Sebagai seorang suami kalaupun ianya cemburu, hendaklah bersikap sederhana; iaitu jangan sampai ia melalaikan pokok-pokok persoalan yang akan menimbulkan berbagai-bagai bencana yang tidak diingini di dalam rumahtangga.

Tidak sewajarnyalah suami bersikap melampau dalam perkara melemparkan buruk-sangka terhadap isteri, atau menunjukkan kekerasan atau mengintip rahsia-rahsianya, sebab Rasulullah s.a.w. pernah melarang mengikuti aurat-aurat (rahsia-rahsia) kaum wanita. Pada riwayat yang lain baginda melarang menyerempak kaum wanita pada gerak-lakunya.

Sekali peristiwa, apabila Rasulullah s.a.w kembali pelayaran di waktu malam, baginda menyeru para sahabatnya sebelum masuk kawasan negeri Madinah; Janganlah kamu mengetuk rumah isteri-isteri kamu di waktu malam, maksudnya jangan mendapatkan mereka di waktu malam begitu; malah hendaklah mereka bersabar sehingga tiba waktu siang. Malangnya ada dua orang di antara mereka melanggar nasihat Rasulullah s.a.w. itu, mereka terus kembali pada malam itu juga, lalu mereka mendapati perkara-perkara yang tiada diingini telah berlaku di rumah masing-masing.

Dalam sebuah Hadis lain:

Sesungguhnya di antara berbagai-bagai cemburu, ialah cemburu yang dibenci oleh Allah azzawajalla; iaitu cemburu seorang lelaki terhadap isterinya tanpa sebab. Kerana sifat itu timbul dari perasaan buruk sangka dari dalam diri, yang mana kita dilarang keras bersifat demikian.

Adapun cemburu yang memang kena pada tempatnya, maka itu adalah memang semestinya ada dalam diri seseorang dan ia termasuk sifat yang terpuji; iaitu sifat cemburu yang bersebab.

Rasulullah s.a.w. telah mengizinkan kaum wanita pergi ke masjid terutama sekali untuk menunaikan dua sembahyang Hari Raya. Keluar ke masjid kaum wanita yang sopan adalah harus hukumnya, tetapi dengan syarat redha suaminya. Walau bagaimanapun meninggalkannya atau tidak menghadirinya lebih terselamat dari fitnah.

Sewajarnyalah kaum wanita tidak keluar dari rumahnya melainkan bila ada hal-hal yang penting. Jika keluar untuk bersiar-siar atau kerana perkara-perkara yang tidak perlu akan mencemarkan maruah atau nama baik mereka, dan tidak mustahil pula boleh menarik kepada keburukan. Tetapi kalau mesti keluar juga, maka hendaklah ia memalingkan pemandangannya dari kaum lelaki.

Kita tidak mengatakan bahawa wajah lelaki itu dikira aurat pada kaum wanita, sebagaimana wajah wanita dikira aurat pada kaum lelaki, bahkan lebih dari itu; iaitu sebagaimana wajah anak muda Amrad (anak muda yang yang segak, cantik dan putih pula kulitnya – pent) yang dikira haram dipandang oleh kaum lelaki dalam keadaan ditakuti berlaku fitnah. Andaikata tiada ditakuti fitnah, maka tiadalah haram hukumnya melihat wajah Amrad itu, sebab pada lazimnya kaum lelaki terbuka wajahnya di sepanjang masa.

Kaum wanita pula bila keluar rumah sememangnya dalam keadaan berselubung. Andaikata wajah kaum lelaki itu dikira aurat pada kaum wanita, nescaya mereka juga akan diperintahkan untuk menyelubungi seluruh anggotanya seperti wanita, ataupun kaum wanita itu akan dilarang untuk keluar rumah sama sekali, melainkan kerana urusan–urusan dharurat saja.

Advertisements