Masalah pertama: Menghidangkan makanan di atas meja dapat memudahkan cara memakan, maka tiadalah dihukumkan makruh tetapi mubah atau harus, jika tiada menunjukkan perasaan sombong atau membesarkan diri. Kalau ada orang yang mengatakan hukumnya bid’ah, maka jawabannya bukan semua perkara bid’ah itu di larang oleh agama. Adapun bid’ah yang dilarang itu, ialah jika ia bertentangan dengan sunnat yang sudah jelas atau suatu perkara yang menyalahi dasar syariat yang sudah terang dalilnya. Dalam masalah ini hanya diangkatkan hidangan itu dari atas lantai dan diletakkan keatas meja untuk memudahkan cara memakannya saja, ataupun sebagainya dari perkara-perkara yang tidak dihukumkan makruh.

Masalah Kedua : Makan dan minum dengan bersandar hukumnya makruh dan membahayakan bagi alat pencernaan dalam perut. Begitu pula makan dalam keadaan berbaring atau meniarap.

Masalah Ketiga : Sunat memulakan makan sebelum sembahyang. Dalam sebuah Hadis: Jika telah tersedia makan malam sebelum sembahyang is’ya, maka hendaklah kamu mulakan makan terlebih dahulu. Ibnu Umar r.a kadang-kadang mendengar imam sudah memulakan bacaan dalam sembahyang, namun ia tiada segera menghentikan makan malamnya. Tetapi jika nafsu hendak makan belum ada, dan jika dilambatkan masa makan malamnya tidak pula mendatangkan mudarat bagi diri, maka yang baik sekali didahulukan sembahyang.

Advertisements