Sebagai seorang suami, dia harus memelihara kesederhanaan dan kesopanan dalam pergaulan suami isteri.

Memelihara pergaulan yang baik dengan isteri-isteri serta menanggung segala keburukan yang mungkin berlaku daripada mereka sebagai menunjukkan tanda belas kasihan terhadap mereka itu.

Allah telah berfirman:

“Dan pergaulilah mereka dengan cara yang baik.” (an-Nisa’: 183)

Allah telah berfirman lagi pada menyatakan kebesaran hak mereka ke atas suami:

“Dan mereka sekalian (isteri-isteri) telah mengambil suatu perjanjian yang berat daripada kamu.” (an-Nisa’: 20)

FirmanNya lagi:

“Dan teman yang di samping.” (an-Nisa’: 36)

Setengah para mufassirin mengertikan ayat ini dengan isteri yang sering berada di samping suami sepanjang masa.

Maksud memperbaiki pergaulan dengan isteri-isteri itu bukanlah dengan semata-mata menahan diri dari menimpakan ke atas mereka sesuatu yang tiada diinginnya, malah menanggung segala yang tiada menyenangkan yang mungkin timbul dari mereka, serta bersifat sabar dan tabah untuk menghadapi segala sikap kurang pertimbangan dan kemarahan mereka.

Ini adalah untuk menurut jejak langkah Rasulullah s.a.w. kerana isteri-isteri Rasul sendiri kadang-kadang melakukan sesuatu yang tiada menyenangkan hati Rasulullah s.a.w. dan ada pula yang merajuk meninggalkan baginda sampai sehari suntuk hingga ke malam.

Advertisements