Terdapat enam tingkatan keihsanan bagi orang-orang yang berjual-beli:

  1. Pengelabuan mata (helah) dalam perjualbelian
  2. Menanggung kerugian
  3. Membayar dan melunas hutang dengan ihsan
  4. Cara membayar hutang
  5. Persetujuan kurang harga
  6. Berurusan dengan fakir miskin

1. Pengelabuan mata (helah) dalam berjualbeli

Hendaklah ia tidak mengelabui mata rakannya dalam berjual beli terhadap barang-barang yang biasanya tidak boleh dilakukan pengelabuan. Adapun pengelabuan itu pada asalnya memanglah dibolehkan dalam melakukan jual beli, kerana tujuan utama dari berjual beli itu ialah untuk mendapatkan keuntungan dan ia tidak akan berhasil melainkan dengan taktik dan pengelabuan yang tertentu.

Meskipun begitu maka hendaklah bahagian keuntungan itu jangan terlalu jauh. Sesiapa yang cukup dengan sedikit keuntungan akan larislah perniagaannya dengan baik, dan dari keuntungan-keuntungan yang sedikit itu, lama-lama menjadi bukit. Itulah yang dikatakan perniagaan yang diiringi dengan keberkatan.

2. Menanggung kerugian

Seseorang pembeli yang membeli makanan dari seorang yang lemah ekonominya, ataupun membeli sesuatu barang dari seorang yang miskin, sebaiknya ia menanggung sedikit kerugian dari mereka itu dan cuba mengambil jalan mudah. Dengan itu dia akan menjadi seorang yang berbuat baik, dan termasuk ke dalam sabda Nabi s.a.w.:

“Allah merahmati orang yang mudah jualannya dan orang yang mudah pembeliannya.”

Adapun menanggung kerugian dari seorang kaya, maka itu bukanlah sifat yang terpuji, malah itu adalah mensia-siakan harta tanpa mendapat apa-apa pahala atau kepujian.

Kebanyakan para salaf sentiasa berjimat-cermat bila membeli sesuatu barang. Meskipun begitu keadaannya, tetapi mereka sentiasa memberikan orang ramai banyak dari harta kekayaannya.

Ada yang bertanya mengapa sikap tuan-tuan macam itu? Mereka menjawab: Sesungguhnya orang yang memberi itu, memberikan dari kelebihannya, manakala orang yang mengelabui mata (membuat helah) dalam berjual beli itu, dia mengacau fikiran.

3. Membayar dan melunas hutang dengan ihsan

Dalam menunaikan harga atau nilai barang, serta membayar semua hutang dengan cara berihsan, kadang-kadang dengan memaafkan hutang itu sekaligus, atau menggugurkan sebahagiannya.

Kadang-kadang dengan memberi tempoh, atau menangguhkannya ke masa yang panjang. Dan kadang-kadang dengan mempermudahkan, sehingga terdapat mata wang yang sah. Semua itu hukumnya harus dan amat digalakkan sekali.

Dalam sebuah sabda Rasulullah s.a.w.:

“Sesiapa yang meminjamkan satu dinar kepada seseorang pada sesuatu masa yang tertentu, maka baginya setiap hari sedekah sehingga sampai tempohnya. Apabila cukup tempohnya, lalu diperpanjangkan lagi tempohnya, maka baginya setiap sehari sedekah seperti banyaknya hutang itu.”

Rasulullah s.a.w. pernah memerhatikan seseorang menagih hutang kepada yang lain, lalu baginda mengisyaratkan supaya dia memaafkan separuh dari hutang itu. Penagih hutang bersetuju, lalu baginda berkata kepada yang berhutang: Ayuh, bayar segera!

4. Cara membayar hutang

Sayugialah hendaknya dibayar hutang itu dengan secara baik, iaitu orang yang berhutang itu sendiri pergi mendapatkan orang yang menghutangkan dan jangan sampai ia menyusahkan orang yang mempunyai hak itu datang menuntutnya Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

“Sebaik-baik kamu ialah orang yang baik cara menunaikan hutangnya”.

Orang yang berhutang, bila mendapat kelapangan, hendaklah segera menyelesaikan hutangnya, walaupun tempohnya belum sampai lagi.

Jika telah sampai waktunya, sedangkan ia tidak mempunyai wang untuk membayar, hendaklah ia berniat di dalam hati, bahawa ia akan membayar hutangnya itu bila mampu.

Jika orang yang mempunyai hak menuntutnya dengan kata-kata yang kasar atau sebagainya, hendaklah ia bersabar dan menahan marah. Malah sebaliknya, hendaklah ia menjawab dengan lemah lembut dan nada suara yang rendah, iaitu mengikut perilaku Rasulullah s.a.w. sewaktu baginda dituntut oleh orang yang menagih hutang daripadanya dengan cara yang kasar; lalu setengah para sahabat mahu bertindak terhadap orang itu, maka Rasulullah menahan mereka sambil menyeru: Biarkanlah ia dengan sikapnya, kerana orang yang mempunyai hak itu ada jalan untuk berkata apa saja.

Dari cara berihsan atau berbuat baik juga, hendaklah ia bersifat belas kasihan terhadap orang yang berhutang yang tidak mampu untuk membayar hutangnya, bila menjatuhkan hukuman ke atasnya.

5. Pengurangan harga

Hendaklah ia bersetuju mengurangkan harga, bila pembeli meminta pengurangan: iaitu setelah selesai akad jual beli, sebab ia tidak mungkin meminta pengurangan harga, melainkan ia telah merasa menyesal di dalam hati, ataupun setelah terasa sesuatu mudharat tertimpa atas dirinya kerana jual beli itu.

Maka tidak semestinya si penjual merasa senang hati, sebab kemudaratan saudaranya itu berpunca dari dirinya. Dalam sebuah sabda:

“Sesiapa yang mengurangkan harga pembelian seseorang yang merasa menyesal atas jual belinya, nescaya Allah akan mengurangkan kesalahannya di Hari Kiamat”

6. Berurusan dengan fakir miskin

Hendaklah ia menguruskan jual belinya terhadap kaum fakir miskin dengan segala kelonggaran yang boleh. Dalam pada itu, ia berniat di dalam hati tidak akan menuntut jika mereka dalam kesusahan.

Para salaf Saleh biasanya berkata kepada si fakir: Ambillah apa yang engkau hajati, bila ada kelapangan barulah bayar. Kalau tidak, maka anggaplah ia sebagi halal dan sedekah. Begitulah caranya para salaf mengurus perniagaannya.

Kesimpulannya perniagaan itu ialah puncak ujian seseorang. Di sinilah dapat di uji agama seseorang dan kawara’annya.

Advertisements