Seorang wali harus memerhati dan meneliti kelakuan dan geraklaku calon suami, jangan sampai mengahwinkan puterinya kepada seorang lelaki yang cacat atau buruk budi pekertinya, ataupun lemah agamanya. Begitu juga seorang lelaki yang tidak mempunyai tanggungjawab, ataupun yang tidak sekufu dengan kedudukannya.

Apabila ia mengahwinkan puterinya dengan seorang zalim atau fasik atau yang lemah agamanya atau peminum arak, maka ia telah melanggar perintah agamanya dan ketika itu akan terdedahlah kepada kemurkaan Allah Ta’ala kerana ia telah mencuaikan persoalan silatur-rahim (perhubungan kekeluargaan) dan telah memilih jalan yang salah.

Seorang ayah telah datang meminta nasihat kepada al-Hasan, katanya: Telah banyak orang yang datang meminangi puteriku, tetapi aku tak tahu siapa yang harus ku kahwinkan dia. Berkata al-Hasan: Kahwinkanlah puterimu itu dengan orang yang banyak taqwanya kepada Allah. Andaikata suaminya membencinya, nescaya tiada dianiayainya.

Advertisements