Meskipun menjelaskan segala cacat-cacat barang dagangannya yang terlihat ataupun tersembunyi itu terasa agak sedikit berat bagi jiwa tetapi ianya akan segera menjadi mudah atas seseorang manusia apabila ia mempercayai dua perkara yang akan disebut. Yang pertamanya ialah:

Dia harus meyakinkan dalam dirinya bahawa pengeliruan terhadap kecacatan sesuatu barang itu, dan melariskannya secara tipu daya tidak akan menambah rezekinya, malah akan memusnahkan dan menghapuskan segala keberkatannya. Mungkin sekali Allah akan memusnahkan semua harta benda yang dikumpulkannya dari perbuatan yang mengelirukan itu sekaligus.

Ada suatu cerita: Seorang yang mempunyai seekor lembu betina, dia sering memerah susu lembu itu lalu dicampurkan dengan air, kemudian baru dijualnya di pasar. Pada suatu hari Allah mentakdirkan datang air bah lalu menenggelamkan lembu itu. Maka berkata anak-anak orang itu: Sebenarnya air bah itu ialah air-air yang kita campurkan hari-hari dengan susu, ia telah berkumpul menjadi satu kini, lalu mengambil lembu itu dari tangan kita.

Alangkah benarnya hujah anak-anak orang itu? Mengapa tidak? Bukankah ada sebuah Hadis yang berkata:

“Dua orang yang berjual beli itu, bila mereka berkata benar dan berlaku jujur nescaya akan diberkatilah pada kedua jual belinya. Tetapi jika keduanya menyembunyikan sesuatu atau berbohong, nescaya akan tercabutlah keberkatan dari jual beli keduanya.”

Hadis yang lain pula:

“Tangan Tuhan bersama-sama kedua orang yang berkongsi selagi mereka tiada khianat-mengkhianati. Jika mereka khianat-mengkhianati akan terangkatlah tangan Allah itu daripada mereka”

Tegasnya di sini ialah harta benda tidak akan bertambah jika berlaku pengkhianatan, sebagaimana ianya tiada akan berkurang kerana dikeluarkan sedekah.

… bersambung dengan perkara kedua.

Advertisements