Kitab Kitab Zikir Dan Doa Bab: Keutamaan bangun di tengah malam

Bangun di tengah malam untuk beribadat memanglah menjadi perkara yang paling utama sekali. Di antara dalil-dalil yang menunjukkan keutamaan ini ialah ayat-ayat al-Quran berikut:

“Mereka meninggalkan tempat tidur kerana berdoa kepada Tuhan dengan perasaan penuh ketakutan dan penuh harapan, dan mereka membelanjakan dari rezeki yang Kami (Allah) kurniakan kepada mereka.” (as-Sajdah: 16)

Allah berfirman:

“Adakah orang yang merendahkan diri (kerana beribadat) selama beberapa masa di waktu malam.” (az-Zumar: 9)

Allah berfirman lagi:

“Dan mereka yang berbakti di waktu malam dalam keadaan bersujud dan berdiri.” (al-Furqan: 64)

Berfirman Allah:

“Mereka itu sedikit sekali tidur di waktu malam. Dan mereka memohonkan keampunan di sepanjang malamnya. Dalam harta benda mereka, ada ditentukan hak yang tertentu bagi orang yang meminta dan orang susah.” (adz-Dzariat: 17-19)

Adapun Hadis-Hadis yang ada hubungannya dengan perkara yang dibicarakan ini ialah:

Dua rakaat yang dilakukan oleh seseorang hamba di tengah malam, adalah lebih utama daripada dunia dan seisinya.”

“Sesungguhnya ada suatu masa di waktu malam, yang jika ditemui oleh seorang hamba Muslim, lalu dia meminta sesuatu yang baik kepada Allah Ta’ala, niscaya Allah akan mengurniakan kebaikan itu kepadanya.”

Akhir sekali Rasulullah s.a.w pernah bersabda:

“Beribadatlah kamu di waktu malam, kerana ia adalah perilaku para salihin sebelum kamu.”

Advertisements