Perkara ketiga yang harus diperhatikan bila memilih jodoh (yang berkaitan dengan persoalan wanita) demi untuk mencapai kehidupan yang tenteram  supaya ikatan perkahwinan menjadi kekal serta tujuan-tujuan yang baik dari perkahwinan itu ialah memilih isteri yang manis atau cantik rupanya.

Manis atau cantik rupanya ini juga sering dituntut oleh orang kerana dengannya akan terpelihara diri dari mencari yang lain, sebab tabiat manusia biasanya tiada puas dengan isteri yang buruk rupa.

Apa yang kami sebutkan supaya memilih yang teguh agamanya bukanlah bererti melarang memilih yang cantik rupanya, bahkan yang dilarang ialah memilih yang cantik semata-mata tanpa mementingkan perkara agama. Sebab biasanya wanita yang cantik itu menarik orang kepada perkahwinan, sedangkan urusan keagamaannya sering diletakkan di belakang saja.

Jadi anjuran untuk memilih isteri yang cantik itu untuk menjaga rumahtangga menjadi rukun dan damai. Malah syariat sering mementingkan supaya memerhatikan sebab-sebab kerukunan rumahtangga antara suami dan isteri, kerana itulah disunatkan melihat bakal isteri sebelum berkahwin, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w.:

 

“Apabila Allah telah mentakdirkan cinta dalam diri seseorang dari kamu, hendaklah dia melihat kepadanya (wanita) kerana yang demikian itu lebih terjamin untuk mengeratkan perhubungan antara keduanya.”

 

Setengah para ahli wara’ tidak akan mengahwinkan anak-anak perempuan mereka melainkan setelah dilihat oleh calon-calon suaminya untuk memelihara diri dari tuduhan menipu.

 

Berkata al-A’masy: Semua perkahwinan dijalankan tanpa diberi peluang kepada calon suami untuk melihat terlebih dulu akan berkesudahan dengan kesusahan dan kekesalan.

 

Pernah diriwayatkan, seorang lelaki berkahwin dalam zaman Khalifah Umar Ibnul-Khattab r.a. Orang ini mengecat rambutnya yang beruban itu sehingga kelihatan sebagai seorang anak muda. Apabila ternyata perkara itu kemudiannya, keluarga si isteri pun mengadu kepada khalifah Umar, kata mereka: Kita menyangka ia seorang anak muda. Maka oleh Umar dipukulnya orang itu sehingga ia mengaduh. Khalifah berkata: Engkau telah menipu keluarga isterimu.

 

Penipuan serupa itu boleh berlaku pada perkara kecantikan dan budi pekerti. Maka sewajarnyalah dilenyapkan tipu daya dalam kecantikan itu dengan diberi tontonan terlebih dulu.

Dalam akhlak dan budi pekerti pula, dapat diketahui dengan ditanyakan kepada orang lain ataupun dengan menyaksikan sendiri orangnya. Dan janganlah seseorang itu berani menceritakan kelakuan orang lain, melainkan ia memang benar-benar seorang bijaksana dan mengetahui selok-belok orang yang diceritakan itu secara lahir dan batin, tidak cenderung kepadanya lalu dipuji secara berlebih-lebihan, dan tidak pula membenci sehingga ia mencacinya dan mengatakan yang bukan-bukan.

Sebenarnya memang sukar sekali ditemui seorang orang menikmati syarat-syarat ini, dan biasanya amat jarang pula seseorang itu dapat bercakap benar dalam perkara serupa ini, malah kebohongan dan pengeliruan sering melanda suasana ini. Maka sayugialah bagi orang yang ingin menjaga diri, haruslah berhati-hati dalam perkara seumpama ini.

Advertisements