Bahagian pertama sesuatu benda itu menjadi haram adalah kerana sesuatu sifat pada zatnya iaitu seperti arak, daging babi dan lainnya. Dan keterangan selanjutnya, bahawasanya semua benda-benda yang dimakan yang terdapat di atas muka bumi ini tidak terkeluar dari tiga bahagian:

Sesuatu benda itu boleh menjadi haram kerana sesuatu sifat pada zatnya iaitu seperti arak, daging babi dan lainnya. Dan keterangan selanjutnya, bahawasanya semua benda-benda yang dimakan yang terdapat di atas muka bumi ini tidak terkeluar dari tiga bahagian:

  1. Benda galian (ma’din) seperti garam dan tanah atau sebagainya.
  2. Benda tumbuh-tumbuhan (nabati)
  3. Binatang

Benda galian

Adapun benda galian itu daripada berbagai-bagai bahagian bumi dan segala yang keluar dari bumi, maka hukumnya tidak haram memakannya, kecuali jika ia mendatangkan mudarat bagi orang yang memakannya atau kerana pada sebahagiannya terdapat bahan-bahan yang sama seperti racun.

Pendek kata, jika roti sekalipun bila memudaratkan orang yang memakannya tetap haram hukumnya. Begitu juga dengan tanah, jika ada orang yang biasa memakannya tidak haram hukum memakannya, hanya diharamkan kerana ia boleh memudaratkan pemakannya saja.

Tumbuh-tumbuhan

Segala tumbuh-tumbuhan tidak haram hukum memakannya, melainkan yang mempunyai unsur-unsur yang boleh merosakkan akal fikiran ataupun yang boleh memusnahkan kehidupan, atau menganggu kesihatan.

Adapun yang boleh merosakkan akal fikiran itu adalah seperti ganja, arak dan segala benda-benda yang boleh memabukkan. Yang memusnahkan kehidupan pula ialah segala jenis racun. Dan yang mengganggu kesihatan ialah memakan ubat bukan pada masa-masa yang ditentukan.

Asas pengharaman yang disebutkan ini ialah disebabkan ia mendatangkan kemudharatan kepada diri, kecuali arak dan benda-benda lain yang memabukkan, maka hukumnya tetap haram sama ada ia diminum sedikit saja, atau pun memang orang yang meminumnya itu biasanya tidak mabuk.

Binatang

Manakala binatang pula, maka ia terbahagi kepada yang boleh dimakan dan yang tak boleh dimakan. Keterangan lanjut mengenai binatang-binatang ini ada disebutkan di dalam kitab-kitab fiqh, sila rujuk kepadanya.

Hanya yang dikatakan binatang yang boleh dimakan itu, bila ia disembelih dengan sembelihan yang ditunjuk oleh syariat, dengan syarat-syaratnya yang ditentukan ke atas penyembelih, alat penyembelihan dan tempat-tempat penyembelihan yang disebutkan di dalam kitab-kitab fiqh. Binatang yang bukan disembelih menurut syarat-syarat syariat, ataupun yang mati begitu saja, adalah haram memakannya dan dikira seperti bangkai, sedangkan memakan bangkai itu, tidak halal, kecuali bangkai ikan dan belalang saja.

Advertisements