Bersabda Rasulullah s.a.w.

“Sesungguhnya yang halal itu telah nyata, dan haram juga telah nyata, dan di antara keduanya perkara-perkara yang masih diragukan (syubhah), yang kebanyakan orang ramai tiada mengetahui. Orang-orang yang memelihara diri dari perkara-perkara yang syubhah itu samalah seperti orang yang telah melindungi agamanya dan kehormatannya. Orang yang tergelincir ke dalam perkara-perkara yang syubhah itu akan tergelincir pula ke dalam perkara yang haram, laksana seorang pengembala yang sedang menggembala di sekitar tempat larangan, akhirnya ia lalai memasuki tempat larangan itu.”

Hadis tersebut merupakan suatu nas yang menunjukkan tiga bahagian dari peringkat-peringkat hukum, iaitu:

1. Perkara syubhah, iaitu peringkat yang paling rumit sekali antara tiga bahagian itu. Perkara syubhah ini biasanya banyak orang ramai tidak mengetahui, oleh itu haruslah ia diberikan penerangan seluas-luasnya, sebab perkara yang tiada diketahui orang ramai kadang-kadang diketahui pula oleh orang sedikit, jadi patutlah ia dijelaskan kepada orang ramai.

2. Perkara halal mutlak, atau halal yang sudah jelas hukumnya iaitu perkara yang telah sunyi zatnya (bendanya) dari segala sifat yang menyebabkan pengharaman pada benda itu, dan ia terlepas dari sebab-sebab yang menghukumkan pengharaman atau kemakhruhannya.

3. Perkara haram mahadh, atau haram yang sudah jelas hukumnya; iaitu perkara yang ada padanya sifat yang mengharamkan yang sudah tidak payah diragukan lagi, seperti arak kerana terlalu berat pengaruhnya terhadap diri, atau air kencing kerana sudah terang kenajisannya. Ataupun sesuatu yang diperolehi dengan cara-cara yang terlarang sama sekali oleh agama, seperti penghasilan sesuatu dengan jalan penganiayaan atau riba atau yang seumpamanya.

Dua perkara yang halal dan yang haram itu telah jelas hukumnya. Kemudian akan dimasukkan ke dalam dua kategori ini mana-mana yang telah ternyata perkaranya, tetapi besar kemungkinan berubah keadaannya kelak, dan kemungkinan perubahannya tidak ada sebab-sebab yang tertentu yang boleh menunjukkan kepada perubahan itu. Kemungkinan yang tiada dapat dicarikan dalilnya, sama seperti kemungkinan yang tiada pada bendanya.

Ada pun perkara syubhah itu ialah segala sesuatu yang belum jelasnya perkaranya, umpamanya dua keyakinan yang timbul dari dua sebab yang berkaitan dengan kedua-dua keyakinannya tadi.

Advertisements