sering berkunjung ke rumah al-Hasan, kemudian makan-minum apa yang ada dalam rumah itu tanpa keizinan al-Hasan. Apabila al-Hasan pulang, beliau terserempak dengan mereka. Beliau merasa gembira seraya berkata: Ya beginilah sepatutnya kita semua.

Diceritakan lagi, ada beberapa orang telah berkunjung ke rumah Sufyan as-Tsauri, tetapi dia tiada di rumah ketika itu. Mereka pun masuk ke dalam rumah, lalu menyediakan makanan-makanan yang ada dan mereka pun makan-minum. Tidak lama kemudian, Sufyan pun kembali dan berkata: Kamu sekalian telah mengingatkan aku kelakuan para salaf, beginilah mereka itu semua.

Adapun adab menghidangakan makanan kepada tetamu ialah: Tiada memaksa diri untuk menghidangkan apa yang tersedia saja.

Al-Fudhail berkata: Sebabnya orang berputus hubungan antara satu dengan yang lain, ialah bila mengundang saudaranya dia menghidangkan makanan secara memaksa diri, oleh itu saudaranya tidak suka datang lagi selepas undangan itu. Di antara cara memaksa diri ialah dengan menghidangkan semua makanan yang ada di rumah, sehingga ahli rumahtangganya tidak dapat merasa lagi. Cara begini tentulah menghampakan hati ahli rumahtangga yang menyediakan makanan itu.

Setengah orang berkata: Kami pergi kerumah Jabir r.a lalu dihidangkan kami roti dan cuka (acaran). Berkata Jabir: Kalaulah tidak kerana aku dilarang dari memberatkan diri dalam jamuan, tentulah aku akan hidangkan bermacam-macam makanan kepada kamu.

Adab yang lain ialah bagi si tetamu, hendaklah jangan ia mencadangkan atau memaksa sesuatu barang yang tertentu untuk menjadi santapannya, seringkali sikap serupa itu, selain memberatkan akan memarahkan pula hati orang yang menerimanya sebagai tetamu. Kiranya ia telah ditawarkan oleh tuan rumah antara dua makanan, maka hendaklah ia memilih yang lebih senang untuk disediakan. Kecuali jika tetamu itu mengetahui barang yang akan dicadangkannya itu, tidak sukar bagi tuan rumah untuk disediakan maka tiadalah makruh lagi baginya untuk mencadangkan barang itu.

Adab makan bersama

Bila makan bersama-sama orang ramai, haruslah diperhatikan perkara-perkara yang berikut; iaitu sebanyak tujuh perkara:

1.       Jangan mulakan makan dulu bila ada hadir bersamanya orang yang mesti didahulukan, seperti orang tua atau orang  yang lebih utama daripadanya. Tetapi jika mengambil makanan itu mengikut giliran dan sudah sampai pula gilirannya untuk mengambil, maka ketika itu janganlah ia melambat-lambatkan sehingga orang lain terpaksa menunggu lama, padahal mereka itu telah berkumpul untuk makan bersama-sama.

2.       Janganlah sampai semua orang berdiam diri di waktu makan, tetapi sebaik-baiknya hendaklah berbual-bual tentang perkara-perkara yang baik.

3.       Janganlah makan dengan tamak, bahkan hendaklah mengingat kawan-kawan yang makan bersama-sama dalam satu hidang. Janganlah makan lebih dari kadar yang ditetapkan baginya kerana makan lebih dar kadar itu, hukumnya haram jika tidak mendapat keredhaan kawan yang memakan bersama-sama dalam satu hidangan. Sebaik-baiknya ia melebihkan makanan itu pada kawan-kawannya. Jangan pula memakan dua butir kurma sekaligus, melainkan jika semua orang yang makan sedikit, hendaklah ia menggalakkannya supaya menambah lagi dan menimbulkan seleranya untuk makan. Jika kawan itu menolak, bolehlah dipujuk hingga tiga kali, tidak lebih dari itu, kerana sesudah itu, tentulah ia akan merasa bosan dan menganggap itu sebagai memaksanya.

Adapun bersumpah untuk memakan lagi adalah di larang. Berkata al-hasan bin Ali r.a: Makanan itu lebih ringan daripada seorang yang bersumpah untuk memjuk kawannya supaya makan lagi (Maksudnya jika tak dihabiskan pun tak mengapa, tetapi jangan bersumpah untuk menyuruh orang lain memakannya — pent).

4.       Janganlah terlalu menggesa kawan untuk memakan, sehingga ketara seolah-olah ia amat memerlukan makanan itu. Jangan pula memerhatikan kelakuannya ketika sedang makan: banyakkah, sedikitkah, bahkan hendaklah ia bersikap seperti seorang yang menanggung makan kawannya. Jangan pula meninggalkan lebihan makanan di tempat makannya, sedangkan selera untuk memakannya masih ada, kerana takut orang mengatakan gelojoh, sebab yang demikian itu adalah semacam kepura-puraan. Tetapi hendaklah ia makan seperti biasa, yakni seperti ia makan seorang diri di rumah. Sebaik-baiknya melatihkan diri bersopan-santun ketika makan bersendirian di rumah, supaya nanti tidak teragak-agak lagi untuk bersikap sama bila makan dengan orang ramai. Ya kalau boleh sewaktu makan beramai-ramai itu, dikurangi sedikit dari kadar makananan biasa untuk melebihkan kawang-kawannya, apatah lagi kalau, ia mengetahui bahwa mereka itu amat memerlukan makanan itu, maka sikap yang demikian adalah paling utama sekali. Begitu juga ia makan lebih dengan niat menggalakkan kawan-kawannya memakan lebih dan menaikkan semangat mereka untuk menambah lagi, maka itu adalah lebih baik pula.

5.       Tidak mengapa membasuh tangan di dalam bekas makanan itu (jika bekas itu telah bersih dari makanan — pent)

Berkata Anas: Andaikata saudaramu mengundangmu untuk makan, hendaklah engakau menerima kehormatan itu dan janganlah menolaknya. Diriwayatkan, pernah Khalifah Harun ar-Rasyid mengundang makan Abu Mu’awiyah yang buta matanya. Apabila selesai makan, Khalifah pun membasuh tangan Abu Mu’awiyah menjawab: Tidak! Khalifah berkata lagi: Yang membasuh tanganmu ialah Amirul Mu’minin (yakni dirinya sendiri). Berkata Abu Mua’awiyah: Wahai Amirul Mu’minin! Sebenarnya tuan hamba telah memuliakan ilmu pengetahuan dan meletakkanya di tempat yang tinggi, maka Allah akan meninggikan kedudukan tuan hamba dan memuliakan tuan hamba, sebagaimana tuan hamba memuliakan ilmu dan ahlinya.

Oleh itu sayugialah tuan rumah sendiri yang patut menuangkan air untuk membasuh tangan tetamu-tetamunya. Demikianlah yang dilakukan oleh Imam-imam besar Malik dan Syafi’I radhiallahuanhuma pada hari tetamu itu mula tinggal bersamanya. Mereka berkata: Janganlah engkau terperanjat pada apa yang engkau lihat daripadaku ini, sebab memberi khidmat kepada tetamu adalah suatu kewajiban.

6.       Janganlah tuan rumah memerhatikan kelakuan tetamu-tetamunya ketika sedang makan, jangan mengawasinya, kelak dikhuatirinya mereka akan merasa malu, Sebaiknya bersikap pura-pura tidak nampak dan menumpukan segala perhatian pada dirinya sendiri lebih-lebih lagi jika mereka sedang sedap makan. Janganlah pula berhenti dulu tetapi hendaklah menyuap terus sedikit demi sedikit, sehingga tetamu-tetamu itu merasa puas dengan makanan yang dihidangkan. Andaikata kerana sesuatu sebab, ia tidak dapat meneruskan makan-makanan itu, maka hendaklah ia meminta izin berhenti terlebih dulu, supaya mereka tidak merasa malu dengan kelakuan mereka itu.

7.       Jangan melakukan sesuatu yang boleh menjijikkan orang lain, ataupun mencelupkan tangan ke dalam bekas makanan itu. Jangan terlampau menundukkan kepala ke bekas makanan, tatkala mahu menyuap makanan itu. Jika mahu mengeluarkan sesuatu dari mulut, hendaklah memalingkan muka dari bekas makanan itu, kemudian diambil dengan tangan kiri. Jangan dicelupkan suapan yang berlemak ke dalam cuka (atau sebagainya) kerana cara begitu mungkin tidak diingini oleh orang lain. Demikian pula dengan lebihan makanan yang telah digigit, jangan dicelupkan ke dalam lauk-pauk atau cuka. Jangan pula menyebut-nyebut hal-hal yang boleh menjijikan atau memuakkan ketika sedang makan.

1.       Hendaklah berhenti makan, sebelum merasa terlalu kenyang.

2.       Membasuh tangan, kemudian membersihkan celah-celah gigi dari makanan yang terselit.

3.       Hendaklah ia bersyukur kepada Allah dengan sepenuh hati terhadap makanan yang telah direzekikan, dan menganggap makanan itu sebagai nikmat dari Allah. Allah telah berfirman:

Makanlah yang baik-baik dari rezeki yang telah Kami kurniakan dan bersyukurlah kepada Allah atas kurniaanNya.”  (al-Baqarah: 172)

Sekiranya memakan makanan yang dijamu oleh orang lain, maka hendaklah ia mendoakannya:

“Ya Allah! Ya Tuhanku Perbanyakkanlah kebaikannya dan berkatilah ia dalam rezeki yang Engkau kurniakan kepadanya dan jadikanlah kami sekalian tergolong orang-orang yang mensyukuriMu.”

Sekiranya berbuka puasa di tempat orang, hendaklah ia mendoakan pula:

Telah berbuka di tempat kamu orang-orang yang berpuasa dan telah makan makanan yang kamu hidangkan tadi orang-orang yang baik, dan moga-moga para Malaikat akan mendoakan bagi kamu dengan cucuran rahmat Allah”.

“Sekiranya diketahuilah bahwa ia termakan barang-barang yang ada syubhat, maka hendaklah ia memperbanyakkan memohon keampunan dan menunjukkan kesedihan atas ketelanjurannya itu.

Sesudah makan, disunnnatkan pula membaca:

Segala kepujian bagi Allah yang telah memberi kamu makan dan minum dan telah mencukupi kami serta melindungi kami”

1.       Hendaklah memulakan dengan membaca Bismillah pada mula menyuap makanan, dan bila selesai makan, dia mengucapkan dengan Alhamdulillah pula. Ucapan ini lebih baik jika dibaca dengan suara tinggi untuk mengingatkan orang-orang yang makan bersama-samanya.

2.       Hendaklah ia menggunakan tangan kanan.

3.       Hendaklah sedaya upaya, ia memperkecilkan suapannya.

4.       Hendaklah ia mengunyah makanan yang dimakan itu baik-baik dan selagi makanan itu belum di telan, janganlah pula ia mengambil yang lain. Kerana yang demikian itu dikira gelojoh.

5.       Jangan sekali-kali mencela makanan yang terhidang. Rasulullah s.a.w. tidak pernah mencela sebarang makanan yang dihidangkan kepadanya, tetapi jika suka dimakannya; kalau tidak ditinggalkannya saja.

6.       Hendaklah ia memakan makanan yang ada berhampiran dengannya saja, kecuali jika makanan itu merupakan buah-buahan maka bolehlah ia menghulurkan tangannya.

7.       Jangan letak piring atau sebagainya di atas roti atau lain-lain makanan, melainkan jika barang-barang itu memang mahu digunakan untuk memakan.

8.       Jangan mengesat tangannya dengan roti atau dengan makanan yang lain. Jangan meniup makanan yang masih panas, tetapi hendaklah ia bersabar, sehingga makanan itu sejuk dan mudah untuk dimakan.

9.       Kalau memakan kurma, jangan diletakkan bijinya dengan kurma itu dalam satu bekas, ataupun dikumpulkan bijinya dalam genggaman tangan, tetapi biji yang dikeluarkan dari mulutnya itu diletakkan di belakang tapak tangannya lalu dibuang. Demikian pula caranya dibuat pada buah-buahan yang lain yang berbiji atau berkulit.

10.     Janganlah dibiarkan makanan yang sudah basi bercampur dengan makanan yang baik, atau diletakkan bersam dalam satu piring, tetapi hendaklah mengasingkannya pada bekas yang lain, supaya tidak mengelirukan orang lain yang ingin memakannya.

11.     Jangan terlalu banyak minum ketika makan, kecuali kalau tercekik oleh makanan itu, ataupun jika ia memang betul-betul dahaga.

Adapun ada orang yang minum, di antaranya lain ialah:

1.       Hendaklah ia mengambbil tempat air atau gelas dengan tangan kanan, kemudia membaca Bismillah  bila mahu meminum.

2.       Bila minum, jangan meneguk sekaligus tetapi meneguknya seteguk demi seteguk

3.       Bila minum berdiri ataupun berbaring

4.       Sebelum minum, sebaiknya diperhatikan dulu gelas atau bekas air.

5.       Jangan bersendawa atau bernafas di dalam gelas tetapi jauhkan sedikit gelas itu dari mulut. Apabila habis saja meminum, bacalah Alhamdulillah. Tetapi jika mahu minum lagi, bacalah pula Bismillah lagi.

6.       Bila menyampaikan gelas atau bekas air kepada orang ramai, hendaklah dimulakan dari kanan. Pernah Rasulullah s.a.w. minum susu sedangkan Abu Bakar r.a. berada di sebelah kirinya dan seorang dusun di sebelah kanannya. Sesudah minum baginda menghulurkan bekas air itu kepada orang dusun itu terlebih dulu seraya berkata: Yang kanan dulu, kemudian yang kanan darinya pula.

7.       Sebaik-baik minum dengan tiga nafas dimulakan dengan membaca Bismillah dan mengakhirinya dengan membaca Alhamdulillah.

1.       Makanan itu mestilah dari yang halal dan cara memperolehinya juga harus secara halal, menurut petunjuk syariat dan wara’, tidak boleh diusahakan  dengan cara yang dilarang di dalam syariat, ataupun dengan cara menurutkan hawa nafsu ataupun dengan cara penipuan. Dan Allah Ta’ala telah pun memerintahkan kita suapa memakan makanan yang baik, yakni secara halal, sebagaimana Dia telah mengutamakan larangan makanan secara batil (haram) daripada larangan membunuh jiwa tanpa hak, iaitu untuk mengeraskan lagi larangan memakan yang haram dan membesarkan keberkatan memakan yang halal. Allah Ta’ala telah berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu memakan harta-harta sesama kamu dengan jalan kebatilan, melainkan dengan perniagaan secara sukarela satu sama lain dan janganlah kemu membunuh dirimu” (an-Nisa’: 29)

Maksud yang pertama dari makanan mestilah ia dari yang baik atau yang halal dan ini  adalah dikira sebagai kewajiban dan perkara pokok dalam agama.

2.       Membasuh tangan sebab tangan ini tidak sunyi dari kotoran kerana seringkali ia digunakan untuk membuat pekerjaan yang berbagai-bagai. Oleh itu membasuh tangan adalah lebih dekat kepada kebersihan dan kesucian.

3.       Bila memakan sesuatu makanan, sayugialah diniatkan memakan kerana bertaqwa kepada Allah dan kerana menguatkan badan untuk menjalani ketaatan kepada Allah Ta’ala supaya dengan yang demikian, dia boleh menjadi seorang yang taat pada mengerjakan ibadat. Untuk menjamin niatnya atas dasar ini, hendaklah jangan sampai tangannya mencapai makanan, melainkan setelah benar-benar lapar. Jadi kelaparan yang merupakan satu-satu sebab yang menjadikannya memakan makanan itu. Kemudian hendaklah ia mengangkat tangannya dari makanan itu sebelum benar-benar kenyang. Barangsiapa yang menurut petunjuk ini, niscaya ia tidak perlu lagi kepada pertolongan doktor.

4.       Hendaklah ia sentiasa redha dengan makanan yang terhidang di hadapannya, yakni rezeki yang telah dikurniakan oleh Allah kepadanya.

5.       Sebaik-baiknya, makanan yang terhidang itu dijamah (dimakan) oleh tangan yang banyak, walaupun dari ahli rumahtangga dan anak-pinak, sebab sebaik-baik makanan ialah yang disentuh oleh tangan yang banyak. Rasulullah s.a.w sendiri tidak pernah memakan sendirian.

Ada tiga keterangan yang harus diperhatikan oleh seseorang yang sedang menghadapi makanan, iaitu;

  • Pertama: Adab orang yang mahu memulakan makan.
  • Kedua : Adab di waktu makan.
  • Ketiga: Hal-hal yang dituntut sesudah makan.

Sesungguhnya Allah Ta’ala telah memperelokkan pentadbiran semesta alam. Maka Allah telah mencipta langit dan bumi dan menurunkan air tawar dari gumpalan awan. Dengan itu maka tumbuhlah segala biji-bijian dan tanam-tanaman, lalu ditentukan daripada rezeki-rezeki dan makanan yang mana dengannya pula dipeliharaNyalah segala kekuatan makhluk yang hidup, dan dibantuNya mereka untuk mengerjakan ketaatan dan amalan-amalan kebajikan dengan memakan barang-barang yang baik dan halal. Kepada Allah ditujukan kesyukuran pada sepanjang waktu dan masa.

Oleh kerana tujuan utama bagi orang yang mempunyai pemikiran yang waras ialah menemui Allah kelak pada hari penerimaan balasan, padahal tiada jalan untuk sampai bertemu dengan Allah melainkan dengan ilmu pengetahuan serta amalan. Hal itu pula tidak mungkin berkekalan, melainkan dengan keselamatan tubuh badan, dan tubuh badan tidak mungkin terpelihara dan selamat, melainkan dengan makanan yang dimakan sekadar yang diperlukan dari masa ke semasa. Maka dari wajah ini, sebahagian para salaf telah berkata : Sesungguhnya memakan makanan itu termasuk urusan keagamaan. Dalam hal ini juga Firman Allah Ta’ala telah mengingatkan;

“ Makanlah dari makanan yang baik, dan kerjakanlah amalan-amalan yang soleh.” (al-Mu’minun: 51)

Berikut kita tunjukan suatu bimbingan kepada tugas-tugas agama dalam urusan makan yang mengenai kewajipannya, sunnat-sunatnya dan adab-adabnya.

Kitab Adab Makan

Bab-bab dalam kitab ini adalah:

Kitab Kitab Zikir Dan Doa Bab: Pembahagian Waktu Malam

Menghidupkan malam, yakni memenuhkan waktu-waktunya dengan amalan-amalan ibadat ada tujuh peringkatnya:

(1) Menghidupkan sepanjang waktu malam. Yang dapat memenuhinya ialah orang-orang yang kuat keazamannya yang benar-benar telah menetapkan dirinya untuk beribadat kepada Allah azzawajalla. Kerjanya itu menjadi semacam makanan bagi jiwa dan kehidupan bagi hati. Sebab itu mereka tidak merasa letih atau lelah untuk beribadat di sepanjang malam, manakala tidurnya ditukarkan pada waktu siang pula. Dikatakan ada sebanyak 40 tabi’in terkenal dengan amalannya dalam cara ini.

(2) Bangun untuk beribadat separuh dari malam.

(3) Bangun untuk beribadat dalam sepertiga masa dari separuh malam yang terakhir.

(4) Bangun untuk beribadat dalam seperenam malam yang terakhir atau seperlimanya.

(5) Tidak menurut cara-cara yang telah lalu, dia tidur kemudian bangun malam pada masa-masa yang tidak tetap waktunya.

(6) Bangun malam setakat cukup untuk melakukan sembahyang empat rakaat ataupun dua rakaat saja.

(7) Kiranya memang sukar baginya untuk bangun malam, maka hendaklah jangan sampai terlalai terus, sehingga masuk waktu subuh, ia masih di atas tempat tidur juga. Tetapi sekurang-kurangnya, hendaklah ia bangun ketika masuk waktu subuh atau waktu orang bersahur.

Adapun bangun di waktu malam yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. maka caranya tidaklah tetap dalam tertib yang sama, tetapi ada kalanya baginda separuh malam dan adakalanya sepertiga malam dan ada kala dua pertiga malam dan ada juga seperenam malam saja, dan hal itu berbeda antara satu sama yang lain. Perkata ini dipandukan kepada ayat al-Quran dalam dua tempat, iaitu:

“Sesungguhnya Tuhanmu Mengetahui bahawa engkau bangun (mengerjakan sembahyang) kurang dari dua pertiga malam, ada pula separuhnya dan sepertiganya.” (al-Muzammil: 20)

Perkataan kurang dari dua pertiga malam dalam ayat di atas itu, seolah-olah maksudnya ialah: Separuhnya dan separuh dari seperenamnya. Jika kalimat wanisghfahuu watsulutsihii, maka maksudnya ialah: Separuh dari dua pertiga dan sepertiga dari dua pertiga, jadi hampir mendekati sepertiga dan seperempat. Jika kalimat di atas itu diberikan baris fathah (atas) maka maksudnya ialah: Separuh malam dan sepertiganya.

Berkata Siti Aisyah r.a.:

Rasulullah s.a.w. bangun dari tidur apabila baginda mendengar kokokan ayam, dan ini maknanya seperenam malam atau kurang sedikit daripadanya.

Kitab Kitab Zikir Dan Doa Bab: Kenikmatan bermunajat dengan hukum akal dan naqal

Tiada syak laagi orang yang bermunajat itu merasakan sepenuh kelazatan dan kenikmatan dalam munajat-munajatnya, kerana yang demikian itu dapat dibuktikan dengan hukum-hukum akal dan naqal.

Adapun dengan hukum akal dapat diumpamakan seorang yang mencintai seorang lain kerana kecantikannya, ataupun terhadap seorang raja kerana kemurahan hatinya dan kerana banyak harta yang dibelanjakannya. Dalam kedua-dua misal tadi, dapat dibayangkan betapa orang yang tercinta itu merasa nikmat bila dapat bertemu dan berkhalwat dengan orang yang dikasihinya dan tidak mustahil juga, dia akan merasa redha untuk bercumbu-cumbuan dengannya sepanjang malam, tanpa tidur oleh kerana terlalu mendalam cintanya terhadap orang itu.

Andaikata ada orang berkata: Memang benar itu, tetapi jika orang yang cantik atau kekasihnya itu dapat dilihat dengan mata secara berhadapan-hadapan, bagaimana pula dengan Zat Allah yang tidak boleh dilihat itu?

Ketahuilah, bahwasanya jika kekasihnya itu memang benar-benar dicintai, tidak mengapa walaupun ia berada di balik tabir. Ataupun jika ia berada di tempay yang gelap-gelita. Namun orang yang mencintainya itu tetap merasakan kenikmatan dengan semata-ata berada dekat dengannya, meskipun tanpa dapat melihat kekasihnya itu. Manakala hatinya akan merasa puasa  dengan yang demikian itu dan tiada mengharapkan selain dari itu. Memadalah merasa kenikmatan dengan melahirkan cintanya itu terhadap kekasihnya dan cukuplah menyebut-nyebutkan dengan lidah ketika berdekatan dengannya sehingga perkara itu menjadi termaklum.

Andaikata orang itu berkata lagi: Mungkin orang yang bercinta itu menunggu jawaban kekasihnya, dan tentu seklai dia akan merasa senang bila mendengar jawabannya itu, sedangkan orang yang mencintai Allah, tidak mungkin mendengar percakapan (firman) Allah Ta’ala?

Ketahuilah, kiranya ia mengetahui bahwa kekasihnya itu (Allah) tidak akan memberi jawaban dan akan terus berdiam diri, tentulah ia masih merasa nikmat juga dengan mendedahkan segala hal-ehwalnya serta membukakan segala rahsia hatinya kepada Allah yang dikasihiNya itu. Betapa tidak! Kerana orang yang hatinya penuh kayakinan terhadap Allah Ta’ala akan merasa sesuatu perasaan tindak balas di dalam sanubarinya di waktu bermunajat kepada Allah, maka tentulah ia akan merasa nikmat itu.

Contohnya yang semisal ialah orang yang berkhalwat dengn raja di waktu malam seraya mendedahkan segala hajat dan keperluannya kepada raja itu, tentulah ia akan merasa gembira kerana dapat berdua-duaan bersamanya, dengan berharap pula akan mendapat pengurniaan daripada raja itu.

Ini adalah satu harapan kepada seorang raja akan memberinya pengurniaan secara terbatas saja. Apatah lagi jika harapan itu ditujukan kepada Allah Ta’ala tentulah tiada terbatas sama sekali, kerana apa yang diberikan oleh Allah itu lebih kekal dan lebih banyak manfaatnya daripada yang diberikan oleh manusia. Jadi bagaimana boleh dikatakan seseorang itu tidak akan merasa nikmat dengan mendedahkan segala keperluannya kepada Allah di dalam khalwat dan munajatnya?

Adapun menurut hukum naqal, maka halnya dapat disaksikan oleh orang-orang yang bangun di tengah malam itu sendiri, betapa mereka merasa nikmatnya beribadat di waktu itu. Betapa pula mereka merasakan malam yang panjang itu menjadi pendek, laksana seorang yang bercinta bertemu dengan kekasihnya di tengah malam, sehingga setengah mereja berkata kepada kekasihnya setangahnya: Bagaimana anda dengan malam anda? Dijawabnya: Tak pernah dapat aku meraikannya sama sekali. Ia menunjukkan mukanya sekejap lalu pergi semula, sehingga tak sempat aku hendak memerhatikannya sama sekali.

Berkata Ali bin Bakkar: Selama 40 tahun tak pernah ada sesuatu yang menyedihkan aku selain daripada terbitnya fajar.

Berkata al-Fudhail bin Iyadh: Setiap kali matahari terbenam aku merasa gembira dengan tibanya kegelapan malam, kerana ketika itu ake dapat berkhalwat dengan Tuhanku. Kemudian apabila matahari itu terbit semula, berdukacitalah aku kerana aku terpaksa berhadapan dengan orang ramai.

Berkata Abu Sulaiman: Orang-orang yang beribadat di tengah malam lebih menikmati dengan waktu malamnya daripada orang yang bersukaria dengan alat- alat yang memerdukan jiwa. Dan kalaulah tidak kerana adanya malam, niscaya aku tiada ingin hidup di dunia ini.

Yang lain pula berkata: Tiada sesuatu barang di dunia ini yang dapat menyerupai kenikmatan ahli syurga, kecuali apa yang dirasakan oleh orang yang menggantungkan hatinya dengan waktu malam, disebabkan kelazatan bermunajat kepada Allah.

Yang lain lagi berkata: Kelazatan bermunajat itu bukanlah berasal dari duni, tetapi ia berasal dari syurga yang dirasakan Allah kepada para walinya, dan tiada seorang pun selain mereka yang dapat merasakan keindahan bermunajat itu.

Berkata Ibnul Munkadir pula: Tiada lagi yang tinggal dari kelazatan dunia melainkan tiga saja:

  1. Bangun kerana beribadat di tengah malam,
  2. Bertemu dengan sahabat, dan
  3. Bersembahyang dengan berjemaah.

Ada yang bertanya pula, dan aku menggunakan kesempatan dengan fajarnya bila ia terbit dan kini aku masih belum penuh gembira dengannya sama sekali.*

_________________________

*           Untuk menguatkan perbahasan yang dibicarakan oleh pengarang dalam pelajaran-pelajarannya untuk umum kamu suka menyebutkan apa yang dikutip oleh pengarang dalam karangannya yang lain dari Ibnul Qaiyim ad-Dimasyqi dalam kitab “Ighatsatul-Lahfaan” bunyinya: Berkata Ibnul Qaiyim: Hakikat manusia itu adalah hatinya dan rohnya dan tiada sempurna bagi manusia itu melainkan sengan mentauhidkan Tuhannya, beribadat kepadaNya, takut kepada sisksaNya serta berharap penuh kepada rahmatNya. Itulah kemuncak kelazatan manusia. Kebahagiaannya dan kenikmatannya, kerana tiada sesuatu benda pun di dalam alam ini selain Allah azzawajalla, yang mana hati akan merasa tenang dan tenteram kepadaNya manakala diri akan merasa senang dan nikmat bila menuju kepadaNya. Hakikat iman dengan Allah itu sendiri serta kecintaan, peribadatan, kebesaran dan berzikir kepada Allah itu adalah makanan jiwa bagi manusia. Disitulah terletaknya kekuatan, kebaikan dan ketulusan hati, sebagaimana yang telah ditunjuk oleh Hadis dan al-Quran serta disaksikan oleh fitrah manusia sendiri. Bukan seperti yang didakwakan oleh orang yang kurang penelitannya, bahwasanya beribadat dan berzikir itu adalah suatu perintah yang berat untuk tujuan menduga manusia, ataupun untuk tujuan memberi pahala, ataupun kerana mendidik jiwa dan membiasakannya, agar ia dapat meningkat daripada darjat kebinatangan. Oleh itu dikatakan, bahwa beribadat kepada Allah, mengenal dan mentauhidkan ZatNya serta mensyukuriNya diumpamakan sebagai cahaya mata manusia dan sebaik-baik nikmat yang boleh dirasakan oleh roh dan seluruh anggota. Bukanlah maksud dari ibadat dan perintah itu untuk menyusahkan dan memberatkan, sebagaimana yang diambil dari maksud pertama tadi, walaupun sebenarnya dalam menjalankan terdapat semacam keberatan, tetapi itu sudah menjadi semacam kelaziman. Oleh kerana itu maka segala perintah Allah s.w.t. dan kewajiban-kewaiban yang dibebankan ke atas hamba-hambaNya, dan juga syariat-syariatNya yang ditentukan ke atas mereka itu adalah sebagai cahaya mata dan kelazatan hati serta kenikmatan roh dan kegembiraannya. Padanya terselit kebahagian dan kemenangan serta kesempurnaan manusia dalam urusan dunia dan akhiratnya. Malah tiada kebahagiaan dan tiada kenikmatan yang hakiki, melainkan dengan semua itu sebagaimana Allah telah berfirman:

“Wahai sekalian manusia, sesunguhnya telah datang kepada kamu nasihat daripada Tuhan kamu serta penawar bagi hati yang di dalam dada, juga petunjuk dan rahmat bagi orang-orang Mu’minin. Katakanlah: Dengan kurnia Allah dan rahmatNya hendaklah dengan itu mereka bergembira. Hal itu adalah lebih baik dari (harta) yang mereka kumpulkan.” (Yunus: 57-58)

Berkata Abu Said al-Khudri: Yang dimaksudkan dengan kurnia Allah itu ialah al-Quran dan rahmatNya, bahwa Dia (Allah) telah menjdikan kamu dari ahli al-Quran. Demikianlah kebanyakan pendapat para ulama yang lain, kesemuanya telah menafikan bahwa perintah-perintah Allah, kewajiban-kewajiban serta syariat-syariatNya sebagai bebanan ke atas manusia, sebab Allah Ta’ala telah berfirman:

“Allah tiada membebankan ke atas diri manusia, melainkan sekadat keampunannya. (al-Baqarah: 286)

Firman Allah ini telah membuktikan penafian bebanan ke atas manusia dan Allah tiada menamakan perintah-perintah wasiat-wasiat dan syariat-syariatNya, sebagai bebanan, malah dinamakannya sebagai rohani, nurani, penawar dan ubat, petunjuk, rahmat, kehidupan, perjanjian wasiat dan sebagainya dalam firman-firmanNya.

Next Page »