Dalam persoalan syubhah ini, wajar diperhatikan jika adanya keraguan pada sebab-sebab yang menghalalkan atau yang mengharamkan.

Kiranya kedua-dua kemungkinan halal dan haramnya itu sama, maka hukumnya dikembalikan kepada hukum yang telah ada sebelumnya, dan hukum inilah yang harus dipegang, dan tidak boleh ditinggalkan perkaranya terbiar di dalam keraguan terus-menerus.

Kemudian andaikata suatu kemungkinan baru ditimbulkan, mengalahkan (mengatasi) kemungkinan yang telah ada serta dibuktikan dengan dalil-dalil yang kuat dan mu’tabar (sah), maka hendaklah dihukumkan menurut kemungkinan yang baru yang telah mengatasinya itu.

Perkara-perkara serupa ini tidak akan jelas melainkan dengan contoh-contoh dan dalil-dalil yang terang, maka oleh itu kami bahagikan kepada empat bahagian:

(1) Perkara yang telah nyata pengharamannya sebelum itu, kemudian timbullah keraguan dalam dalil atau hujah untuk menghalalkannya. Perkara serupa inilah yang dikatakan syubhah yang harus dijauhi dan diharamkan memberanikan diri untuk menghalalkannya.

(2) Perkara yang sudah diketahui penghalalannya lalu timbullah keraguan dalam dalil atau hujah untuk mengharamkannya. Maka hukumnya yang diberatkan ialah halal dan harus dipegang dengan hukum yang tersebut.

(3) Perkara yang asalnya sudah jelas haram, akan tetapi timbullah sesuatu sebab yang mewajibkan perkara itu menjadi halal dengan suatu sangkaan yang kuat, sedangkan perkara itu masih juga dalam keraguan, hanya yang patut diberatkan ialah penghalalannya.

Dalam perkara serupa ini haruslah diperhatikan sebabnya terlebih dulu. Kiranya kemungkinan penghalalannya bersandar kepada suatu sebab yang mu’tabar dalam hukum syariat, maka hukum yang dipilih untuknya ialah halal, hanya menjauhinya dikira suatu kewara’an.

Misalnya: Seseorang pemburu memanah seekor buruan, tetapi binatang itu dapat melarikan diri sehingga bila ditemui didapati binatang itu sudah mati, dan tidak ada tanda-tanda lain pada badan binatang itu hanya anak panah pemburu itu saja, padahal berkemungkinan sekali bahawa binatang itu mati kerana jatuh terhempas atau kerana sebab-sebab lain, bukan kerana anak panah pemburu tadi.

Maka dalam hal yang serupa ini, hukum yang dipilih oleh syariat ialah halal, kerana luka tersebab anak panah tadi adalah sebab yang lahir yang menjadikan binatang itu mati, dan yang demikian itu telah terbukti. Jadi diberatkan hukum matinya binatang itu kerana terkena anak panah, dan bukan kerana sebab-sebab yang lain, dan kemungkinan matinya oleh sebab-sebab yang lain itu masih diragukan dan tidak ada buktinya.

Dalam istilah hukum syariat, sesuatu yang telah ditentukan keyakinannya tidak boleh ditolak dengan lahirnya keraguan yang belum tentu betul.

(4) Perkara yang sudah diketahui penghalalannya akan tetapi timbul sesuatu yang baru dalam kemungkinan yang memberatkan pengharamannya, bergantung atas sebab yang mu’tabar dalam syariat, maka hendaklah ditolak hukum asalnya yang halal dan dihukumkan haram.

Misalnya: Seorang yang meneliti keadaan dua bejana, lalu dengan ijtihadnya bersandarkan kepada sesuatu tanda yang tertentu, dia dapat menentukan kemungkinan salah satu dari dua bejana itu mengandungi najis, maka dalam hal serupa ini hendaklah dihukumkan haram meminum air dari bejana itu, sepertimana diharamkan mengambil wudhu’ dari air tersebut.

Advertisements