Dalam keadaan isteri bernusyuz (menentang suami), hendaklah suami cuba mengajarnya dengan baik supaya ia kembali taat kepada suami.

Apabila berlaku perselisihan antara suami-isteri dan perkaranya tidak dapat diselesaikan sendiri, maka jika perselisihan itu berpunca dari kedua belah pihak, ataupun yang ternyata perselisihan itu berpunca dari pihak suami, sedengkan isteri tidak berupaya untuk menenangkan suaminya, ataupun suami tidak dapat berbuat sesuatu untuk membetulkan semula isterinya; dalam keadaan serupa ini mestilah di cari dua orang hakim sebagai orang tengah. Seorang dari pihak suami dan seorang yang lain dari pihak isteri untuk mengadili perkara keduanya dan cuba menyelesaikan perselisihan itu secara damai, sesuai dengan semangat firman Allah Ta’ala:

“Jika keduanya memang mahukan perdamaian, nescaya Allah akan memberikan taufiq antara mereka.” (an-Nisa’: 35)

Tetapi jika nusyuz itu berpunca dari pihak isteri semata-mata, maka Allah telah pun berfirman di dalam al-Quran al-Karim:

“Pihak lelaki itu lebih mampu meluruskan kaum wanita.” (an-Nisa’:34)

Suami tentu sekali mampu mendidik isteri dan membimbingnya ke jalan mentaati suami secara paksaan.

Dalam cara membimbingnya, haruslah diambil jalan secara berperingkat-peringkat; iaitu mula-mula dengan menasihati isterinya secara lemah-lembut dan mengingatkannya akan hak isteri terhadap suami dan mengancamnya bahawa perbuatannya itu akan dikutuki oleh Allah, jika ia engkar.

Kalau ini tidak memberikan kesan, maka hendaklah ia membelakanginya di tempat tidur sendirian meskipun ia masih tinggal bersama-sama dalam sebuah rumah. Hal serupa ini ditempohkan hingga tiga malam berturut-turut.

Jika tidak berjaya juga untuk meluruskannya, maka syara’ dalam peringkat ini membolehkan suami memukul isteri dengan pukulan yang tidak mencederakan. Bila memukul jangan ditujukan di muka, kerana yang demikian adalah ditegah dengan keras.

Advertisements