Sebagai seorang suami, dia harus memelihara kesederhanaan dan kesopanan dalam adab-adab melahirkan anak.

Ada lima perkara dalam adab-adab melahirkan anak:

1. Jangan sampai terlalu gembira bila menerima anak lelaki, atau terlalu dukacita bila mendapat anak perempuan, kerana dia tidak mengetahui di mana letaknya tuah di antara keduanya.

Betapa banyaknya orang yang dianugerahi anak lelaki merasa kesal di kemudian hari, dan bercita-cita kalaulah anak itu tiada dilahirkan sama sekali. Yang lain pula mengharapkan anak itu, kalau boleh menjadi perempuan saja. Bahkan pada menerima anak perempuan itu, ada kalanya lebih besar pahalanya.

Berkata Anas meriwayatkan Hadis dari Rasulullah s.a.w., sabdanya: Barangsiapa yang mempunyai dua orang anak perempuan, ataupun dua orang saudara perempuan, lalu ia membuat baik kepada keduanya selama ia berdampingan dengan mereka, nanti kelak di dalam syurga saya dan dia seperti dua jari ini.

2. Hendaklah diazankan di telinga (kanan) bayi sebaik-baik saja ia lahir dari perut ibunya (dan diiqamatkan disebelah kiri – pent.).

3. Hendaklah bayi itu dinamakan dengan nama yang baik. Sesiapa yang telah diberikan nama yang tidak baik, sunnat diubah nama itu dengan yang lain.

4. Sunnat dibuatkan aqiqah iaitu menyembelih dua ekor kambing bagi anak lelaki atau seekor bagi anak perempuan. Kemudian sunnat pula disedekahkan emas atau perak seberat rambutnya yang dipotong pada hari ketujuh.

5. Hendaklah dimamahkan ke dalam mulutnya dengan sebutir kurma atau lain-lain manisan, kerana yang demikian itu dari amalan Rasulullah s.a.w.

Advertisements