Dalam hal bermu’amalah dengan mata wang yang palsu itu ada beberapa perkara yang harus diperhatikan iaitu:

1. Jika wang palsu itu dikembalikan kepadanya semula, maka hendaklah ia membuangnya di dalam perigi [atau dimusnahkannya – pent] supaya tidak terjatuh ke tangan orang lain. Ingatlah jangan sampai ia menggunakan wang palsu itu semula dalam perkara jual belinya yang lain. Jika ia mencacatkan wang itu sehingga tidak laku lagi, tidak mengapa.

2. Seorang peniaga hendaklah tahu membedakan antara mata wanga yang tulen dengan mata wang yang palsu, supaya tidak tersalah ambil lalu dia memberikannya pula kepada orang lain tanpa diketahui mata wang itu sebenarnya palsu. Maka berdosalah ia kerana perbuatan itu, disebabkan kecuaiannya tidak mahu mempelajari mengenal mata wang. Sebab setiap pekerjaan yang kalau diketahuinya dapat dijadikan bahan nasihat kepada kaum Muslimin, wajiblah ia mempelajarinya.

3. Jika seseorang mempunyai mata wang yang bulatannya kurang besar dari bulatan mata wang negerinya, maka hendaklah ia memberitahu orang yang bermu’amalah dengannya. Ataupun jika ia hendak menggunakan juga, maka bolehlah diberikannya kepada orang yang ia benar-benar mengetahui bahawa orang itu tidak akan menggunakannya lagi kepada orang lain secara penipuan.

Tetapi jika ia menyerahkan mata wang itu kepada orang yang mengedarkannya lagi kepada orang lain, maka penyerahannya samalah seperti menyerahkan kepada orang yang mahu melakukan kerosakan. Malah keadaannya samalah seperti menjual buah anggur kepada orang yang hendak membuat arak. Hukum jual beli serupa itu adalah haram dan dikira membantu dalam melakukan perkara yang salah dan dosa. Manakala penjualannya disamakan seperti berkongsi dosa dengan pembeli yang membuat arak itu.

Memelihara diri dari tercebur ke dalam perkara-perkara serupa ini dalam urusan perniagaan adalah lebih patut diberatkan daripada memelihara amalan-amalan ibadat sunnat dan menyediakan diri untuk melakukannya.

Advertisements