Dalam perkara talaq, ia merupakan perkara harus yang amat dibenci di sisi Allah Ta’ala. Talaq itu dihukumkan harus, apabila ia tiada disertai dengan penganiyaan dengan jalan yang salah. Namun demikian apabila seseorang telah mentalaq isterinya, maka tentulah ia telah menyakiti hatinya, sedangkan menganiaya atau menyakiti orang lain tiada dibenarkan oleh agama melainkan jika berlaku kesalahan dari pihak isteri, ataupun timbulnya suatu dharurat dari pihak lelaki.

Allah telah berfirman:

“Jika isteri-isteri itu mentaati kamu, janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menganiayai mereka.” (an-Nisa’: 34)

Yakni, maksudnya janganlah pula kamu mencari jalan untuk mentalaqkan mereka itu. Tetapi jika ayah si suami tiada senang dengan isteri anaknya, bukan kerana sesuatu sebab yang tidak baik, maka hendaklah ia mentalaqkan isteri sebagai tanda ketaatan kepada ayah.

Dalam hal isteri menyakiti suami, ataupun berlaku buruk terhadap keluarga suami, maka ia dikira bersalah. Begitu pula, jika isteri itu buruk perilakunya ataupun rosak agamanya.

Tetapi jika penganiyaan berlaku dari suami terhadapnya, maka ada jalan bagi isteri untuk menebus dirinya dari suami yang zalim itu dengan membayar wang. Dalam hal ini, makruh bagi lelaki untuk menuntut tebusan wang lebih daripada kerugiannya, kerana yang demikian itu adalah semacam tekanan atau bebanan untuk memberati isteri. Bahkan ini bererti seolah-olah sebagai memperniagakan kemaluan wanita.

Allah telah berfirman:

“Tidak mengapa atas keduanya pada apa yang dibayar oleh perempuan untuk menebus dirinya.” (al-Baqarah: 229)

Jadi pengambilan apa yang telah diambil dari suami itu adalah hak untuk dijadikan tebusan diri isteri dari suami. Adapun isteri yang meminta talaq apa-apa sebab, maka ia berdosa besar sekali.

Bersambung: Perkara-perkara yang perlu diperhatikan suami yang ingin mentalaqkan isterinya.

Advertisements