Sesungguhnya Allah Ta’ala telah memperelokkan pentadbiran semesta alam. Maka Allah telah mencipta langit dan bumi dan menurunkan air tawar dari gumpalan awan. Dengan itu maka tumbuhlah segala biji-bijian dan tanam-tanaman, lalu ditentukan daripada rezeki-rezeki dan makanan yang mana dengannya pula dipeliharaNyalah segala kekuatan makhluk yang hidup, dan dibantuNya mereka untuk mengerjakan ketaatan dan amalan-amalan kebajikan dengan memakan barang-barang yang baik dan halal. Kepada Allah ditujukan kesyukuran pada sepanjang waktu dan masa.

Oleh kerana tujuan utama bagi orang yang mempunyai pemikiran yang waras ialah menemui Allah kelak pada hari penerimaan balasan, padahal tiada jalan untuk sampai bertemu dengan Allah melainkan dengan ilmu pengetahuan serta amalan. Hal itu pula tidak mungkin berkekalan, melainkan dengan keselamatan tubuh badan, dan tubuh badan tidak mungkin terpelihara dan selamat, melainkan dengan makanan yang dimakan sekadar yang diperlukan dari masa ke semasa. Maka dari wajah ini, sebahagian para salaf telah berkata : Sesungguhnya memakan makanan itu termasuk urusan keagamaan. Dalam hal ini juga Firman Allah Ta’ala telah mengingatkan;

“ Makanlah dari makanan yang baik, dan kerjakanlah amalan-amalan yang soleh.” (al-Mu’minun: 51)

Berikut kita tunjukan suatu bimbingan kepada tugas-tugas agama dalam urusan makan yang mengenai kewajipannya, sunnat-sunatnya dan adab-adabnya.

Advertisements