Antara mu’amalah yang mudaratnya menyentuh orang ramai ialah penimbunan atau memonopoli.

Orang yang menjual barang-barang keperluan sehari-hari bila menimbun atau menahan barang-barang itu dari penjualan untuk menunggu naik harganya adalah suatu kezaliman secara umum yang mana agama mengutuk pelakunya, terutama sekali pada masa kekurangan barang-barang makanan sedangkan manusia yang memerlukannya semakin bertambah. Maka menahan penjualannya tentu sekali akan menimbulkan banyak kesusahan kepada umum.

Sebaliknya jika barang-barang keperluan itu, sememangnya banyak dalam pasaran dan orang ramai tidak menunjukkan semacam keperluan kepadanya, atau tidak mahu membelinya melainkan dengan harga yang rendah, lalu tuan punya barang-barang itu ingin menyimpannya sehingga meningkat semula harganya dan niatnya bukanlah untuk menunggu masa kekurangan barang-barang itu, maka yang demikian itu bukanlah dikira menimbun, dan ia tidak termasuk dalam ketegori menyusahkan orang-orag ramai.

Tetapi jika masa itu memang masa kekurangan barang-barang keperluan, dan tuan punya barang-barang itu berniat menahan penjualannya, maka dalam hal ini tentulah nyata menimbulkan mudarat pada orang ramai dan yang demikian tidak syak lagi hukumnya haram.

Meskipun keadaan tiada menampakkan mudarat, namun menimbun makanan itu tetap tidak terlepas dari hukum makruh, kerana tujuan orang yang menimbun itu ialah menantikan masa timbulnya mudarat, iaitu kenaikan harganya.

Manakala hukum menantikan masa timbulnya mudarat itu dilarang keras oleh agama, sebagaimana menantikan adanya mudarat itu dilarang keras oleh agama sebagaimana menantikan adanya mudarat itu sendiri. Walau bagaimanapun, peringkat-peringkat mudarat itu berbeda-beda kadarnya, menurut perbedaan tingkatan-tingkatan makruh dan haram.

Advertisements