Diceritakan, ada setengah orang tidak suka menerima undangan dengan hujah bahwa menunggu makanan dalam undangan itu adalah suatu kehinaan. Yang lain pula berkata: Kiranya aku meletakkan tanganku ke dalam tempat makan orang lain, maka telah terhinalah tengkukku (yakni aku telah menghinakan diriku).

Pendapat-pendapat serupa ini telah ditolak oleh setengah para ulama yang mengatakan, bahawa pendapat itu adalah berlawanan dengan sunnat.

Berkata Imam Ghazali: Maksudnya bukan begitu, tetapi yang dikatakan kehinaan itu, sekiranya si pengundang tidak begitu gembira, jika undangannya diterima oleh yang diundang. Ataupun dianggapnya itu sebagai suatu budi atau sebagai kewajiban yang mesti terhadap orang yang diundang itu. Rasulullah s.a.w. suka juga menghadiri undangan kerana mengetahui bahawa pengundangnya ingin membuat sesuatu budi terhadap baginda, sementara baginda melihat yang demikian itu sebagai kemuliaan dan penghormatan di dunia dan akhirat.

Perkara di atas sebenarnya berbeda dengan berbedanya keredhaan. Jika orang yang diundang itu yakin bahwa pengundangnya akan merasa berat untuk menghidangkan makanan, ataupun dirasakan yang demikian itu sengaja untuk tujuan bermegah-megahan, ataupun sikapnya sebagai seorang yang terpaksa, maka ketika itu tidak sunnat lagi baginya untuk menerima undangan orang itu. Yang sebaiknya ia mengemukakan keuzuran atau sebab-sebab yang dapat diterima.

Oleh kerana itu kebanyakan para ahli sufi berpesan, katanya: Janganlah anda menerima undangan, melainkan jika anda yakin bahawa pengundang anda itu mengetahui yang anda memakan rezekimu yang ditentukan oleh Allah dari hidangannya dan bahawasanya rezeki itu diserahkan kepadanya sebagai titipan atau amanat yang sebenarnya adalah milik anda yang berada dalam genggamannya, seraya ia merasa berterima kasih kerana anda telah menerima semula titipan itu daripadanya. Jadi jika orang yang diundang itu, yakin, bahawa tiada budi dalam menerima undangan itu, maka tiada patut dia menolaknya tanpa keuzuran.