Selain dari sesuatu benda itu boleh menjadi haram kerana sesuatu sifat, satu lagi sebab sesuatu benda itu menjadi haram adalah kerana punca usaha tangan ke atasnya, yakni cara memperolehinya. Cara punca ini terbahagi kepada tiga bahagian di bawah:

1. Sesuatu yang diperolehi tanpa ada pemiliknya, seperti memperolehi galian dari tanah atau menghidupkan tanah yang mati, memburu, mengutip kayu-kayan, mengambil air dari sungai dan memotong rumput, maka semua ini adalah halal dengan syarat segala yang diperolehi dari benda-benda yang tersebut tadi tidak terkhusus kepunyaan seseorang, tegasnya tidak ada pemiliknya yang sah.

2. Sesuatu yang diperolehi secara paksa dari orang-orang yang tiada dilindungi oleh hukum agama, seperti fai; iaitu harta pampasan dalam peperangan atau, ghanimah; iaitu pembahagian harta yang diperolehi dalam peperangan. Begitu juga dengan harta kekayaan orang-orang kafir yang masuk berperang dengan kaum Muslimin. Maka segala harta benda seumpama itu semuanya halal bagi kaum Muslimin, setelah dikeluarkan daripadanya seperlima bahagian sebagai zakatnya, kemudian boleh dibahagikan-dibahagikannya kepada orang-orang yang berhak secara adil dan jujur.

Harta benda yang dirampas dari orang-orang kafir yang telah dilindungi oleh Pemerintah Islam, atau yang telah diberikan keamanan dan perjanjian oleh Pemerintah Islam, tidak halal untuk dimiliki, melainkan harus dikembalikan kepada yang mempunyainya.

3. Sesuatu yang diperolehi dengan jalan tukar-menukar dengan syarat masing-masing, maka hukumnya halal juga dengan syarat harta warisan yang akan diwarisi itu didapati dengan cara yang halal (bukan haram).

Harta warisan itu hanya boleh dibahagi-bahagikan, setelah ditunaikan segala piutang si mati, dan sesudah dijalankan wasiat yang ditinggalkannya terlebih dulu. Manakala pembahagiannya kepada ahli waris pula, mestilah dijalankan dengan adil menurut syariat; iaitu sesudah dikeluarkan hak-hak atas si mati, seperti haji yang wajib, zakat yang belum dikeluarkan atas hartanya dan kaffarah (denda yang mesti dibayar) dan sebagainya.

Masih ada lagi bahagian-bahagian yang lain, tetapi memadailah di sini kami terangkan pokok-pokok yang penting saja.

Walau bagaimanapun, perlu bagi setiap murid mengetahui, bahawa segala yang dimakannya itu benar-benar dari jurusan-jurusan yang diredhai Allah. Kalau tidak, maka sewajarnya dia menanyakan seorang alim yang mengetahui tentang perkara itu.

Awas jangan sekali-sekali memberanikan diri membuat sesuatu dengan kejahilan, sebab sebagaimana orang alim itu akan disoal: Mengapa engkau telah menyalahi ilmumu bila melakukan sesuatu, maka orang jahil juga akan disoal: Mengapa engkau tetap dalam kejahilanmu dan tidak mahu belajar, sesudah engkau mengetahui bahawasanya: Menuntut ilmu itu wajib atas setiap Muslim.

Advertisements