Meskipun menjelaskan segala cacat-cacat barang dagangannya yang terlihat ataupun tersembunyi itu terasa agak sedikit berat bagi jiwa tetapi ianya akan segera menjadi mudah atas seseorang manusia apabila ia mempercayai dua perkara yang akan disebut. Yang pertamanya telah disebut (di sini) dan yang keduanya ialah:

Hendaklah ia mengi’tikadkan sebenar-benar i’tikad supaya sifat kejujuran itu menjadi lebih sempurna dan mudah dilakukan, bahawasanya keuntungan di akhirat dan kekayaan di sana itu lebih utama dari keuntungan dan kekayaan di dunia, dan bahawasanya kemanfaatan harta benda keduniaan itu akan habis bila berakhir umur seseorang dalam kehidupan dunianya, manakala penganiayaan dan dosanya akan tetap berkekalan.

Jadi, bagaimana seseorang yang waras fikirannya sanggup menukarkan sesuatu yang nilainya rendah dengan yang nilainya tinggi dan baik. Bukankah kebaikan itu terletak pada keselamatan agama?

Dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w. berkata:

“Seseorang itu belum beriman dengan al-Quran selagi ia menghalalkan apa-apa yang diharamkan olehnya.”

Oleh itu barangsiapa yang mengetahui, bahawa semua perkara yang tersebut itu akan mencacatkan keimanannya, sedangkan ia yakin pula, bahawa hanya keimanan sajalah yang boleh menjadi jaminan dalam perniagaan keakhiratannya, tentulah ia tidak akan mensia-siakan jaminan yang disediakan bagi suatu umur yang tiada akhirnya, justeru keuntungan yang dapat diambil manfaatnya untuk beberapa hari saja.

Setengah para tabi’in berkata: Andaikata saya masuk ke Masjid Jami’ sedangkan orang telah ramai di dalamnya, kemudian saya ditanya: Siapakah yang paling baik dan siapa yang paling jahat, nescaya saya akan berkata: Sebaik-baik mereka itu ialah orang yang paling jujur dalam perkara berjual-beli, dan sejahat-jahat mereka itu ialah orang yang menipu dalam berjual belinya.

Ketahuilah, bahawa melakukan penipuan dalam berjual-beli dan perusahaan adalah haram hukumnya. Oleh itu seseorang pengusaha tidak boleh menganggap ringan saja terhadap perusahaannya, sebab kalau orang lain melakukan serupa itu terhadap dirinya, tentulah ia tiada akan redha.

Hendaklah ia memperbaiki perusahaannya dan meneliti kerja-kerjanya. Kemudian hendaklah ia menerangkan kecacatannya, jika memang ada cacat. Dengan cara begini akan terlepaslah ia dari tanggungjawab:

Seorang tukang kasut bertanya kepada Ibnu Salim: Bagaimana caranya supaya saya terselamat dalam perkara menjual kasut? Ibnu Salim menjawab: Buatkanlah muka kasut itu sama rata, jangan sampai yang kanan lebih tinggi dari yang kiri. Perbaiki lapisannya sehingga yang satu salin tidak tumpah pada yang lain, jadikan jahitannya sama antara satu dengan yang lain, dan jangan meletakkan yang satu atas yang lain ketika menjualnya.

Imam Ahmad bin Hanbal r.a. ketika ditanya tentang penampalan baju sehingga tidak ketara koyaknya, beliau berkata: Tidak boleh menampalnya, jika ia tahu tuan punya baju itu bila menjualnya nanti ia tidak akan memberitahu pembelinya akan cacat baju tersebut. Boleh menampal serupa itu, jika tukang penampalnya yakin bahawa si penjual akan memaklumkan tentang kecacatan barang dagangannya ataupun bukan untuk dijual lagi.

Jika ada orang berkata, bahawasanya perkara jual beli itu akan menjadi terlalu sukar jika diwajibkan ke atas peniagaan untuk menyatakan kecacatannya. Maka saya menjawab tentangan itu dengan berhujah:

Keadaannya tidaklah sedemikian sukar sekali. Tetapi jika peniaga mensyaratkan atas dirinya, bahawa ia tiada akan membeli barang-barang dagangan untuk dijual semula, melainkan yang baik-baik belaka, yang ia redha untuk kegunaan dirinya sendiri kalaulah ia yang menjadi pembelinya. Dengan cara begini tentulah tidak akan berlaku pengeliruan atau penipuan.

Barangsiapa sikapnya seperti ini tentu tidak akan membeli barang-barang dagangan melainkan yang baik-baik saja. Meskipun memang jarang-jarang sekali terdapat dalam barang-barang dagangannya itu yang ada cacatnya, maka hendaklah ia menunjukkannya juga kepada pembeli, kemudian menjualnya dengan seberapa yang dapat saja.

Ibnu Sirin menjual kambing kepada seorang, lalu dia berkata kepada pembeli kambing itu: Ia selalu membolakbalikkan makanan dengan dengan kakinya.

Demikian caranya perjalanan orang-orang ahli agama yang teguh imannya kepada Allah.