Sebagai seorang suami, dia harus memelihara kesederhanaan dan kesopanan dalam memberikan nafkah. Jangan terlalu lokek memberikan nafkah kepada isteri, dan jangan pula terlalu boros, maka hendaklah memilih jalan tengah; iaitu secara berekonomi.

Allah berfirman:

“Makan dan minumlah dan jangan berlaku boros.” (al-A’raf: 31)

Ibnu Sirin berkata: Sunnat bagi suami menghidangkan untuk isterinya manis-manisan seminggu sekali pada hari Jumaat. (yakni dibelinya dari pasar – pent)

Suami hendaklah menyuruh isterinya supaya mensedekahkan makanan-makanan yang lebih-lebih yang tidak diperlukan lagi, ataupun makanan-makanan yang kalau disimpan lama nescaya akan rosak. Ini pun dikira sebagai darjat yang paling rendah dari kebaikan.

Si isteri juga boleh melakukan serupa itu dengan hukum keadaaan, tanpa mendapat izin atau persetujuan dari suaminya terlebih dulu. Janganlah hendaknya si suami itu mementingkan dirinya saja dengan makanan yang sedap-sedap tanpa dibahagikan kepada isteri juga, kerana kelakuan yang demikian akan menimbulkan rasa tidak senang di dalam hati isteri, yang berkesudahan akan menghasilkan perhubungan yang tidak mesra di antara keduanya.

Seterusnya jangan pula menceritakan kepada keluarganya tentang makan-minum yang ia tidak akan mahu menyediakannnya untuk mereka. Jika ia makan hendaklah ia mengajak anak-isteri makan bersama-sama dalam suatu hidangan yang sama.

Di antara yang terpenting sekali dalam perkara memberi nafkah atau belanja ini ialah menjaga nafkah atau belanja itu supaya datang dari jurusan yang halal; dan jangan pula kerana tuntutan isteri, ia sampai mencampur-adukkan nafkah itu dengan kerja-kerja yang kotor atau tak baik. Sebab yang demikian itu adalah suatu jenayah terhadap si isteri dan tidak boleh dikatakan untuk memelihara hatinya.

Advertisements