Bersambung dari Keutamaan berusaha dan anjuran melaksanakannya (1)

Berkata Umar Ibnul-Khattab r.a.: Jangan sampai ada orang di antara kamu yang suka menganggur dan tidak mahu mencari rezeki. Lalu ia berdoa: Ya Allah! Ya Tuhanku! Berikanlah saya kurniaMu! Sedang kamu sekalian telah mengetahui bahawa langit itu tidak pernah menghujankan emas dan perak.

Berkata Ibnu Mas’ud r.a.: Sebenarnya saya benci melihat seseorang itu menganggur saja, sama ada dalam urusan dunianya atau pun dalam urusan akhiratnya.

Ahmad bin Hanbal r.a. pernah ditanya: Apa katamu pada seseorang manusia yang duduk di rumah ataupun di masjid saja, seraya ia berkata: Saya tidak akan membuat sesuatu pekerjaan sehingga rezeki saya akan datang nanti.

Ahmad bin Hanbal menjawab: Alangkah jahilnya orang itu! Apakah ia tidak pernah mendengar sabda Rasulullah s.a.w.:

“Sesunguhnya Allah telah menjadikan rezekiku terletak di bawah lindungan tombakku.”

Sambung Ahmad bin Hanbal lagi: Apa tidak pernahkah ia mendengar sabdanya lagi ketika ia menyebutkan tentang burung yang setiap pagi telah pergi dalam keadaan lapar, kemudian kembali di waktu petang dengan perut yang berisi makanan. Tentu sekali burung yang keluar pagi-pagi hari itu untuk mencari rezekinya.

Para sahabat Nabi s.a.w. juga keluar berniaga dengan melanda darat dan mengharungi laut, kerana mencari rezeki masing-masing. Ada pula yang bekerja di ladang-ladang kurma mereka sendiri. Memang tidak ada yang lebih baik, selain dari mencontohi mereka dalam segala gerak lakunya, terutama sekali lagi orang yang tiada menerima harta warisan, maka tiada jalan lain untuk menyelamatkan diri mereka itu, melainkan dengan berusaha dan bekerja.

Selanjutnya meninggalkan bekerja itu sememangnya lebih afdal bagi seseorang alim yang bekerja untuk mendidik anak bangsa dan mengajar orang ramai dengan ilmu-ilmunya yang akan memberi manfaat mengenai urusan keagamaan mereka, seperti mufti yakni yang pakar dalam ehwal ilmu-ilmu Fiqh, Tafsir, Hadis dan sebagainya.

Begitu juga, bagi orang yang mengurus maslahat-maslahat kaum Muslimin, seperti sultan, hakim dan saksi. Orang-orang ini sekiranya mendapat habuan dari harta benda yang memang dikhaskan untuk maslahat kaum Muslimin ataupun dari wakaf-wakaf yang diperuntukkan khas bagi fakir miskin atau para ulama, maka kecenderungan mereka dalam hal-ehwal keagamaan dan pendidikan orang ramai itu lebih utamanya daripada mereka meninggalkan kerja-kerja ini dan lari mencari rezeki untuk sara hidup mereka.

Oleh itu para sahabat telah memunjuk Abu Bakar as-Siddiq r.a. supaya meninggalkan berniaga di pasar, apabila beliau dilantik menjadi Khalifah sebab kerja-kerja Khalifah itu terlalu berat yang tidak dapat tidak akan memesongkan dari tanggungjawabnya. Tetapi beliau terus berusaha untuk mencari sara hidupnya.

Khalifah Abu Bakar as-Siddiq hanya mengambil biaya secukup-cukupnya saja dari harta benda Baitul-Mal dan beliau sendiri berpendapat yang demikian itu lebih utama. Tetapi, apabila beliau meninggal dunia diwasiatkan agar semua harta benda yang telah diambilnya dari Baitul-mal itu dikembalikan semula, meskipun pada mulanya beliau telah menyetujui bahawa pengambilan harta benda itu adalah suatu pendapat yang terbaik.

Advertisements