… bersambung dari: Keterangan tentang undangan dan jamuan

Berkata setengah para salaf: Saya suka sekali, agar semua perbuatanku itu diiringi dengan niat yang baik, sehinggakan pada makan dan minum sekalipun.

Ketahuilah perkara-perkara yang mubah (harus) boleh dikirakan ke dalam perkara-perkara kebajikan yang diberi pahala dengan niat yang baik.

Adab orang yang hadir undangan

Bagi orang yang hadir dalam setiap undangan hendaklah memperhatikan pula adab-adab berikut:

1.  Bila masuk ke dalam rumah, jangan memilih tempat-tempat yang ditetapkan bagi orang-orang berpangkat; iaitu di tempat-tempat yang terdepan, malah hendaklah ia merendah diri duduk di tempat-tempat biasa saja.

2.  Jangan tinggal terlalu lama di tempat undangan dan jangan pula terlalu segera hendak pulang, sehingga tuan rumah menjadi tergesa -gesa menyediakan makanan untuknya, kalau makanan itu belum tersedia. Ini dengan syarat kalau tempat tidak begitu penuh sesak dengan tetamu.

3.  Bila tuan rumah menunjukkan sesuatu tempat untuk ia duduk, jangan pula menolak, barangkali tuan rumah itu telah menentukan tempat bagi tiap-tiap seorang dari tetamu-tetamunya. Jadi kiranya ia menolak juga, akan berubahlah peraturan-peraturan yang sudah ditentukan oleh tuan rumah tadi.

4.  Jangan duduk di tempat yang berhadapan dengan pintu bilik yang dikhaskan untuk kaum wanita, ataupun di tempat yang bertabir.

5.  Jangan terlalu mengamati tempat dari mana hidangan makanan dikeluarkan kerana yang demikian itu menandakan dirinya sebagai seorang perakus.

6.  Hendaklah mengutamakan memberi salam dan bertanya khabar pada orang-orang yang duduk berhampiran dengannya.

7.  Apabila seseorang tamu datang untuk bermalam, maka hendaklah tuan rumah menunjukkan arah kiblat, bilik air atau tandas dan tempat mengambil air sembahyang.

8.  Tuan rumah hendaklah membasuh tangan terlebih dulu sebelum tetamu-tetamunya dan sebelum makan, kerana dia telah mengundang mereka untuk menerima penghormatannya. Hendaknya janganlah ia makan, melainkan setelah selesai semua tetamu-tetamu makan.

9.  Tetamu pula, bila melihat sesuatu perkara mungkar di rumah itu, hendaklah ia mengubahnya jika berdaya. Kalau tidak cukuplah ia memberi nasihat saja, kemudian meninggalkan tempat itu.

Advertisements