Tiadalah patut seseorang peniaga melebihkan urusan keduniaannya, sehingga ia terlalai pula dari urusan keakhiratannya. Kalau demikian sikapnya, tentulah seluruh umurnya akan menjadi sia-sia belaka dan perniagaannya menjadi rugi.

Apa yang terlepas dari keuntungan mengenai urusan akhirat, tidak dapat digantikan dengan keuntungan yang diperolehi di dunia. Dengan itu jadilah ia sebagai seorang pembeli kehidupan dunia dengan kehidupan akhirat.

Orang yang waras fikirannya harus merasa diri sendiri, ialah dengan secara mengawas modalnya manakala modal yang dimaksudkan di sini ialah agamanya dan amalannya dalam menjalankan perintah dan tegahan Allah s.w.t.

Seseorang yang ingin menyandarkan simpati terhadap agamanya tidak akan dapat berbuat demikian, melainkan dengan perkara perkara yang berikut:

1. Bersih niatnya dari sejak ia memulakan perniagaanya; iaitu hendaklah ia berniat menjalankan perniagaan itu, supaya ia terhindar dari meminta-minta dari orang ramai, dan menjauhi perasaan tamak dalam diri dengan menginginkan hak orang lain.

Hendaklah ia memadai dengan apa yang diperolehinya sebagai rezeki yang halal, juga dengan maksud supaya segala keuntungan yang diperolehi itu dapat menolong dirinya dalam menjalankan urusan-urusan keagamaan, serta mencukupi makan-minum anak isteri di rumah agar ia tergolong orang-orang yang berjihad dalam lapangan mencari rezeki yang halal.

Dalam perniagaan itu, hendaklah ia berniat jujur terhadap sekalian kaum Muslimin, dan hendaklah ia mencintai semua makhluk Allah, sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri.

Hendaklah ia berniat juga untuk memilih jalan keadilan dan jalan kebaikan dalam semua perkara jual belinya, sebagaimana yang telah kita sebutkan sebelum ini.

Kemudian hendaklah ia berniat untuk menyuruh yang baik dan melarang jahat terhadap apa saja yang dilihatnya berlaku di dalam pasar kelak.

Semua perkara-perkara ini, jika diniatkan di dalam hati, nescaya ia menjadi seorang yang berusaha pada jalan menuju akhirat.

Dalam urusan perniagaannya kelak, jika ia mendapat keuntungan dari harta kekayaan, maka itu adalah kurnia dan tambahan dari Allah azzawajalla, tetapi jika ia rugi di dunia, nescaya ia akan beruntung pula di akhirat justeru niat-niatnya yang baik tadi.

2. Sebaik-baiknya ia berniat membuat sesuatu perusahaan atau perniagaan sebagai menunaikan suatu fardhu dari Fardhu Kifayah. Sebab jika perusahaan dan perniagaan itu diabaikan saja, tentulah akan menjadi tempang perjalanan kehidupan masyarakat dan akan leburlah keharmonian orang ramai. Untuk menjamin perjalanan kehidupan sekalian manusia, mestilah dengan adanya kerjasama dari manusia itu sendiri, sehingga setiap golongan manusia menjamin golongan yang lain dengan berbagai-bagai inisiatif.

Di antara perusahaan-perusahaan ada yang amat penting bagi kehidupan masyarakat, dan ada pula yang tidak begitu penting lantaran perusahaan itu hanya mementingkan kemewahan dan perhiasan keduniaan semata-mata. Dalam memilih perusahaan-perusahaan ini, hendaklah ia memilih perusahaan yang diperlukan untuk kemajuan masyarakat, supaya dengan menjalankan kerja-kerjanya ia dapat memenuhi keperluan-keperluan kaum Muslimin dan mencukupi kehendak-kehendak agama.

3. Jangan sampai terpengaruh sangat dengan keadaan pasaraan dunia, sehingga ia terpedaya dengannya, lalu meninggalkan sama sekali pasaran untuk akhiratnya. Yang dikatakan pasaran-pasaran untuk akhirat itu ialah amalan-amalan yang dilakukan di dalam masjid-masjid.

Allah telah berfirman:

“Orang-orang yang tiada dilalaikan oleh perniagaan dan penjual beliannya daripada berzikir kepada Allah dan mendirikan sembahyang dan mengeluarkan zakat.” (an-Nur: 37)

Para Salaf Saleh sentiasa berlumba-lumba pergi ke masjid, bila mendengar azan seraya meninggalkan pasaran dan perniagaan mereka diuruskan oleh orang-orang ahli zimmah dan anak-anak kecil.

4. Janganlah hendaknya ia memadai dengan kerja-kerja yang tersebut saja, malah hendaklah ia melazimkan diri dengan berzikir kepada Allah di dalam pasar di antara orang-orang yang sifatnya sentiasa dalam kelalaian, kerana berbuat serupa itu adalah paling utama sekali.

5. Hendaklah ia tiada terlalu mengambil berat terhadap pasaran semata-mata, begitu pula dengan perniagaan saja: iaitu menjadi orang yang pertama sekali masuk ke dalam pasar dan orang yang terakhir kembali daripadanya.

6. Janganlah hendaknya ia hanya menjauhkan diri dari perkara-perkara yang sudah terang haramnya semata-mata, malah mestilah ia memelihara diri dari perkara-perkara yang syubhat juga; iaitu perkara-perkara yang masih diragukan tentang hukumnya.

Cara menjauhi perkara ini dengan menanya diri sendiri secara jujur, jika ia merasa kurang senang hendaklah ia meninggalkannya.

Jika orang membawa suatu barang kepadanya yang ia merasa syak kepadanya, hendaklah ia bertanya mengenainya terlebih dulu. Hendaklah ia menjauhkan dirinya dari berjual beli dengan barang-barang yang berasal dari penganiayaan atau pengkhianatan atau pencurian atau riba’. Semua barang-barang itu, jangan diperniagakan.

7. Hendaklah ia menjaga perjalanan perniagaannya dengan setiap pelanggan, sebab ia akan ditanya dan bertanggungjawab atas tiap-tiap sesuatu. Oleh itu hendaklah ia menyediakan diri untuk menjawab tanggungjawab itu kelak di Hari Perhisaban (Hari Kiamat).

Advertisements