Satu lagi mu’amalah yang mudaratnya menyentuh orang ramai ialah mengedarkan wang palsu dalam berjual beli atau bertukar-tukar mata wang palsu.

Mengedarkan wang palsu dalam berjual beli atau bertukar-tukar mata wang adalah suatu penganiayaan kerana ia memudaratkan orang yang berjual beli, jika ia tiada mengetahui. Jika ia mengetahui maka ia telah menipu orang lain pula, sehingga mata wang palsu itu bertukar-tukar tangan, dan tersebarlah mudarat itu di antara mereka yang tentu sekali akan menimbulkan berbagai-bagai kerosakan.

Dengan itu maka dosa sekalian orang yang menyebarkan mata wang palsu itu balanya akan kembali kepada dirinya, sebab dialah punca dosa tersebut sebagai orang yang membuka pintunya.

Ada pendapat yang mengatakan, bahawa membelanjakan wang palsu itu lebih berat dosanya daripada mencuri seratus dirham, kerana mencuri itu adalah maksiat yang dilakukan sekali saja, dan perkaranya telah selesai dan habis.

Manakala membelanjakan wang palsu itu, mungkin hanya sekali namun ia akan menanggung dosanya, sehingga selepas ia mati sampai seratus atau dua ratus tahun, yakni sehinggalah rosak atau binasa wang palsu itu barulah terputus dosanya. Tambahan pula ia akan menanggung apa yang telah terkurang daripada harta benda orang lain yang mendapat wang palsu tersebut.

Alangkah bahagianya manusia yang bila mati, akan mati bersamanya semua dosa-dosanya. Manakala akan celaka bagi manusia yang tidak sudah-sudah pula apabila mati, akan berterusan pula dosa-dosanya seratus tahun atau lebih dari itu, ditimpakan ke atasnya azab dalam kubur dan akan ditanya mengenainya sehingga perkara itu tidak berlaku lagi.

Allah telah berfirman:

Kami (Allah mencatat apa yang telah mereka lakukan terdahulu dan kesan-kesan dari amalan-amalan mereka.” (Yaasin: 12)

Maksudnya kami tuliskan juga segala yang terkemudian dari kesan-kesan perbuatan mereka, sebagaimana kamu menuliskan yang terdahulu daripadanya.

Allah telah berfirman lagi:

“Akan diberitahukan kepada manusia pada hari itu apa saja amalan yang dilakukan terdahulu dan terkemudian. (al-Qiyamah: 13)

Maksudnya, sebenarnya diperkirakan di kemudian hari kesan amalannya dari anjuran-anjuran yang tidak baik, yang dilakukan oleh orang-orang sesudah matinya.

Advertisements