Seterusnya bagi mengiring tetamu-tetamu kembali dari undangan, ada tiga pula adabnya, iaitu:

1.   Hendaklah ia mengiringi tetamunya hingga ke pintu rumah, dan yang demikian itu adalah sunnat dan ini juga terkira cara menghormati tetamu. Untuk menyempurnakan penghormatannya lagi ialah memaniskan wajah dan bertutur yang baik pada masa menjemput masuk dan mengiring keluar, dan juga ketika duduk bersama menghadapi meja makan.

2.  Tetamu pula, ketika tiba waktu pulang, hendaklah melahirkan sikap baik diri dan jangan menunjukkan sikap jengkel, walaupun berlaku sesuatu yang kurang disenangi kerana yang demikian itu adalah sifat budi pekerti yang baik dan merendah diri.

3.   Janganlah hendaknya dia meninggalkan tempat undangan itu, melainkan dengan redha tuan rumah dan keizinannya. Di samping itu hendaklah ia melayan hati tuan rumah dalam masa ia berada di situ. Sekiranya ia tinggal di situ sebagai tetamu, maka janganlah sampai lebih dari tiga hari, kerana dikhuatiri tuan rumah akan merasa bosan, dan akhirnya ia terpaksa mencari helah untuk menghalaunya. Tetapi jika tuan rumah menggesanya supaya tetap tinggal di rumahnya dengan hati yang penuh ikhlas, maka bolehlah ia tinggal lebih lama dari itu. Adalah sunnat bagi tuan rumah untuk menyediakan tempat tidur yang khas bagi tetamu yang tinggal serumah dengannya.

Advertisements