Untuk orang yang menyediakan makanan undangan pula, ada lima adabnya:

1.  Menyegerakan hidangan makanan, kerana yang demikian itu dari perkara yang memuliakan tetamu. Apabila telah hadir kebanyakan dari tetamu-tetamu sedang ada juga yang masih belum sampai atau tak datang, seorang dua saja, padahal masa yang ditentukan telah lepas, maka orang-orang yang telah hadir itu lebih berhak untuk disegerakan daripada menunggu orang-orang yang lewat itu. Dalam maksud ini, Allah telah berfirman di dalam al-Quran:

“Sesudah sampaikah kepadamu cerita tetamu Ibrahim yang dimuliakan.” (adz-Dzariat: 24)

Maksudnya mereka itu telah dimuliakan dengan mempercepatkan hidangan kepada mereka. Hal ini telah ditunjukkan pula oleh firmanNya yang lain, iaitu:

“Tidak berapa lama, maka dihidangkan kepada mereka itu dengan daging anak lembu yang dibakar.” (Hud: 69)

Juga dibuktikan dengan firmanNya yang lain lagi:

“Kemudian cepat-cepatlah dia pergi kepada keluarganya, lalu membawa daging anak lembu yang gemuk.” (adz-Dzariat: 26)

Berkata Hatim al-Asham: Tergesa-gesa mengerjakan sesuatu itu dari perbuatan syaitan, melainkan pada lima perkara: Maka ia dari perjalanan Rasulullah s.a.w iaitu: (1) Menyegerakan hidangan kepada tetamu. (2) Menyelenggarakan mayat. (3) Mengahwinkan perawan dan teruna. (4) Membayar hutang dan (5) Bertaubat dari dosa.

2.   Menjaga pentertiban hidangan, bermula dengan buah-buahan terlebih dahulu kalau sudah tersedia, sebab buah-buahan itu lebih cocok jika didahulukan menurut ilmu kedoktoran, kerana ia lekas hancur, dan sesuai sekali diletaknya dibahagian bawah dari perut. Di dalam al-Quran ada peringatan untuk didahulukan buah-buahan; iaitu firman Allah Ta’ala :

Dan buah-buahan menurut yang mereka pilih.”             (al-Waqi’ah: 20)

Kemudian baru Allah mengikutinya dengan firmanNya;

“ Dan daging burung menurut yang mereka inginkan”

Sesudah buah-buahan, dihidangkan pula daging dengan roti. Kalau ditambah pula selepas itu dengan manisan-manisan, maka telah sempurnalah hidangan itu berupa hidangan yang baik. Tetapi yang menentukan hasilnya penghormatan dengan terhidangnya daging, ialah firman Allah Ta’ala pada menceritakan mengenai tetamu Nabi Ibrahim, ketika disediakan untuk tetamu daging anak lembu yang dibakar, sehingga sempurna masaknya, bukan setengah masak. Dalil al-quran ini menunjukkan salah satu makna penghormatan terhadap tetamu. Iaitu dengan menghidangkan makanan yang berupa daging.

Berkata Abu Sulaiman ad-Darani r.a.: Memakan makanan yang baik akan menyebabkankeredhaan Allah Ta’ala dan makanan baik itu akan lebih sempurna bila diminumkan air sejuk. Kemudian tangan pula dibasuh dengan air panas-panas dingin.

Berkata al’Ma’mun: Minum air dengan air batu (es) akan menimbulkan kesyukuran yang khalis (tulen).

Setengah orang berkata pula, makan manisan selepas makan lebih baik dari memakan berbagai-bagai makanan yang lain. Duduk menetap pada satu hidangan lebih baik dari menambah dua jenis hidangan yang lain, dan menghiasi hidangan dengan sayur-sayuran adalah amat diperlukan sekali.

3.  Di antara bermacam-macam makanan yang terhidang itu hendaklah ia memilih yang paling terenak sekali dulu, sehingga para tetamu yang hadir itu dapat memakan sengan sepuas-puasnya, dan tidak mahu makanan yang lain lagi sesudah itu. Tetapi ad setengah-setengh orang yang mewah suka menghidangkan makanan yang ringan-ringan (kurang penting) terlebih dulu, supaya selera orang yang makan akan kembali segar semula apabila dihidangkan pula makanan-makanan yang terenak sesudah itu. Cara begini adalah khilaful-aula (menyalahi cara yang terbaik), kerana yang demikian itu adalah semacam helah untuk makan banyak. Sebaik-baiknya ialah menghidangkan makanan-makanan itu semuanya sekaligus ataupun diberitahu terlebih dulu jenis-jenis makanan yang akan dihidangkan.

4.  Janganlah sampai di angkat makanan-makanan yang di hidangkang itu, selagi orang-orang masih belum selesai memakannya. Tetapi hendaklah ditunggu sehingga semua orang berhenti makan. Barangkali ada setengah-setengah orang lebih suka pada satu-satu jenis makanan dari yang lain, ataupun seleranya masih ada untuk memakan makanan-makanan itu, dan tentulah seleranya akan terencat bila tuan rumah mula berkemas-kemas hendak mengangkat hidangan-hidangn yang selebih itu.

5.  Hendaklah makanan yang dihidangkan itu sekadar mencukupi semua tetamu yang diundang, sebab kurang dari kadar yang mencukupi adalah menunjukkan kurang kesopanan dan kalu lebih pula dikira sebagai hendakl menunjuk-nunjuk atau riya’.

Ibnu Ma’ud r.a telah berkata: Kita telah dilarang untuk menerima undangan orang yang suka bermegah-megah dengan hidangannya. Setengah-setengah para sahabat pula tidak ingin memakan hidangan orang yang suka bermegah-megah dengan hidangannya.

Selanjutnya hendaklah tuan rumah lebih dulu mengenepikan bahagian ahli rumah dari makanan tersebut, supaya mereka tiada ternanti-nanti lebihan yang mungkin dikembalikan oleh tetamu-tetamu kepada mereka. Sebab makanan undangan seringkali kehabisan tidak ada yang tertinggal lagi, maka akan kecewalah ahli rumah kelak, dan mungkin pula terkeluar cacian dari lidah-lidah mereka terhadap tetamu.