Hak seorang puteri atas kedua ibubapanya ialah mendidiknya cara-cara pergaulan yang baik dan adab-adab percampuran dengan suami sebagaimana yang diriwayatkan dari Asma’ binti Kharijah al-Fizari. Katanya kepada puterinya ketika hari perkahwinan puterinya itu:

“Kini engkau telah keluar dari sangkar yang di dalamnya engkau telah dibesarkan, berpindah ke tempat tinggal yang engkau belum pernah mengenalinya lagi, dan kepada seorang teman hidup yang engkau belum biasa dengannya.

Maka umpamakanlah dirimu itu sebagai sekeping tanah, nescaya ia akan menjadi tiangnya. Kalau engkau menganggap dirimu sebagai jariah, tentulah ia akan menganggap dirinya hamba sahaya.

Jangan membebaninya agar ia tiada meninggalkanmu. Jangan menjauhinya agar ia tiada melupaimu. Jika ia mendekatimu setapak, datangilah ia dua tapak. Jika ia menjauhimu, jauhilah ia dengan baik.

Jagalah hidungnya, telinganya dan matanya, sehingga ia tiada mencium sesuatu melainkan yang baik-baik, tiada mendengar sesuatu melainkan yang indah-indah dan tiada melihat sesuatu melainkan yang cantik-molek.”

Kesimpulan dari kata-kata yang berkaitan dengan adab-adab kaum wanita tanpa banyak bicara ialah:

1.    Hendaklah ia merupakan sendi utama di dalam rumahtangganya. Sentiasa melazimi jahitan dan tenunannya. Tidak banyak naik-turunnya.

2.    Sedikit bicaranya dengan tetangga, ia tidak mendatangi tetangganya melainkan jika ada perkara yang perlu yang mendorongnya ke sana.

3.    Memelihara hak suaminya ketika ia ada di rumah ataupun tiada di rumah. Sentiasa menimbulkan kegembiraan hati suami pada segala kelakuannya.

4.    Tiada mengkhianati dirinya terhadap suami dan hartanya.

5.    Tiada keluar dari rumah melainkan dengan izin suami. Dan jika diizinkan ia keluar, hendaklah dalam keadaan tertutup. Memilih jalan-jalan yang sepi dari orang ramai, tidak memilih jalan raya atau pasar.

6.    Memelihara suaranya supaya tidak terdengar oleh orang-orang asing atau dikenali peribadinya oleh mereka itu.

7.      Tidak memperkenalkan dirinya kepada rakan-rakan suaminya dalam menunaikan segala keperluan, tetapi hendaklah ia berpura-pura terhadap sesiapa yang disangka mengenalinya ataupun memang dia mengenalinya.

Advertisements